Monday, August 06, 2007

Jangan hilang prinsip

Dipersoalkan mengenai 13 Mei 1969. Dipersoalkan mengenai peranan UMNO yang menyebabkan punca 13 Mei 1969. Dipersalahkan kepimpinan UMNO dan dikatakan UMNO bukan Melayu dan Melayu bukan UMNO.

Benar – UMNO bukan Melayu dan Melayu bukan UMNO, DAP bukan Cina dan Cina bukan DAP seterusnya PAS bukan Islam dan Islam bukan PAS tetapi arah tuju perjuangan, matlamat perjuangan dan susun atur perjuangan menunjukkan arah dan berat mana sesebuah parti politik itu lantas menunjukkan kecenderungan dan akhirnya dilabel mengikut kaum dan asas yang diperjuangkan. Melihat komposisi sahaja cukup menunjukkan kecenderungan dan hakikat kesimpulan asas UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO dalam sebutan majoriti adalah tidak salah malah adalah tepat dari sudut tendensi perjuangan,matlamat dan apa lagi kalau dilihat dari segi komposisi. Sungguhpun begitu hakikat Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu tidak dilihat dari segi kejayaan perjuangan kerana hakikat perjuangan itu tidak akan berakhir.

13 Mei 1969 dikatakan berpunca dari UMNO. Namun kita perlu meneliti kehadiran gabungan dalam Perikatan dan kini Barisan Nasional. Mutlaknya kalau Barisan Nasional gagal maka kegagalan itu bukan hanya kepada kepimpinan Melayu malah kepimpinan Cina dan India (menyebut kelompok majoriti dalam negara kita ini)

Namun hari ini UMNO adalah punca, kepimpinan serta ahli yang rata-rata Melayu adalah penyebab 13 Mei 1969. Dihebohkan teori bahawa tragedi ini adalah tragedi perebutan kuasa dalaman dan luaran, desakan menjatuhkan kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan akhirnya bangsa Cina menjadi mangsa keadaan dalam semua keadaan.

Buku Dr Dr. Kua Kia Soong dikatakan pendedahan baru yang tepat dan kini Raja Petra Kamaruddin bangun dengan papan kekunci menuduh UMNO sebagai “mafia” yang memerintah tak kala itu.

www.umno-reform.com tidak akan bertindak seperti www.agendadaily.com dengan kerakusan mencabar melakukan perkara-perkara kegelojohan melampau tetapi percaya bahawa tindakan Raja Petra Raja Kamaruddin ini agar keterlaluan seperti mana yang pernah ditulis sebelum ini dan penulisan itu dicabar oleh pelayar – pelayar beliau. Hari ini keberanian Raja Petra Kamaruddin dipertaruhkan sebagai modal perjuangan. Namun tujuan dan matlamat Raja Petra Kamaruddin semakin jelas meragukan.

Satu yang paling berlainan sekali adalah publisiti yang semakin kuat diberi oleh media-media arus perdana kepada
www.malaysia-today.net Semakin terkejut dengan peranan – peranan media tempatan sehinggakan rancangan AC DI SINI turut memaparkan kehadiran www.malaysia-today.com se olah – olah wujud beberapa agenda kolaborasi yang membenarkan tekaan beberapa pihak.

Teori UMNO menggunakan sentimen perkauman setiap kali pilihan raya

Ini bukan satu celaan baru. Malahan ramai kepimpinan pembangkang menyatakan bahawa sentimen ini digunakan oleh UMNO setiap kali menjelang pilihan raya. UMNO akan mula mengugut dan mula menggunakan sentimen perkauman, menaikkan rasa curiga terhadap bangsa lain lantas mengharapkan sokongan Melayu akan kembali kepada Melayu menjelang pilihan raya ini. Antara kita kata ada yang percaya kepada teori tersebut. Setiap kali menjelang pilihan raya ada sahaja isu – isu perkauman digunakan oleh UMNO untuk tujuan tersebut.

KATAKAN teori ini benar tetapi siapa yang hari ini sedang memainkan isu perkauman dan sentimen 13hb Mei 1969 untuk tujuan politik tersebut. UMNO dikatakan mencabar kaum lain, mengingatkan peristiwa 13 Mei 1969 untuk meraih undi Melayu, tetapi mekanisme mana dan siapa yang digunakan oleh UMNO hari ini untuk mengingatkan kita semua mengenai 13 Mei 1969?

Siapa yang mengingatkan tragedi tersebut kepada rakyat dan siapa yang mencabar dan memulakan tuduhan Melayu dalam UMNO adalah punca pembunuhan sewaktu pilihan raya tersebut. Isu 13 Mei 1969 akan terus bermain di fikiran dengan berbagai-bagai sinopsis dan pendapat tetapi akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Mungkin ini kepentingan politik semata – mata, kalau UMNO menggunakan isu perkauman untuk sokongan Melayu dan Raja Petra pula membalikkan isu untuk menunjukkan kepada Melayu bahawa UMNO itu punca pembunuhan, akhirnya kedua – dua belah hanya memberi jawapan mencari bahawa semua ini adalah untuk politik. Maka politik dan kuasa adalah matlamat tanpa menghiraukan cara sama ada halal atau haram.

Teori perebutan kuasa dalaman UMNO

Timbul pula teori bahawa peristiwa hitam 13 Mei 1969 adalah berpunca dari perebutan kuasa dalam UMNO. Dikatakan pula tragedi ini adalah tindakan Tun Razak yang mahu untuk menyingkir Tunku Abdul Rahman. Maka hari ini siapa pula yang mahu menyingkir siapa? Adakah ini agenda Anwar Ibrahim (bukan PKR atau PAS) untuk menolak Najib Tun Abdul Razak dengan melabel tindakan ini adalah orkestra kepimpinan Datuk Najib Tun Abdul Razak? Maka UMNO diasak untuk bergolak lagi dan kali ini bukan orang seperti Dato Harun dengan selimpang hitam/merah tanda sokongan agenda tetapi CPU dan papan kekunci milik Raja Petra. Kalau mahu difitnah maka banyak hasil dari permainan ini yang perlu kita kaji

Apa pun semua teori yang menjadi buah mulut topik sensasi ahli – ahli UMNO dan kelompok pembangkang akan merugikan sekiranya diskusi ini adalah diskusi emosi dan akhirnya curiga mencurigai antara kaum terbit.

Teori dan keperluan berbincang mencari arah

Semuanya teori. Semuanya perbahasan penyebab dan semuanya boleh dibincangkan. Namun perbincangan ini perlu menolak elemen hasrat politik sesuatu parti untuk menghalalkan caranya untuk mengetepikan lawannya. Penciptaan Dasar Ekonomi Baru dan tindakan – tindakan yang pernah diambil oleh Tun Abdul Razak agar tragedi 13 Mei 1969 tidak berlaku lagi perlu diteruskan. Tun Abdul Razak dalam usaha serampang dua matanya, menjaga keharmonian kaum dan menggalak perkembangan ekonomi orang Melayu perlu diteruskan agar segala bentuk kecemburuan dan keraguan pupus pada akhir pencapaian hasrat Dasar Ekonomi Baru. Perlu juga diperjelaskan bahawa semua pelaksanaan adalah menuruti semangat kesefahaman antara kaum dan tidak diterjah ke dalam mulut bangsa – bangsa lain.

Sikap kecurigaan Melayu perlu dikikis terhadap bangsa lain sungguhpun tugas itu tidak seharus ternoktah begitu sahaja. Perlu ada inisiatif kaum lain untuk menjaga sensitiviti orang Melayu pada waktu itu. Inisiatif ini harus diambil kerana kecurigaan itu disumbangkan juga oleh kaum lain yang menuntut hak di Tanah Melayu. Sekali lagi sensitiviti ini perlu dijaga. Kita tahu desakan kaum lain hadir sejak 1930an lagi. Desakan inilah yang memberi atau menyemai sikap-sikap curiga. Adakah salah untuk Melayu pada masa itu merasa curiga.

Ini semua perlu lebih dikaji, di bahaskan tetapi menuduh tanpa mahu menyalurkan bukti adalah satu kesalahan. Kita tidak mahu melihat ada peranan-peranan ghaib yang kelak akan memulakan geseran sesama sendiri. Kita tidak mahu nanti atas nama kebenaran yang tidak tepat hujung pangkalnya maka segala yang ada terbenam jauh, lupus dan mengecewakan. Kita tidak mahu melihat ada orang yang berkepentingan sedang cuba memasakkan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri dan malang kalau yang terbabit itu juga adalah
www.malaysia-today.com

Kita perlu mengingati kata-kata Tun Abdul Razak yang pernah berkata, kegagalan DEB adalah satu nahas buat Malaysia dan hari ini nahas-nahas itu sudah menampakkan implikasi setelah DEB gagal mencapai keseluruhan matlamat.

Melayu berpegang pada pendirian

Kita bukan menolak ke tepi kehadiran bangsa lain. Itu juga akan membantu menimbulkan keraguan dan kecurigaan tetapi yang penting adalah kita berdiri dengan batas-batas tertentu dan perlu menghormati batas-batas tersebut.

Kita tahu, Datuk Onn sendiri pernah menggambarkan pandangan gelap terhadap Melayu kerana bangsa itu dikhuatiri tidak ada prinsip lalu akan meruntuhkan nasib dan harapan bangsa sendiri.

5 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Sebenarnya kerana segelintir Melayu yang kurang ajar, maka Cina telah berjaya memperoleh manafaat dari DEB

11:54 PM  
Anonymous Anonymous said...

Ini adalah kerna kepimpinan UMNO yang hilang pertimbangan dan prinsip.

en Anuar tak kan tak perasaan kepincangan ahli umno. Common En anuar, u juga dari golongan reformasi dahulukan?

12:00 AM  
Anonymous Anonymous said...

Katakanlah apa saja tentang isu, maka akar masalahnya terdapat dalam satu rangkap perkataan iaitu "CAKAP TAK SERUPA BIKIN".

Di sinilah punca segala persoalan, ketika berhadapan dengan rakyat, merekalah pejuang agama, bangsa dan negara, tapi kala mereka bersembang sesama sendiri, buah butirnya semata-mata APO YANG KAU DAPEK.

Maka seorang kawan mengatakan demi agama, bangsa dan negara hanyalah bahasa "pentas", sedangkan projek, lesen, permit dan anugerah adalah bahasa sebenar dialog mereka.

Saya percaya Sdr Anuar akan bersetuju dengan saya mengenai perkara ini.

Sekarang, apa jalan keluar dari pada pola politik arus perdana yang begini ?, eloklah kita wacanakan dalam ruang ini.

Putra Perpatih

5:16 PM  
Anonymous Anonymous said...

Anuar itu UMNO. Apa plak dia nak bersetuju dengan ko. UMNO itu adalah najis yang seharusnya dibersihkan. Apa lagi kita flush aje Anuar dengan umno-umnonya. Takkan ko tak nampak Anuar adalah musuh besar yang perlu kita dalam keadilan hapuskan. tak payah kerajaan hapuskan mereka, kita mulakan dahulu. UMNO akan terkubur dan Anuar ini adalah antara Melayu yang berdosa mencela Keadilan

11:39 PM  
Blogger Lata Ulu Lawin, Kenering 33300 Gerik said...

Sdr. Anwar,
Aku malas nak korek arkib untuk mencari jawapan, kerana aku percaya, Umno akan terus melakukannya. Dan hari ini peluang tersebut aku dapat.

Anuar: "KATAKAN teori ini benar tetapi siapa yang hari ini sedang memainkan isu perkauman dan sentimen 13hb Mei 1969 untuk tujuan politik tersebut. UMNO dikatakan mencabar kaum lain, mengingatkan peristiwa 13 Mei 1969 untuk meraih undi Melayu, tetapi mekanisme mana dan siapa yang digunakan oleh UMNO hari ini untuk mengingatkan kita semua mengenai 13 Mei 1969?"

Dan ini adalah laporan dari Malaysia-Today.

"In a press conference after the Kelana Jaya Umno meeting on Sunday, Muhammad said he was concerned that a riot could erupt if no action is taken against bloggers and people who posted information or opinions on the Internet which humiliate religion or other races.

"Do we want a situation to come to the level that it is more explosive than May 13?" Muhammad was quoted as saying.


Dulu, kini dan selamanya.

11:34 PM  

Post a Comment

<< Home