Saturday, March 07, 2009

Mengusung jenazah Bangsa Melayu

Pernah satu ketika dahulu, Persatuan Melayu Johor bangkit pada tahun 1946, mendesak Sultan Ibrahim Johor di gugurkan dari takhta. Pernah juga pada waktu yang serupa – Datuk Onn bin Jaafar diaporkan berkata– perbuatan raja-raja Melayu yang berhubung kait dengan isu Malayan Union adalah seperti mengusung jenazah Bangsa Melayu. Ada pula yang mengatakan bahawa sewaktu Malayan Union, kumpulan kepimpinan Melayu pernah mengatakan kepada Raja-Raja Melayu bahawa orang Melayu akan bangkit menentang Tuanku sekiranya Raja-Raja Melayu terus memperakui Malayan Union. Tindakan mentalkinkan Melayu seakan semakin hampir sekiranya Melayu masih bertelagah dan situasi pembunuhan bangsa seakan semakin dekat dengan apa yang sedang berlaku pada kita hari ini.

Politik bergolak dan pergolakan ini memecahbelahkan Melayu kepada tahap yang amat kritikal. Masing-masing tanpa disedari mengambil jalan untuk bertindak menyerang – menggunakan apa sahaja yang ada untuk menewaskan parti lawan yang lebih khusus terdiri dari orang Melayu. Tanpa mereka sedari tindakan inilah yang dikatakan mengusung jenazah Melayu itu sendiri.

Hari ini Institusi Raja-Raja terheret dalam kancah politik negara ini. Laungan Daulat Tuanku dan jeritan derhaka dan sembah derhaka timbul tidak semena-mena. Semua ini berlaku adalah kerana kedua-dua kumpulan Melayu dalam parti masing-masing sedang mempertahankan kedudukan politik mereka. Sadis bukan? Apa bentuk hala tuju politik orang Melayu hari ini? Kenapa ini harus terjadi? Adakah semuanya kerana kuasa – semuanya atas nama perjuangan hak dan kebajikan orang Melayu tetapi akhirnya menjadi senjata yang membunuh Melayu itu sendiri.

Masing-masing mendabik dada memperjuangkan orang Melayu. Semuanya mahu membela namun pembelaan itu lebih kepada melunaskan kehendak politik dan nafsu mahu memperoleh kuasa dalam negara ini. Ini semua akan memburukkan keadaan orang Melayu yang sudah sedia buruk sewaktu ini. Kedudukan Melayu yang semakin terhakis seakan tidak dipedulikan kerana perjuangan politik adalah perjuangan unggul dan perebutan kuasa seakan tidak mengambil kira kedudukan hubungan antara orang Melayu dengan Melayu sendiri. Keadaan semakin kritikal. Pertentangan seperti yang selalu di ungkapkan menguntungkan kaum lain. Tanah Melayu yang tergadai menjadi Malaysia bakal tergadai lagi dengan sikap dan keadaan politik yang semakin membimbangkan. Perlembagaan terus menjadi satu pegangan kontradiksi yang dipersoalkan. Akhirnya pergelutan semakin besar yang akhirnya akan menyaksikan negara ini terumbang ambing dan semakin meleset dari sudut sosiopolitik dan ekonomi.

Akhir-akhir ini kedengaran pula Institusi Raja-Raja mahu kekebalan raja-raja di laksanakan semula. Ini bagi Raja-Raja Melayu dapat menyelamatkan Institusi Raja-Raja dari terus di hina dan terus di heret ke kancah politik. Ini dikatakan perlu untuk menghalang tindakan-tindakan yang cenderung kepada derhaka kepada Kesultanan Melayu. Namun ini sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah pokok perpecahan di kalangan orang Melayu. Perpecahan di kalangan orang Melayu bukan kerana daulat dan derhaka tetapi lebih kepada politik Melayu itu sendiri. Melayu mempersoalkan kuasa politik orang Melayu dan lebih buruk menjual nilai dan martabat untuk mendapatkan kuasa demokratik. Pemegang kuasa politik Melayu hari ini juga tempang – sumbang dan tidak menampakkan nilai-nilai kesedaran mengenai persediaan mengapankan bangsa itu sendiri. Maka mahu tidak mahu kita akan mengusung kerana bangsa kita sendiri untuk di talkin dan terus dikebumikan. Lebih malang lagi jika yang mengebumikan bangsa kita – di tanah air kita dilakukan oleh orang lain – bangsa lain yang masih utuh pegangan persaudaraan dalam ikatan kaum mereka sendiri.

Maka Melayu perlu sedar bahawa bukan sahaja zaman gelap mereka akan muncul malah kedudukan mereka di tanah air ini juga akan terlucut dengan persengketaan yang sedang berlaku. Melayu harus terus diikat dan ikatan sesuai yang perlu ada adalah kesedaran kepentingan untuk sama-sama memperjuangkan hakikat dan kehadiran bangsa. Tidak ada siapa yang akan menangis dan meratap kehancuran bangsa melainkan kita sendiri.

Apa yang perlu bukan kekebalan raja – apa yang perlu bukan laungan slogan Hidup Melayu – apa yang perlu bukan jeritan derhaka, Daulat Tuanku dan Ketuanan Rakyat. Apa yang perlu adalah satu bentuk ikatan dan mungkin ini perlu dilakukan oleh penaung bangsa Melayu itu sendiri. Mungkin peranan DYMM Seri Paduka Baginda dalam mengikat kembali Melayu kepada satu ikatan perlu. Mungkin sudah sampai masanya kepimpinan Melayu diajak duduk bersama - Institusi Raja-Raja Melayu untuk berbincang dan ini tidak terhad kepada kepimpinan politik yang memegang kerajaan negara ini. Semua kepimpinan politik Melayu – NGO yang diiktiraf dan berdaftar – Ulama duduk pada persidangan Melayu untuk sama-sama membincangkan dan mengeluarkan ketetapan bagi memulakan langkah menyatukan orang Melayu pada kekuatan yang perlu ada bagi membela bangsa. Permasalahan Melayu dibincangkan dengan lebih jelas agar Raja – Raja Melayu dapat memainkan peranan yang lebih khusus dalam menyelamatkan Melayu dari terus lupus di tanah air sendiri.

Apa pun – jangan biarkan kita mengusung jenazah bangsa Melayu untuk dikebumikan.

Sunday, November 02, 2008

Maju Melayu bukan lagi Hidup Melayu

Perubahan perlu pragmatik. Perlu ada arah. Perlu menjanjikan kelainan dan nampak mampu membawa langkah baru dalam memastikan Melayu itu tidak layu dan tidak tertinggal. Wadah yang di harap perlu berani bertindak dan tidak membelakangi hasrat dan menjual hak yang ada demi mendapatkan kuasa palsu yang sentiasa di cengkam oleh kuasa ekonomi. Ini bukan persoalan baru – ini realiti. Kuasa ekonomi dalam zaman kapitalis ini mendahului kuasa politik. Ketuanan bukan diukur dari pegangan kuasa politik tetapi ditentukan oleh kuasa ekonomi. Ini semua kerana kemajuan yang kita harapkan mendahului kemampuan kita mengisi arus pembangunan yang ada. Melayu berada dalam era kemajuan – bukan Melayu itu maju berbanding dengan kaum lain. Ini perlu kita bezakan. Ini seperti penonton bola sepak dengan pemain bola sepak. Melayu hanya menonton kerana pembangunan yang ada belum menyeluruh melibatkan Melayu malah hakikat kita masih jauh ketinggalan itu perlu kita akui. Ketuanan siapa sekarang ini. Ketuanan hari ini milik mereka yang memegang kuasa ekonomi secara kolektif. Mereka yang mampu menukar apa sahaja dengan kekuatan ekonomi. Siapa pemilik ekonomi sekarang ini?

Melayu perlu mengorak langkah bagi memastikan kusa ekonomi turut berada dalam ruang lingkup Melayu. Melayu perlu membangun dan perlu maju. Kemajuan yang ada perlu menyeluruh dan bukan berkisar dalam sudut fizikal sahaja. Maju dari sudut mental dan fizikal. Maju dari sudut ekonomi dan mahu dalam pemikiran yang ada. Kemajuan inilah yang perlu kita desak. Kemajuan inilah yang akan menyelamatkan Melayu.

Apa pengukur ketuanan Melayu? Adakah perlu dibicarakan ketuanan sedangkan pemilikan bukan dari kalangan kita orang Melayu? Apakah erti dan makna ketuanan sekiranya kita sendiri hari ini takut dan berharap kepada yang lain untuk masa depan Melayu itu sendiri. Kerana itulah Hidup Melayu adalah laungan usang dan nada baru diperlukan bagi membangkitkan semula Melayu. Laungan Maju Melayu perlu kerana kita bukan hadir sekadar untuk hidup sahaja. Hidup Melayu sudah selesai. Kita hidup dan kita masih dapat bergerak sungguhpun dalam konteks kemiskinan yang ada. Kita perlu laksanakan kemajuan – memajukan Melayu dengan pencapaian kedudukan ekonomi yang lebih menyeluruh. Ini penting kerana andai kita hanya sekadar hidup – bukan sahaja kita tidak memiliki ketuanan malah kita akan terus menjadi hamba kepada mereka yang memegang kekuatan ekonomi negara ini.

Ingat – kita perlu kuat pada teras dan bukan pada kulit. Kita perlu menyatakan dengan berani kedudukan kita – secara relatif berbanding dengan kaum lain. Kita perlu bangkit untuk memastikan kita kemajuan kita dan tidak hadir setakat menjadi penonton sahaja kepada bangsa lain. Kita perlu berani menangkis tetapi malang penangkisan memerlukan kekuatan dan bukan undang-undang untuk menghalang. Melayu perlu Maju dan kemajuan itu adalah untuk membenarkan kita berdiri atas pembangunan yang ada. Kita perlu dilihat sebagai bangsa yang mahu maju dan kemajuan itu memerlukan satu usaha konklusif untuk dari semua Melayu.

Siapa agaknya sekarang ini tuan kepada Melayu atau pada siapa label Ketuanan itu sekarang berada?

Tuesday, August 12, 2008

Masa gelap Melayu

Pertanyaan dan andaian sering dibuat – mereka menjual hak Melayu, mereka mengikis hak Melayu dan masa depan Melayu semakin gelap. Persoalan dan andaian ini buat – oleh UMNO kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat terhadap UMNO. Ini tidak lagi disertai oleh PAS dan pertubuhan Melayu yang menjadi entiti lahiriah wadah politik yang ada. Senario bantahan berbeza. Pakatan Rakyat mahu menyelamatkan Melayu dengan menghalang kepimpinan UMNO yang dikatakan korup mengaut keuntungan dari dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan dan UMNO hari ini mencabar kecurangan pentadbiran negeri di bawah Pakatan Rakyat yang dikatakan mengetepikan agenda Melayu dan melunaskan khususnya agenda DAP.

Tuduhan mengenai projek babi – pentadbiran Negeri Perak dan Pulau Pinang yang dihalakan kepada agenda Cina – tuduhan UMNO Putera - kegagalan DEB – keruntuhan pendidikan dan kerosakan moral sosial Melayu – kemiskinan – penggunaan Bahasa Inggeris untuk matematik dan Sains – kemasukan bangsa lain dalam UiTM – pembahagian kontrak yang tidak membantu Melayu – pembahagian kontrak yang disapu oleh kroni Melayu – Cina di belakang kontrak besar – rasuah – kuasa politik yang terlepas – kuasa ekonomi yang tidak berada pada Melayu – Wilayah Iskandar merugikan Melayu – Kampung Baru Kuala Lumpur, tidak kira apa tuduhan, tidak kira oleh siapa kepada siapa, tidak peduli dari parti mana ke parti mana tetapi ini hanya menampak satu perkara – masa gelap Melayu Tanah Melayu.

Ini menjadi amat ketara hari ini, dengan tuduhan berlawan dengan tuduhan, perlakuan berlawan dengan perlakuan sama ada untuk meraih undi Melayu mahu pun mahu meraih undi Cina dan kaum lain. Akhirnya Melayu masih tetap di situ dan kedudukan semakin terpecah dan terbelah.

Melayu jadi mangsa kerana Melayu tidak melihat pada Melayu tetapi melihat pada pakaian yang di pakai – sama ada Melayu UMNO, Melayu PAS dan Melayu PKR . Pakaian ini adalah konsentrasi perjuangan dan hakikat kaum Melayu itu sendiri tersungkur di sudut pembangunan dan kekayaan negara ini menjadi semakin satu realiti yang ada.

Langkah kita perlu tegas. Langkah kita perlu teguh. Melayu itu sendiri sepatutnya bangkit menentukan perjuangan dan bukan di sadur perjuangan dengan perjuangan politik – sama ada mempertahankan kuasa kepartian atau mencabar kuasa parti yang memerintah. Melayu dalam UMNO perlu bangun sekiranya tindakan tidak menjurus kepada perjuangan Melayu dan ini juga perlu berlaku pada parti lain seperti PKR dan PAS. Ini perlu dilakukan dan ini perlu kita pastikan dengan tepat.

Pertanyaan dan kefahaman kita mengenai apa yang sebenarnya Melayu mahu perlu ada. Adakah Melayu itu mahu dilihat sebagai pemegang kuasa politik sahaja atau mahu kedudukan kita meningkat terus dengan nilai dan keperibadian yang kukuh dan unggul melangkah kemodenan. Adakah kita mahu Melayu itu terus bersengketa dengan persengketaan itu hanya untuk mengoyak-goyak pakaian politik antara sesama tanpa mengira implikasi terhadap nasib kaum itu sendiri?

Adakah ini di namakan kemajuan untuk Melayu. Adakah serangan demi serangan dari Melayu kepada Melayu dapat meningkatkan pencapaian Melayu atau kita seharusnya mengetepikan soal perbalahan demi untuk Melayu. Satu yang penting adalah untuk Melayu bergabung untuk menentukan arah tuju tanpa jaket politik.

Langkah kita semakin pincang. Melayu semakin keliru – bila Melayu itu dipisahkan dengan pakaian politik mereka. Melayu terus menerus diserang – oleh Melayu yang mahu sesuatu dan oleh Melayu yang mempertahankan sesuatu – sedang hakikat tidak memperjuangkan Melayu. Maka masa depan Melayu terus gelap di Tanah Melayu.

Monday, July 07, 2008

Isyarat awal – untuk orang Melayu

Akhirnya semua terbongkar. Anwar di tuduh liwat kali kedua. Najib di tuduh ada kaitan dengan Altantuya. Rasuah Najib menjadi isu besar, Ghani Patail dan Musa Hassan semua menjadi topik bicara hari ini. Lebih lagi sekarang ini sumpah dan menyumpah menjadi sandaran, fitnah memfitnah menjadi alasan menghalalkan cara – bukan itu sahaja semua kepimpinan Melayu itu buruk dan kepimpinan Melayu itu hina. Semua terbongkar – semua terbongkar – semua isu orang Melayu – semua isu kelemahan Melayu – semua isu kebobrokan Melayu – kepimpinan Melayu.

Apakah ini bukan tanda-tanda awal kemusnahan Melayu itu sendiri? Bukan kah ini menunjukkan kedudukan Melayu itu – dipimpin oleh pemimpin yang gagal memartabatkan Melayu. Ini bukan isu politik kepartian. Ini bukan isu menyokong UMNO atau menyokong Parti Keadilan Rakyat mahupun menyokong PAS. Dalam keghairahan ini kita lupa satu perkara – asasnya kita Melayu, asas dan akar kita Melayu dan perjuangan kita untuk Melayu. Kenapa kita singkirkan keutamaan kita – memperjuangkan bangsa? Kenapa kita terikut-ikut, kenapa kita letak paksi perjuangan ini kepada kepimpinan dan wadah? Kenapa harus Pak Lah atau Anwar Ibrahim, kenapa harus Ustaz Hadi – kenapa harus PKR atau UMNO dan PAS.

Keadaan semakin meruncing. Melayu semakin diambang kemusnahan. Ini kita tidak cerita mengenai mereka yang ketawa melihat kita. Ini tidak lagi kita menceritakan perolehan mereka dari percakaran kita orang Melayu. Kita belum juga menimbulkan isu siapa yang akan beruntung dalam kita bercakaran dan bergaduh. Semua ini melemahkan dan semua ini sebenarnya meletakkan kedudukan Melayu itu pada tahap yang paling rendah.

Masa sudah tiba bahawa Melayu itu bangkit dari gerombolan permasalahan yang wujud sekarang ini. Melayu kena berikhtiar untuk memulihkan keadaan. Melayu perlu sedar bahawa Melayu itu akan menjadi mangsa sekiranya di atas sana masih bercakaran. Melayu akan terus melarat sekiranya di atas sana penuh dengan kemungkaran dan penuh dengan tindakan yang memalukan Melayu itu sendiri.

Kita mulakan semula. Mungkin ini masanya untuk Melayu lain selain dari mereka yang bertelagah memastikan masa depan Melayu itu cerah semula. Masa nya sudah tiba untuk Melayu lain – golongan cendekiawan dan intelektual Melayu, golongan NGO Melayu, Pertubuhan – pertubuhan Islam Melayu bangkit untuk memastikan keadaan lebih sempurna. Melayu dari golongan ini perlu bangkit untuk memastikan kepimpinan Melayu yang ada membetulkan pendirian, prinsip dan aliran perjuangan.

Masa sudah tiba untuk Melayu itu sedar bahawa krisis kita merugikan bangsa kita. Ini perlu untuk kita sedar sebelum perlakuan kita memudaratkan bangsa kita. Kita perlu pastikan bahawa kita menjadi penentu mereka bukan mereka yang mengarah kita. Kita perlu hari ini melakukan pengorbanan semula – demi Melayu. Kita perlu mendesak agar mereka yang mengetepikan perjuangan bangsa ditolak dari memimpin kita Melayu.

Masanya sudah tiba untuk Melayu menentukan kepimpinan yang lebih sempurna dalam merealisasikan perjuangan Melayu. Lupakan kepimpinan yang bertelagah hari ini – mulakan menjadi Melayu yang akan menentukan nasib bangsa kita. Seruan semua dari apa lapangan untuk bangkit menyatukan Melayu – agar menjadi satu rangkaian pendesak agar masalah Melayu diselesaikan dengan segera. Kita haru memulakan langkah agar apabila kita bangun keesokan hari Melayu itu masih berpijak di bumi sendiri – bukan menjadi hamba akibat persengketaan kita.

Thursday, June 26, 2008

Siapa sabotaj Dasar Ekonomi Baru

Sudah ada Melayu yang mempersoalkan keutamaan yang di terima oleh Melayu sendiri. Persoalan mengatakan Melayu harus menolak ketuanan Melayu – harus bersaingan dengan penjajah-penjajah ekonomi secara terbuka untuk membuktikan bahawa Melayu menolak paksi-paksi yang berasaskan ras sudah mula kedengaran di kalangan Melayu itu sendiri. Bagi mereka Melayu terlampau manja dan sikap inilah yang membuat Melayu terus tersungkur di persada ekonomi negara ini. Pantas, mereka dari golongan Melayu ini membicarakan kegagalan DEB dan kegagalan itu dikatakan berpunca dari Melayu itu sendiri khususnya kepimpinan UMNO.

Alasan itu menjadi laungan perjuangan yang disokong oleh kaum lain khususnya bila membicarakan hak keistimewaan orang Melayu. Kaum lain menyokong, bahawa hak keistimewaan orang Melayu adalah punca Melayu malas dan kufur kepada kehidupan. Ada kini antara kita Melayu lahir mendabik dada mengatakan bahawa selagi Melayu itu berpegang pada Dasar Ekonomi Baru dan berharap pada penggunaan tongkat keistimewaan hak maka selagi itu Melayu itu akan ketinggalan. Teori ini lahir apabila pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru gagal mencapai peratusan yang diharapkan lantas pembentukan justifikasi sikap Melayu dijadikan alasan atas kegagalan polisi. Mahu tidak mahu justifikasi ini membuka ruangan yang lebih luas untuk bangsa lain turut mengiakannya. Hapuskan hak keistimewaan, kerah dan paksa berdikari serta beri tekanan agar Melayu itu melonjak ke hadapan. Bangsa lain turut bersedia membidas kononnya sikap Melayu merupakan punca kegagalan. Sikap negativisme Melayu dikatakan punca dan seluruh Melayu di dunia seolah-olah lahir dalam kekurangan dan kemelesetan sikap dan minda.

Kegagalan ini juga membentuk ruangan bagi kumpulan tertentu menangguk di air yang keruh khususnya oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik. Sikap oportunis mereka timbul untuk membidas kepimpinan yang dikatakan gagal meningkatkan pembangunan perekonomian orang Melayu. Bidasan ini sebenarnya adalah untuk kepentingan politik semata-mata. Lantaran itu, kegagalan pembangunan sosioekonomi orang Melayu itu dijadikan umpan untuk menuntut perubahan kepimpinan dan wadah politik oleh segelintir Melayu yang mahu merebut kuasa. Bagi mendapatkan sokongan menyeluruh maka alasan hak keistimewaan yang menjadi sebab pembentukan sifat manja orang Melayu yang menyumbang kepada kegagalan Melayu dan menuntut Dasar Ekonomi Baru perlu dihapuskan, menjadi jajaan politik mereka. Mereka menyarankan hak-hak ini diganti dengan laungan baru – laungan Ketuanan Rakyat. Semua ini adalah berkait rapat dengan kepentingan tersendiri.

Semestinya dengan laungan Ketuanan Rakyat bagi mengganti ketuanan Melayu maka berpusu-pusu kaum-kaum lain menyokong laungan itu. Laungan itu sedikit sebanyak adalah untuk menjual hak Melayu. Secara sengaja atau tidak, hak keistimewaan itu perlu dihapuskan kerana mereka mengatakan bahawa hak ini hanya di nikmati oleh UMNO putera – kata mereka.

Namun Melayu ini tidak sedar bahawa inilah laungan yang senada dengan laungan cauvinis Cina dalam DAP. Mereka akan menyokong terus dan mereka akan cuba pula menyemat terma Malaysia Malaysian dalam kemelut ini. Mereka akan menyokong laungan Ketuanan Rakyat sebagai ganti kepada Ketuanan Melayu kerana ini sebenarnya memberi satu loncatan kepada perjuangan mereka. UMNO menjadi mangsa. UMNO dikira sebagai ultra Melayu, dilabel sebagai parti rasis yang kolot dan usang. Membunuh UMNO dan memberi kemenangan kepada Parti Keadilan Rakyat adalah perjuangan untuk memenangkan kaum lain – setidak-tidak ini harapan cauvinis yang ada. Kejayaan mereka untuk meletakkan minda rakyat Melayu kepada satu arah yang sealiran dengan cita-cita mereka serta keselarian tuntutan supaya kita perlu adil kepada semua bangsa dan kepada semua agama adalah secara relatif satu kejayaan mereka sekiranya ini di sokong oleh kita Melayu.

Sebenarnya ada pendapat baru yang ingin dilontarkan mengenai DEB. Pendapat tersebut adalah - kuasa pegangan ekonomi khususnya oleh kaum Cina merupakan faktor utama kenapa DEB gagal. Pencarian justifikasi hujah ini dibuat dengan hakikat bahawa kekuatan ekonomi mampu untuk melanggar sebarang polisi politik yang selama ini dalam tangan Melayu. Ada pendekatan mengatakan sungguhpun Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada 1970 tetapi ia tidak pernah dilaksanakan dan setiap langkah polisi politik ini tertakluk kepada persetujuan mereka yang memegang kuasa ekonomi. Teori ini berputar sekeliling pertentangan konsep kuasa – yakni kuasa politik dengan kuasa ekonomi. Ketidakseimbangan sosioekonomi dan seterusnya sosiopolitik negara merupakan sebab kenapa Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Ini adalah perencanaan polisi politik untuk menangani kuasa pegangan ekonomi. Berbagai-bagai polisi dan langkah dicipta untuk memajukan Melayu dari semua sudut perniagaan. Sungguhpun polisi itu tidak prejudis kepada kemiskinan Melayu sahaja tetapi pada kedudukan itu Melayu adalah komponen terbesar dalam statistik kemiskinan. Sehubungan dengan itu sungguhpun pembasmian kemiskinan dikatakan tidak mengira kaum tetapi konsentrasi diberikan kepada orang Melayu. DEB juga mengambil kira kebenaran perlembagaan yang memperuntukkan hak keistimewaan pada Melayu.

Walau bagaimanapun polisi politik ini telah dikatakan gagal menyaingi kekuatan kuasa ekonomi yang sewaktu itu memang dipegang oleh golongan Cina. Polisi-polisi ciptaan DEB sungguhpun mendapat restu dari wakil kaum-kaum lain khususnya dari kaum Cina, tetapi restu itu adalah dari golongan Cina yang memegang kuasa politik. Ada pendapat yang mengatakan bahawa golongan kapitalis – penguasa ekonomi telah menghalang keupayaan polisi politik itu untuk berkembang. Sejauh mana kebenaran konsep ini, ia masih dalam kajian. Namun keadaan ini telah digambarkan oleh Dato Onn bin Jaafar lama dahulu. Beliau mengatakan bahawa kuasa politik hanya bayangan kepada kuasa ekonomi dan kemungkinan berdasarkan kenyataan itu maka tidak mustahil DEB kita telah disabotaj semenjak 1970 lagi.

Akhirnya maka persoalan seterusnya adalah – siapa yang sabotaj DEB semenjak 1970. Mungkin pemilik kuasa ekonomi. Siapa mereka – tepuk dada tanya selera. Insyallah setelah semua kajian di buat maka rencana ringkas ini akan lebih padat dan pembongkaran secara telus mengenai, Siapa sabotaj Dasar Ekonomi Baru dari tahun 1970 dan sehingga sekarang. Adakah pemegang kuasa ekonomi itu yang menyebabkan Melayu ketinggalan?

Sunday, June 01, 2008

SUMPAH MELAYU


Maka pada 10 Februari 1946, dibaca oleh orang Melayu mengenai sumpah Melayu untuk Melayu. Maka mereka bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus membentuk tamadun bangsa untuk terus kekal relevan. Hari ini sumpah itu hanya dalam lipatan sejarah. Hari ini sumpah itu seakan di khianati kerana orang Melayu sendiri berfikiran bahawa mereka perlu berubah – berubah dengan kemajuan – berubah untuk meninggalkan – nilai murni bangsa – secocok dengan pembangunan moden dunia dan nilai baru yang sesuai dengan pendidikan moden. Kita bercerita untuk melepaskan sejarah, melanggar sumpah dan terus maju bersama-sama bangsa lain. Kita memilih menukar ketuanan kepada ketuanan rakyat. Ketuanan yang lepaskan hak yang selama ini ada, menjajakan pegangan untuk memperoleh kuasa dan mendabik dada menjadi pejuang politik yang tidak bermakna untuk bangsa itu sendiri.

Sebenarnya ketuanan rakyat yang dilaungkan adalah penjualan hak yang ada. Sebenarnya kesamarataan dalam demokrasi yang diperjuangkan lupa, bahawa Melayu yang mengekor dan belum lagi boleh berlari. Perjuangan Melayu adalah untuk Melayu, tidak perlu digeruni dan di perlu dikhuatiri. Perjuangan Melayu adalah untuk meningkatkan Melayu agar serasi bila bercerita mengenai kemodenan dan pembangunan agar kemajuan itu tidak timbul hanya di kelit mata kemudian di landa kepayahan hidup dan keciciran bangsa.

Kenapa Melayu takut membicarakan sumpah mereka? Kenapa Melayu takut membicarakan perjuangan Melayu? Adakah kerana ini menghilangkan rasa moden di kalangan mereka? Adakah ini menunjukkan bahawa kita tidak maju bila membicarakan tentang perjuangan bangsa?

Melayu sebenarnya perlu sedar dan perlu menjelaskan. Ketegasan kita memperkatakan hak dengan penjelasan yang sempurna. Kita perlu pertahankan sumpah kita kerana kita tidak mahu kedaulatan Melayu mengalir meninggalkan kita – lebih buruk bila Melayu beransur hilang di bumi sendiri.

Kita mesti mengenal apa yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan. Jangan terleka dengan perjuangan politik yang mementingkan segelintir mereka yang mahu terus berkuasa. Kita mahu mereka yang turut membicarakan hak yang perlu dipertahankan demi Melayu untuk Melayu.

Ini adalah untuk semua, yang tingi melangit, yang sedang duduk mencoret polisi dan kita yang berkeliaran di muka bumi menjadi rakyat Melayu yang kini seakan kehilangan maruah diri. Jangan angkuh membicarakan kemodenan dalam erti melupakan nilai Melayu kita yang ada. Jangan angkuh membicarakan pembangunan dengan menggadai hak kita.

Melayu itu perlu dicernakan semula. Dalam erti mempertahankan yang ada. Dalam erti memperjuangkan semula, yang telah terlepas akibat melanggar sumpah kita. Melayu itu perlu bangkit dalam melihat bahawa kita bukan ketinggalan tetapi kita semakin hari semakin pupus di muka dunia. Kita perlu menceritakan semula Melayu itu – dalam suasana baru tetapi penuh bermaruah dan tidak perlu segan pada apa yang kita ada.

Sekiranya ada antara kita – menyatakan sumpah ini kuno dan ketinggalan, maka katakan pada mereka, sumpah itu kekal membicarakan perjuangan kita dan yang terlupa adalah mereka yang palsu menyatakan bahawa ketuanan Melayu adalah sisa-sisa sahaja, perlu di campak bersama sampah-sampah lain yang tidak berguna dan bukan budaya yang perlu dipertahankan kerana mereka sedang menuntut kuasa untuk berdendam sesama Melayu yang ada dan mereka tidak ubah seperti sampah yang jijik untuk Melayu melihatnya.

Ini sepatutnya dikenang semula-kerana yang hilang kita, yang dikurangkan hak kita dan yang ada penipuan mereka yang membawa bunga-bunga palsu untuk kita – tidak berbau dan tanpa semangat dan roh sebenar.

Perjuangkan dan pertahankan – maruah bangsa agar kita menginsafi yang hilang pada kita kerana kita Melayu lupa bercerita – kita tidak hilang d dunia – wujud sebagai daun kering yang menanti terlerai dari pepohonan sungguhpun jejak ada tapi tidak bermakna.

Thursday, May 29, 2008

Ezam seberang sudah!


Ezam seberang sudah !

Spekulasi Ezam menyeberang masuk ke UMNO kini sudah terjawab. Laman www.arahkita.blogspot dalam isu tahun 2006 lagi sudah membuat antisipasi bahawa Ezam Mohd Nor akan menyeberang masuk ke UMNO. Hari ini setelah 2 tahun maka telah menjadi satu hakikat Ezam Mohd Nor kembali ke UMNO.

Sebelum ini dalam memberi sedikit komen mengenai spekulasi Ezam Mohd Nor menyertai UMNO, www.umno-reform.com mengatakan bahawa kemasukan Ezam adalah sebagai senjata untuk menentang kebangkitan Anwar Ibrahim. Inilah tujuan Ezam dibawa masuk oleh Pak Lah. Ezam Mohd Nor yang terkenal menentang Dr Mahathir kini mempunyai misi yang agak besar – menjadi senjata untuk menghalang Anwar Ibrahim dari terus meniti takhta populariti dan di samping menjadi suara tegas untuk membelasah Dr Mahathir. Ini mungkin misi Ezam Mohd Nor.

Namun dalam menyerahkan dokumen kemasukan semula ke UMNO – Badrul Hisham Shaharin yang dikatakan musuh ketat Khairy Jamaluddin tidak kelihatan menyertai rombongan Ezam Mohd Nor bertemu Pak Lah. Badrul Hisham, Ahli Kepimpinan Tertinggi Keadilan tetap menyatakan sokongan beliau kepada Parti Keadilan rakyat dan telah membuat kenyataan terbuka beliau menjawab desas-desus bahawa beliau akan bersama-sama Ezam Mohd Nor menyertai UMNO. Ini mungkin menjadi kelegaan Parti Keadilan Rakyat kerana Badrul dilihat sebagai kepimpinan akar umbi dan antara penggerak reformasi.

  • Nora antara reformis yang telah ditangkap sebanyak 11 kali masih belum memberi kenyataan mengenai spekulasi akan menyertai Ezam Mohd Nor Blog Norazimah Mohd Nor

Sungguhpun begitu, satu lagi tokoh reformasi Norazimah Mohd Nor yang dikatakan turut akan menyertai Ezam Mohd Nor gagal kelihatan untuk bersama-sama Ezam dalam bertemu dan menyerahkan borang UMNO. Sungguhpun begitu tidak ada kenyataan dari aktivis reformasi yang telah di tangkap sebanyak 11 kali sepanjang perjuangan reformasi.

Namun persoalan utama ialah – kenapa Ezam menyertai UMNO. Adakah beliau mempercayai langkah-langkah reformasi yang sedang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional atau sebagai satu wadah untuk memulakan serangan terhadap Anwar Ibrahim yang dikatakan membelakangi perjuangan Melayu. Apa kata anda

Gambar dari agendaily.com