Monday, March 24, 2008

Akan berlakukah "MAGERAN"

Sedang kami melayari Internet kami terjumpa dengan artikel tahun 1999 oleh Ibrahim Baba bertajuk "MAGERAN" http://members.tripod.com/polong_cyber/koleksi2/a5208.html

MAGERAN AKAN AMBILALIH NEGARA, JIKA BN KALAH! Maklumat yang diterima menyatakan bahawa UMNO akan melancarkan satu gerakan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang akan menjadi "senjata" utama dan terakhir pihak UMNO/Barisan Nasional untuk terus berkuasa. Segala persiapan penubuhan MAGERAN sudah hampir pasti tersusun sebagaimana Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN). Mengikut sumber yang memberitahu MR, MAGERAN akan dilaksanakan kalau UMNO/Barisan Nasional kalah di dalam Pilihanraya umum nanti atau keadaan ekonomi menjadi terlalu teruk dan buruk.

Apa yang menjadi percaturan UMNO hari ini, apabila keadaaan ekonomi menjadi terlalu teruk dan buruk maka situasi kekacauan kaum akan diada-adakan (created) sebagai alasan kepada melaksanakan melaksanakan MAGERAN. Ada kemungkinan sebab-sebab kepincangan sosial seperti bohsia, penagihan dadah, pelacuran dan lain-lain juga turut akan dijadikan alasan. Beberapa fakta yang mendorong kepada penubuhan MAGERAN ini ialah seperti berikut: Abdullah Badawi merupakan seorang yang amat 'familiar' mengenai MAGERAN semasa MAGERAN dilaksanakan pada tahun 1969 di mana ianya dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak, dimana beliau merupakan pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas sekeretariat MAGERAN.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) adalah mirip kepada MAGERAN di mana hampir semua unsur-unsur, struktur dan elemen-elemen penting MAGERAN sudah sedia ujud. MTEN boleh ditukar fungsinya kepada MAGERAN dengan cepat dan pantas. UMNO/Barisan Nasional amat gusar dengan suasana politik kini dan pendirian pengundi yang mirip kepada pembangkang. Rujuk surat S/U Agung UMNO kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dan semua Ketua Bahagian bertajuk "Pergolakan Politik" Bil UMNO/B/PBT/1 JLD:3 bertarikh 14 April 1999. http://members.tripod.com/~mahazalimx/umyes.html

Hubungan dengan negara seperti Libya dan Iraq semakin aktif dengan lawatan anak Gadafi pada ahkir bulan April 1999 (tiada dalam berita - blackout) dan lawatan Naib Presiden Iraq, Taha Ramadan yang tidak diberi publisiti muka depan akhbar adalah tanda-tanda perbincangan-perbincangan bagi mempelajari pengalaman Libya dan Iraq dalam menangani krisis yang sama yang akan dihadapi di Malaysia. Berita-berita di akhbar yang sudah 'psycho' orang awam yang menegaskan bahawa masalah sosial (pengedaran dadah) perlu diperangi sebagaimana memerangi komunis.

Seperti tersiar di muka hadapan Berita Harian pada awal Mei dan usaha melaksanakannya telah bermula dengan penangkapan 'maknyah" baru-baru ini di sekitar KL. Kedaaan ekonomi yang gawat dan kenaikan KLSE yang mendadak adalah Merupakan 'artificial' dan dijangka akan merudum selepas bulan September 1999. Proses pemberhentian pekerja akan berterusan dan ini akan memberi kesan negatif kepada sokongan terhadap UMNO/Barisan Nasional. MAGERAN mungkin tidak mendapat sokongan pihak tentera sepenuhnya. Maka pihak tentera perlu "didisiplinkan" melalui pemaparan berita-berita kepincangan projek ATM (e.g. Pularek dan pemalsuan cek baru-baru ini).

Mula-mulanya difikirkan paparan tersebut adalah ditujukan kepada Syed Hamid atau Najib atau Samy Vellu, tetapi berita-berita selanjutnya jelas menunjukan ianya ditujukan kepada pihak tentera Pularek. Kesan paling nyata apabila terlaksananya MAGERAN ini ialah terhadap semua pemimpin parti pembangkang, NGO yang kritis terhadap kerajaan, pengedar dadah, ibu/bapa ayam, bohsia dan pemimpin-pemimpin agama yang dianggap "salah" akan ditangkap.

Akhbar-akhbar tempatan akan memaparkan betapa MAGERAN perlu diadakan dan ianya akan dapat menyelesaikan masalah-masalah sosial dan ekonomi. Seperti di masa dahulu "operasi lalang" pemimpin parti pembangkang akan bercuti di Kemunting, Perak selama 2 tahun atau mungkin lebih. Selepas MAGERAN, Daim akan menjadi PM selama tidak kurang 2 tahun sebelum digantikan oleh Abdullah Badawi. Sekiranya semua perancangan berjalan baik, maka Najib, Abdulah Badawi, Syed Hamid adalah merupakan calun-calun Presiden di arena perhimpunan agung UMNO ketika itu nanti. Daim akan ditahtakan oleh Mahathir dan kroninya sehingga beliau bersedia untuk bersara.

Sumber: Ibrahim Baba20Mei, 1999

Sungguhpun ini artikel lama maka satu persoalan yang penting perlu kita tanya, adakah ini tidak mungkin berlaku hari ini di mana kedudukan Barisan Nasional agak meruncing. Kita perlu juga mempersoalkan perkembangan terbaru dalam politik negara kita. Kita lihat peranan Sultan dan Yang Di Pertuan Agung. Kita hari ini menyaksikan kemelut perlantikan Menteri Besar khususnya di Perlis, Selangor, Perak dan Terengganu.Kita lihat bagaimana dalam isu Terengganu terdapat kemelut terbesar. Sultan menolak perlantikan Idris Jusoh dan Ahmad Said kini dikatakan di pecat kerana melanggar arahan parti untuk tidak menerima jawatan itu. Keadaan ini melibatkan pergeseran UMNO dengan Istana Terengganu yang mana melibatkan Yang Dipertuan Agung. Adakah semua ini menghala ke arah yang spesifik. Adakah - MAGERAN mahu menyusup masuk? Kita bincang sama-sama. Akan berlakukah "MAGERAN"

Saturday, March 22, 2008

Mukhriz harapan Pemuda untuk tolak Khairy Jamaluddin

21hb Mac 2008 : Perubahan dalam kepimpinan pemuda UMNO? Itu adalah harapan setelah Pemuda UMNO bertahun-tahun sebelum ini bertindak sebagai pasukan sorak kepada kepimpinan Barisan Nasional. Ubah Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris - sungguhpun di kritik oleh ramai tokoh interlektual tetapi Pemuda UMNO tetap menari menyokong seperti pasukan sorak. Pemuda tidak dilihat sebagai satu arus mendesak dalam UMNO untuk mempertahankan rakyat.


Mungkin arus perubahan dalam UMNO akan kembali. Ku Li menawarkan diri sebagai Presiden UMNO dan Mukhriz mendesak Pak Lah untuk melepaskan jawatan. Ini adalah perubahan yang jelas selepas Tsunami yang melanda Barisan Nasional sampai kepuncaknya lantas menumbangkan dan memiliki 5 buah negeri dan Wilayah Persekutuan. Kegagalan Barisan Nasional dikatakan adalah kerana Pak Lah dan kegagalan Pak Lah adalah kerana Khairy Jamaluddin dikatakan sebagai pemimpin "informal" yang mempengaruhi keputusan Pak Lah. Ini sudah menjadi seakan satu pendapat umum dalam UMNO.




Kenyataan Khairy bahawa dia tidak akan menjawat sebarang jawatan dalam kabinet selagi bapa mentuanya adalah Perdana Menteri Malaysia tidak akan mengubah pendapat umum UMNO terhadap dirinya. Sehingga hari ini, sokongan semakin nampak jelas kepada Mukhriz untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam Pemuda. Mungkinkan itu satu realiti terhadap reformasi dalam UMNO? Mungkinkah Mukhriz perlu merubah perubahan dalam UMNO dan menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO?




Siapa lagi yang sepatutnya dicadangkan sebagai Ketua Pemuda dalam UMNO agar Pemuda UMNO dapat mewakili suara anak muda yang semakin cenderung kepada pembangkang. www.umno-reform.com mengajak saudara untuk melakukan perubahan dalam Pemuda UMNO kerana sehingga ke hari ini AMAT jelas PEMUDA UMNO gagal bertindak sebagai ajen perubahan yang mewakili suara anak Muda.




Satu kegagalan Datuk Hishammuddin Tun Hussein dalam mengendali Pemuda sehingga hari ini Pemuda UMNO hanya layak sebagai tukang sorak dalam fungsi organisasi UMNO. Mungkinkan umno-reform yang utama harus datang dari Pemuda UMNO dan Mukhriz adalah pilihan sekarang ini?

Thursday, March 13, 2008

Menangisnya Melayu


Ada yang bertepuk gembira dengan kemenangan dan prestasi baik parti pembangkang yang dapat menangkis 2/3 majoriti dari diperoleh Barisan Nasional. Satu kejayaan dan satu petunjuk kuat kepada Barisan Nasional bahawa rakyat negara ini sudah mula berani bersuara. Rakyat sudah berani membuat pilihan lain dari terus tunduk di bawah kehendak kerajaan memerintah yang gemar melaksanakan perkara-perkara kononnya atas kepentingan rakyat tetapi tidak menampakkan sebarang keuntungan untuk rakyat.

Barisan Nasional tahu kenapa mereka dipinggirkan kali ini tetapi persoalan yang lebih penting, adakah mampu Barisan Nasional dan UMNO untuk melaksanakan perubahan bagi tujuan membeli kembali maruah yang telah hilang. Penebusan maruah ini harus dilakukan dan penebusan maruah ini perlu dilakukan agar UMNO khususnya tidak terus dilupakan pada pilihan raya akan datang.

Laungan kejayaan rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia kita semakin kuat. Suara rakyat kini memilih Barisan Alternatif dan suara ini sudah menentukan bahawa sokongan mereka beralih dari Barisan Nasional dan UMNO kepada PAS, Parti Keadilan Rakyat Malaysia dan DAP. Satu kejayaan di luar jangkaan.

Namun pernah dikatakan – kita merasai nikmat dalam kecelakaan dan dalam persoalan kecelakaan ini ada keperluan untuk kita hujah dalam konteks kejayaan Barisan Alternatif dan kesan kepada bangsa kita Melayu.

Memang persoalan bangsa dan kaum adalah persoalan sensitif. Namun setidak-tidaknya dalam keadaan pembangkang yang telah menyapu bersih hampir 6 negeri termasuk Wilayah Persekutuan mungkin persoalan dan mempersoalkan isu bangsa akan dapat di buat secara lebih terbuka atas landasan kebebasan bersuara. Mungkin pembangkang akan lebih faham sekiranya keraguan masih wujud pada orang Melayu mengenai hak dan keistimewaan yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan. Jangan marah atau terus melulu menuduh bahawa ini adalah artikel perkauman – ini hanya persoalan yang menuntut penerangan dan juga menuntut untuk menghilangkan keraguan.

Melayu selepas pilihan raya masih tertanya-tanya persoalan mengenai keadilan dan kesamarataan yang akan dibawa oleh Barisan Alternatif. Adakah kesamarataan ini melibatkan pembasmian Agenda Nasional pada negeri-negeri yang di menangi? Adakah penghapusan DEB kerana DEB berbau kemelayuan? Adakah kenyataan Lim Kit Siang mengenai Menteri Besar Perak itu lebih kepada boikot kepada Kesultanan Melayu, atau keadilan dalam jumlah kerusi atau sebenarnya berbau penentangan Agenda Islam PAS? Apa pula pandangan ikhlas mengenai hak Keistimewaan orang Melayu yang di peruntukkan ?

Isu ini perlu dijelaskan oleh DAP yang nampak dominan dalam Barisan Alternatif dan nampak lebih berani dalam memecah kolaborasi antara mereka atas dasar prinsip. Sebenarnya secara ikhlas kita perlu bertanya dan mereka perlu menjawab agar mungkin dengan kepimpinan cara baru Barisan Alternatif ini maka mereka akan dapat membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Sebenarnya suara keraguan ini perlu diperjelaskan kepada semua. Jangan salah anggap sebagai rasis atau melabel persoalan ini sebagai rasis dan bertindak sama dengan pemerintahan lampau yang tidak mahu menunjukkan perluasan minda dalam menangani isu sebegini. Perlu di maklumkan bahawa ini KERAGUAN dan bukan hasrat untuk menolak atau menimbul sebarang pra sangka lain.

Kita mahu tahu sama ada perlu kita kekalkan sokongan rakyat pada pembangkang atau sebenarnya kita merasa nikmat dalam kecelakaan.

Wednesday, March 12, 2008

Yang salah itu Melayu


Padan muka Melayu, padan muka kamu dan sekarang Malaysia khususnya Semenanjung sudah terlepas dari tangan kita. Selangor dan Perak akan mengikuti langkah Pulau Pinang sebagai negeri ketuanan Cina. Ini semua kerana Melayu mudah lupa dan kehadiran orang seperti kamu yang mengendali laman dan blog yang sentiasa menghentam kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO. Hari ini kamu perlu bayar dengan maruah Melayu yang terpaksa digadaikan.

Ini adalah simpulan dan bentuk-bentuk kritikan yang di terima oleh
www.umno-reform.com bukan sahaja melalui email malah melalui hubungan langsung telefon. Kritikan dan tuduhan itu dilakukan oleh beberapa ahli UMNO yang menyalahkan bloggers, penyelia laman web dan mungkin seluruh pengundi Melayu yang dikatakan terpedaya angkara berita-berita dan hujah palsu www.umno-reform.com

Menarik juga adalah salah satu email yang kami terima:

Khir adalah antara pejuang Melayu Selangor. Kamu tidak faham hasrat beliau untuk menyaksikan Melayu maju. Kamu tidak nampak versi besar Khir Toyo dan hari ini kamu akan kehilangan bukan sahaja kepimpinan yang hebat tetapi Selangor akan hilang identiti Melayu. **** Mak

Begitu marah mereka kerana mereka telah mengambil
www.umno-reform.com adalah musuh Khir Toyo yang utama. Rata-rata yang menelefon mengatakan betapa sayangnya mereka pada bangsa mereka dan betapa UMNO sahaja yang dapat membela Melayu dan Melayu yang ada ini terpengaruh lantas melakukan sesuatu yang paling berdosa – yakni mengundi selain dari Barisan Nasional.

Namun satu yang paling ketara dalam mereka berhujah adalah sikap keter-lupaan mereka mengenai kesalahan pada diri kita dalam UMNO. Mereka lupa melihat kenapa rakyat mual dan bosan dengan UMNO. Kita lupa melihat salah siapa yang menyebabkan pengundi beralih arah. Kita lupa untuk membaca kritikan, komen dan sebab musabab kenapa bloggers dan media Internet mengkritik UMNO dan dalam konteks yang lebih menyeluruh Barisan Nasional. Mereka gagal mencari kesilapan Pak Lah, kesalahan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang angkuh meletakkan rakyat sebagai peminta sedekah dengan konon-konon subsidi adalah anugerah kerajaan, anugerah wang Pak Lah dan menteri-menteri kabinet dalam UMNO dan Barisan Nasional. Mereka tidak melihat dan mengkaji mualnya anak-anak muda yang berkesedaran politik terhadap Pemuda UMNO seperti Khairi Jamaluddin dan yang seangkatan dengannya.

Kebongkakan slogan seperti pembangkang sifar dan Selangor sifar setinggan hari ini meletakkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional di Selangor sebagai pembangkang dan negeri itu terlepas ke tangan Barisan Alternatif. Tindakan rakus memecah rumah setinggan pada masa anak Melayu sedang menjalani peperiksaan, meruntuhkan rumah dalam bulan Syawal dan sewaktu hampir perayaan Deepavali adalah tindakan tidak bermoral Khir Toyo yang akhirnya meletakkan beliau di tengah-tengah kritikan hebat khususnya dari laman ini.

Semua ini kita dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak mengambil peduli. Kita lihat juga komen kepimpinan usang yang mengatakan Internet tidak akan memberi impak langsung kepada masyarakat dan komen mereka yang bercorak angguk seperti kenyataan Hishammuddin mengenai yuran peperiksaan dan Samy Vellu dalam menaikkan harga tol. Ini semua memberi kesan dan akhirnya yang terlupa adalah untuk kita dalam UMNO dan Barisan Nasional menegur orang yang berdiri di depan cermin itu.

Hari ini ahli UMNO khususnya membicarakan kehilangan orang Melayu. Hari ini mereka melabel Parti Keadilan Rakyat dan PAS menjual maruah Melayu. Mereka menuduh kita dalam laman web sebagai agen penjualan bangsa.

Hari ini sebenarnya adalah pembalasan pada dosa-dosa UMNO dan Barisan Nasional yang gagal duduk sebagai wakil kepada rakyat. Hari ini adalah dosa kita berlagak sebagai tuhan kepada rakyat sebaik sahaja kita menang setiap pilihan raya sebelum ini.

Oleh itu bagi yang banyak menelefon dan mengkritik kami sebagai agen menjual Melayu, hendaklah mereka tepuk dada dan tanya sendiri – sewaktu memerintah adalah kamu mendengar rintihan rakyat dan luka yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Semasa memerintah adakah kamu membaca keluhan rakyat dalam media-media Internet kerana media lain jelas tertutup hak dan kebebasan mereka melapur.

UMNO dan Barisan Nasional perlu reform. UMNO dan Barisan Nasional perlu memperluaskan minda ahli-ahli yang selama ini disempitkan. Mereka perlu hadir dengan lebih peka dan mengakui kesilapan. Dengan ini baru kita boleh membuat penilaian semula – perubahan dan berani mengambil tanggungjawab. Kalau ditanya sama ada Pak Lah perlu diubah, maka jawapannya adalah kerana kepimpinan lemah – benar dia perlu di ubah tetapi perubahan dalam UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri lebih perlu kerana kita tidak mahu yang naik itu membawa penyakit lama dalam Barisan Nasional dan UMNO khususnya.


Yang salah itu bukan Melayu yang beralih arah, yang salah itu kita yang alpa sombong dengan kuasa dan sebuk untuk mengaut harta. Melayu lain adalah mangsa.

Sunday, March 09, 2008

Barisan Nasional KEGAGALAN moral

Pak Lah perlu lepaskan jawatan Perdana Menteri

Suara rakyat sudah mula kedengaran - Kedudukan BN parah dan secara relatifnya Barisan Nasional dan parti dominannya UMNO sudah tewas. Ah ..ha tak tahu, apa yang Pak Lah dah buat pada Barisan Nasional dan UMNO. Keputusan buruk ini hanya menunjukkan ada yang tidak kena dengan kepimpinan Pak Lah. Ini mungkin berpunca dengan harapan yang terlalu tinggi diletakkan oleh rakyat Malaysia terhadap Barisan Nasional sewaktu Pak Lah melangkah masuk menjadi Perdana Menteri tetapi keputusannya hambar.


Hari ini rakyat menyuarakan haknya. Suara kritikan yang sebelum ini tidak mahu beliau didengari kini diterjemahkan kepada keputusan untuk mencubit kerajaan Barisan Nasional dengan keputusan pilihan raya yang memalukan. Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang setakat penulisan artikel ini, telah rebah kepada pembangkang. Negeri lain yang bakal menyusur adalah Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan. Ini jelas menunjukkan Barisan Nasional GAGAL dan kegagalan ini seharusnya di pikul oleh Pak Lah selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional. Lebih dari itu pula Pulau Pinang – tumbang dan Pak Lah adalah anak negeri itu.


Pak Lah sewajarnya mengambil tindakan yang budiman, untuk tidak dilantik menjadi Perdana Menteri lagi. Itu sepatutnya satu keputusan yang perlu diambil bagi menebus dosanya yang membawa Barisan Nasional kepada lembah kehinaan ini. Kritikan mengenai Pak Lah hilang kuasa pegangan terhadap parti juga adalah sebab kenapa Pak Lah sepatutnya turut meletak jawatan. Namun satu bentuk kritikan yang perlu Pak Lah soroti dosanya adalah perubahan dan reformasi dalam UMNO itu sendiri. Kegagalan UMNO dalam berubah, masih terikut retorik pemimpin sebelumnya dan ditambah pula dengan kehadiran orang seperti Khairy Jamaluddin dan angkatannya menyumbang kepada keruntuhan moral Barisan Nasional.


Kini apa susah terjadi. Kepimpinan lemah Pak Lah dan hilangnya pegangan sebagai Perdana Menteri Malaysia menghasilkan keputusan yang amat buruk. Maka sungguhpun kemungkinan Pak Lah dapat mengekalkan 2/3 majoriti untuk memerintah tetapi beliau sendiri perlu digugurkan akibat prestasi buruk Barisan Nasional dan UMNO sendiri.