Saturday, November 08, 2014

Bila kita salah…




Keadaan bukan lagi seperti dahulu. UMNO bukan lagi menikmati apa yang dinikmati sebelum 1998. Semua kini telah berubah dan UMNO sebagai sebuah organisasi Melayu kini berhadapan dengan cabaran-cabaran baru dalam tamadun Melayu Baru. Melayu itu sendiri sudah berubah. Melayu itu sendiri bukan lagi seperti Melayu dan kalau ada yang ortodoks Melayu maka mereka akan dilabel sebagai ketinggalan zaman. Itu semua boleh kita terima. Perubahan Melayu zaman ini, pemikiran Melayu zaman dahulu yang berada pada zaman hari ini – turut boleh kita terima. Namun yang sukar kita terima adalah kepimpinan Melayu memperjuangkan Melayu dan Melayu itu adalah dirinya sendiri. Sikap Melayu yang hidup atas unjuran mahu memperjuangkan Melayu nyata amat hipokrit. Melaung slogan hidup Melayu – dalam konteks untuk menonjolkan diri sebagai pejuang Melayu amat dangkal – kalau perlakuan hanya mahu mementingkan kedudukan dan loncatan politik peribadi. Ini bagi saya adalah perjuangan palsu dan tidak konklusif.

Ditambah pula dengan memperjuangkan Melayu hanya untuk menjadikan isu Melayu sebagai bahan kempen dan bahan untuk mempopularkan diri sendiri. Dari memperjuangkan Melayu – menjadikan kempen untuk meraih sokongan orang Melayu – timbul pula apa yang dikatakan liberalisme Melayu. Melayu moden kata mereka. Melayu yang tidak Melayu tetapi Malaysian. Melayu yang mahu meraih sokongan Melayu di samping meraih sokongan kaum lain dalam rukun liberalisme Melayu. Melayu yang mengatakan Melayu lain ortodoks dan Melayu lain tidak terbuka fikirannya. 

Dari situ timbul pula Melayu yang menegah isu Melayu tetapi yang penting adalah Islam. Islam itu melebihi bangsa dan amat salah kalau kita mementingkan bangsa mendahului Islam. Kesongsangan mereka ialah menuduh perjuangan bangsa itu salah kerana yang ada hanya perjuangan Islam. Siapa yang mahu menafikan kepentingan perjuangan Islam dan memartabatkan agama Islam itu sendiri. Dalam kita menyuarakan kepentingan dan keperluan mendaulatkan agama Islam – Melayu juga di kerah, di manipulasi dan akhirnya di jajah untuk kepentingan lain khususnya politik.

Maka – berarah-arah perjuangan Melayu. Segala-galanya menyebut Melayu tetapi tidak memikirkan pembangunan bangsa itu bagi mendaulatkan agama Islam itu sendiri. Semuanya memikirkan Melayu – Islam untuk kepentingan kecil khususnya kepentingan politik masing-masing. Maka pengasingan perlu di buat – Islam dan Melayu, kata sebilangan kelompok yang mahu menyedapkan hati kelompok lain. Islam mendahului segala-galanya, tetapi turun padang untuk meraih kuasa – mendapatkan kuasa , atas dasar mahu menegakkan Islam. Maka sekali lagi bercabang-cabang perjuangan Melayu. DI sana memperjuangkan Melayu dan di sini memperjuangkan Melayu. Di sana memperjuangkan Islam dan di sini memperjuangkan Islam. Semua di sana dan di sini tidak pernah sebulu dalam memperkatakan sesuatu atas nama dan agenda lain.

Di sinilah Melayu salah-memecahkan antara Melayu atas agenda yang berbeza tetapi atas nama yang serupa. Di sinilah bermula cerita – Melayu itu tidak didefinisikan secara menyeluruh. Definisi Melayu berubah-ubah mengikut kehendak. Di sinilah akhirnya kita tertinggal, bila Melayu itu tidak lagi Melayu dan bila Melayu itu diperalatkan untuk hajat yang tidak menyeluruh untuk orang Melayu.  

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Bila Melayu semakin panda I.

11:12 AM  
Anonymous ruyom said...






Please see the link as below -

http://WeeklyFixPay.com/?share=10088

Thank you for your help





5:47 AM  

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home