Wednesday, January 31, 2007

Keadilan Sosial - persoalan pembahagian kemakmuran




Kita diajak berlari, diajak memajukan diri, diajak berubah, menukar cara hidup dan diajak sama - sama berkongsi kos. Kita berdepan dengan peningkatan kos kehidupan, kenaikan barang - barang keperluan asas yang kemudiannya "pembangunan negara" dituduh sebagai punca dan penyebab. Ini semua perlu demi pembangunan, kata mereka yang diberi amanah. Kerajaan tidak mampu memberi subsidi dan kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi mengurangkan defisit negara. Kita negara makmur, rakyat hidup aman damai dan kita amat - amat perihatin mengenai masalah yang dihadapi rakyat, ujur mereka lagi sambil ketawa memegang amanah yang semakin sedeng.

Langkah akan terus diambil bukan untuk membebankan rakyat tetapi peningkatan kos dan pengurangan apa yang dikatakan subsidi adalah untuk kemudahan masa depan. Malaysia mahu dikenali sebagai negara maju. Kita akan membentang tirai menunjukkan sebahagian ini adalah kemajuan negara, kemakmuran negara dan kedudukan kita sebagai negara yang sedang membangunan lantas menjelang tirai 2020, Malaysia akan berpesta, pesta terbesar menjadi negara maju.

Malang sebahagian lagi tirai terpaksa disembunyikan bukan sahaja kepada dunia luar malah kepada rakyat sendiri. Kita terus menghirup udara kemajuan dengan diri sendiri diperdagangkan sedangkan ada pihak yang menjanjikan kemajuan dan pembangunan dengan menyolok saku rakyat kecil. Pembangunan apa, kemodenan apa, kemajuan apa sekiranya diri semakin kecil dan diri semakin resah ditekan. Apa ertinya kemajuan dan kemodenan sekiranya ada pihak yang merasa dan pihak lain terseksa.

Apa dia keadilan sosial?

Membicara mengenai keadilan sosial maka beberapa perkara perlu kita ketahui. Mendefinasikannya, maka John Rawls dalam bukunya A Theory of Justice menyentuh, Keadilan Sosial sebagai semua "keperluan utama atau primer - kebebasan dan peluang, pendapatan dan kekayaan serta asas-asas harga diri, mestilah diagihkan sama rata melainkan pengagihan sebahagian atau semua keperluan yang tidak sama rata menguntungkan mereka yang diketepikan." Adakah ini perlaksanaan kita? Adakah segelintir yang terpilih aman menghirup kemakmuran sedangkan yang lain celaka dalam kemodenan dan pembangunan negara? Adakah ini keadaan yang dapat memenuhi intipati keadilan sosial atau hanya pengkhianatan yang memijak rakyat kecil dan tidak berupaya?

Adakah mampu keadilan ini tercapai sedang pra syaratnya jelas menyeleweng. Mampukah kita menghirup kemodenan dan kemakmuran sedang kita masih sakit dalam melalui kehidupan dalam negara yang semakin tertekan. Apa ertinya kejayaan, dengan nilai mata wang kukuh, index perniagaan meningkat, defisit negara berkurangan sedang yang mengail dan menjala hanya dapat menebus sedikit titikan keringat sedang yang lain terbiar kering kerana pancaran matahari yang membakar kulit.

Musuh perjuangan menuntut keadilan sosial amat jelas sekali. Kalau konsep "apa yang baik untuk kerajaan adalah yang baik untuk rakyat" maka neraca itu sendeng dan bahu rakyat pasti memikul bebanan. Bukankah yang terbaik pada rakyat adalah yang terbaik untuk kerajaan memerintah? Selesaikan musuh - musuh yang melanggar keadilan sosial ini untuk terus mengimbangi tahap perbezaan antara sesama rakyat.

Apa musuh itu dan adakah musuh itu wujud di Malaysia.

Musuh itu jelas dikategorikan sebagai pemusnah pada keadilan sosial.

1. Ianya melibatkan mereka yang menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk kepentingan tertentu dan bukan rakyat.

2. Pengagihan sumber yang tidak adil dalam masyarakat

3. Tidak wujudnya kaedah yang cukup untuk membetulkan kesilapan dan pampasan bagi mereka yang teraniaya.

Akhir sekali dalam masa yang agak terhad diletakkan satu kata - kata penting untuk kita teliti sebagai pedoman:

....market is a good servant, but a very bad master..yang akhirnya meminta pihak pemerintah supaya mengambil langkah untuk mengurangkan pelbagai bentuk ketidaksamarataan ekonomi termasuk langkah meningkatkan nilai aset golongan bawahan dalam masyarakat melalui pelaburan besar dalam kemodenan pendidikan, keshatan umum dan prasarana di kawasan desa. Maka kesimbangan itu adalah keadilan dan bukan ukuran kekayaan tetapi meleset pembahagian.
Kita ulas hakikat yang ada sekarang ini...

Tuesday, January 23, 2007

Anwar ada hati pada UMNO




Muka depan Putra Post memperkatakan mengenai Anwar Ibrahim yang ada hati kepada UMNO. Ini adalah satu persoalan yang jawapannya telah berkali - kali ditegaskan oleh Anwar Ibrahim dalam perhimpunan - perhimpunan anjuran Barisan Alternatif. Namun sehingga kini bukan sahaja UMNO tidak percaya malah kalangan Parti Keadilan sendiri tidak percaya pengakuan Anwar Ibrahim, bahawa 'beliau tidak minat pada UMNO".
Sungguhpun begitu salah satu perkara yang telah dibawa keperhatian kami adalah tindakan Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan yang lebih "tone down" dalam membuat serangan terhadap Pak Lah. Mungkin alasan yang diberi adalah, Pak Lah yang menyempurnakan pembebasannya sungguhpun itu adalah keputusan mahkamah.

Dalam memperkatakan Anwar masih ada hati pada UMNO oleh Putra Post satu perkara menarik perhatian kami. Menurut beberapa kepimpinan Keadilan sendiri, tumpuan serangan mereka adalah pada Datuk Najib Tun Abdul Razak. www.umno-reform.com diberitahu bahawa tumpuan serangan terhadap Najib telah bermula dan akan dilanjutkan sehingga pilihanraya umum nanti. Apa yang dijelaskan kepada kami adalah Najib akan menjadi sasaran utama kepimpinan keadilan dan bukan Pak Lah. Permulaan nampak jelas bermula dengan kenyataan Anwar Ibrahim mengenai gesaan beliau untuk polis menyiasat Najib dalam kes Abdul Razak Baginda. Susulan dari itu kepimpinan pembangkang khususnya Keadilan telah memulakan "road show" dengan Azmin Ali serta beberapa pegawai tertinggi Parti Keadilan Rakyat untuk terus memburukkan Datuk Najib Tun Abdul Razak.
Apa agenda Keadilan?

Apa agenda Keadilan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim (penasihat parti). Kenapa Najib? Adakah saranan mereka hanya mahu menjatuhkan Najib kerana pendekatan Najib untuk tidak mahu menerima Anwar Ibrahim kembali dalam parti seperti yang dimaklumkan oleh Hishammuddin. Pemuda dibawah Datuk Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin telah sedia berkempen menolak Anwar Ibrahim dari menyertai UMNO. Hanya Pak Lah yang dilihat tidak memberi kata putus mengenai isu kemasukkan Anwar Ibrahim. Mungkin kerana itulah Keadilan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim mula berkempen untuk menolak Najib dan bukan Pak Lah.

Hari ini kami dimaklumkan bahawa Najib dijadikan bahan ceramah pembangkang khususnya Keadilan. Ada juga spekulasi cerita bahawa insiden Azmin Ali, Naib Presiden Keadilan diserang oleh beberapa orang adalah kerana ceramah beliau yang menyentuh isu Najib. Spekulasi ini jelas untuk memburukkan Najib. Isu mendesak agar polis turut menyiasat Najib bagi kes Abdul Razak Baginda juga menjadikan Najib bahan cemuhan dan tindakan Najib yang diklasifikasikan sebagai "elegant silence" diselar oleh pembangkang.

Jatuhkan Najib agenda siapa?

Tanya kenapa Najib jadi bahan cemuhan oleh pembangkang? Adakah kerana kepimpinan Najib? Adakah Najib musuh utama pembangkang atau kerana pembangkang merasakan Najib hari ini adalah kekuatan UMNO dalam masa Pak Lah di cop sebagai hilang kawalan terhadap UMNO atau ada pihak dalam UMNO yang tidak mahu Najib memimpin selepas Pak Lah dan yang paling kritikal adakah usaha menjatuhkan Najib kerana Najib dilahat bakal mencabar jawatan Presiden dalam UMNO. Dengan beberapa persoalan ringkas ini, mungkinkah Keadilan membawa agenda orang tertentu dalam UMNO? Mungkin juga.

Namun apa pun agenda Keadilan, impak terdapat Najib pasti akan ada. Adakah semua ini syarat untuk Anwar kembali dalam UMNO dengan melunaskan satu "mission" - hapuskan politik Najib

Saturday, January 20, 2007

Alasan demokrasi




Maka kita adalah negara Demokrasi. Demokrasi yang terpimpin dan dipimpin oleh mereka yang mewakili rakyat. Rakyat yang berkuasa dan rakyat yang menentukan pemerintahanan negara kita. Kenapa kita perlu takut ?

Kenapa kita perlu kritik kerajaan sedang kerajaan itu datang dari rakyat dan rakyat yang memilih kerajaan. Ini adalah aturan demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia yang bakal menjadi contoh kepada negara - negara asing. Setiap kali proses pilihanraya maka kita sebok menceritakan bahawa ini memenuhi hasrat demokrasi, bukti demokrasi dan bukti suara rakyat terlaksana. Ilmuan dan cendikiawan turut membicarakan erti demokrasi dan sehingga ke hari ini sistem pilihanraya menjadi petunjuk,bahawa kita berada dalam kepompong demokrasi.

Namun kini demokrasi seakan menjadi alasan. Segalanya menjadi baik kerana demokrsi dan demokrasilah yang mengatur sistem kita yang membawa kemajuan kepada negara dan bangsa. Demokrasi juga menjadi alasan untuk memperlakukan apa sahaja demi kepentingan negara - dan rakyat jadi keutamaan kedua. Alasan menaikkan harga dan mendesak rakyat mengambil bebanan adalah hasil alasan demokrasi dan yang lebih menyedihkan adalah perlakukan yang membelakangkan rakyat adalah hasil demokrasi yang memberi kuasa kepada segelintir mereka.
Akhirnya sebaik sahaja penggunaan nama demokrasi terlaksana maka kelompok ini mampu melakukan apa sahaja dan suara rakyat semakin kecil dan sayup. Mungkin demokrasi setelah dilaksanakan akan meminggirkan suara dan membelakangi rakyat. Amat malang sekiranya demokrasi inilah yang menjadi penentu kuasa dan kuasa hasil dari demokrasi ini akan terus digunakan bagi tujuan mempertahankan kuasa atas nama demokrasi tempang dan terpimpin.

Kita perlu bangkit dan ahli - ahli UMNO perlu sedar bahawa alasan - alasan demokrasi, melaksanakan semua atur dan syarat asas demokrasi bukan pengukuran demokrasi. Ini juga bukan pengukuran bahawa rakyat sudah maju dan makmur dengan demokrasi. Kita mungkin nampak berjaya tetapi hakikat sebenarnya menidakkan kita. Kita perlu melihat menjelaskan apa yang pincang dan apa yang tidak betul bagi menunjukkan bahawa isi demokrasi itu tercapai. Kita harus ada ruang dan bukan disempitkan ruang untuk menunjukkan bahawa demokrasi itu wujud sealiran dengan keadilan.

Oleh kerana itu rakyat keseluruhan harus bangkit melihat, mendengar dan memahami apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang sebenarnya sedang berlaku. Kita harus peka dan tidak hanya menurut apa yang dihidang atas meja kita. Kita harus mempersoalkan adakah ini keadilan dan sekiranya tidak mendesak agar keadilan menjadi nilai utama biar apa idealismanya.

Rakyat Malaysia dalam berdepan dengan proses-proses demokrasi harus bersedia. Kita tidak mahu demokrasi itu diertikan dengan jahil sehingga kita sebenarnya menjadi mangsa alasan demokrasi. Kita tidak mahu seperti dikatakan " Yang membuat semua berjalan dengan teratur adalah rasa takut dalam diri kita masing - masing " oleh itu kita hindarkan perasaan ini dalam kita berdepan dengan mana - mana bentuk pemerintahan yang korup, yang mencacatkan isi demokrasi dan hanya tahu bercerita mengenai terma demokrasi dengan penuh ilmiah tetapi "robotik".

Ayuh kita aruskan perubahan buat rakyat kita, kita bela dan kita lontarkan suara kita - bukan untuk menjahanamkan tetapi menyelamatkan dari terlontar ke arah kejahanaman. Perlukah kita takut?

Monday, January 15, 2007

Perdana Menteri perlu media sendiri





Bukit Antarabangsa Ampang Selangor, hari ini dihidangkan dengan media terbaru Kepala Batas. Media tersebut mungkin dikhususkan untuk Parlimen Kepala Batas kini dijual dengan harga RM 1.00 kepada umum. Adakah Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia memerlukan media sungguhpun pada zahirnya hanya meliputi parlimen Kepala Batas tetapi kini dilihat sebagai keperluan untuk terus mempromosikan Pak Lah. Membelek media tersebut dilihat antara nama yang terbabit dalam penerbitan media yang mempunyai nombor permit PP14366/10/2007 bil ke 9 mempaparkan : Abdullah Ahmad Badawi sebagai penaung, Ketua Pengarang Dr Mazuki Ibrahim, Ahli Lembaga Pengarah adalah Nasir Abdullah dan Dr Marzuki sendiri. Lain - lain nama yang ditulis adalah penasihat Jabatan Pengarang, Dato Hj Othman Desa ( Setiausaha Politik Perdana Menteri), Reezal Merican Naina Merican ( Setiausaha Politik Menteri Kewangan).

Melihat kandungan media Kepala batas ini, maka tidak lain tidak bukan menunjukkan usaha untuk membela Pak Lah yang seolah - olah kesempitan ruang di media arus Perdana. Dengan nama Pak Lah terpapar hampir setiap muka maka kita hairan bagaimana seorang Perdana Menteri memerlukan 'liputan media' kecil tersendiri khusus untuk menyokong beliau.Adakah sebenarnya media Perdana tidak cukup memberi justifikasi untuk membela program - program dan dasar - dasar Pak Lah. dengan penjualan RM 1.00 dan kita pasaran mungkin meluas keseluruh negeri media ini terbit seperti "tabloid" pembangkang cuma yang lainnya sendiri ialah satu menghentam kerajaan dan satu lagi bertindak untuk terus membela Pak Lah.

Adakah perlu Abddullah Hj Ahmad Badawi untuk menerbitkan media Kepala Batas yang lebih bermiripkan tabloid nasional? Adakah ini sebenarnya kehebatan pakar - pakar pemikir Pak Lah untuk mengeluarkan warta Kepala batas menceritakan kehebatan Pak Lah dan meletakkan dalam warta mereka penaungnya adalah Abdullah Hj Ahmad Badawi. Adakah tidak ada unsur - unsur mencari populariti sedangkan Pak Lah sendiri membidas mereka yang masuk politik untuk mencari populariti dan dengan itu dapat dilantik sebagai Perdana Menteri kelak.

Mungkin pemikir - pemikir Pak Lah lebih mahu membodek Pak Lah dan tidak memperdulikan apa - apa selain mendapat habuan bagi pihak diri.

Sunday, January 14, 2007

laman www.umno-reform.com

www.umno-reform.com telah mengalami beberapa masalah teknikal.Kami telah berusaha menyelesaikan masalah tersebut. Sungguhpun begitu kami dimaklumkan terdapat kelewatan dalam membaikpulih laman kerana PROVIDER laman menghadapi masalah server. Kami akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dan percaya HOST kami akan mengambil langkah yang serupa.

Sunday, January 07, 2007

Adakah mereka akan mendengarnya



Bantahan kenaikan tol


Ribuan rakyat bangkit dibawah sususan parti - parti politik pembangkang bersama - sama kesatuan sekerja hadir dalam melancarkan protes mengenai kenaikan harga tol di Sunway Pyramid. Mereka hadir membantah bukan sahaja kenaikan kenaikan harga tol tetapi yang lebih penting adalah mesej bebanan yang dipaksa oleh kerajaan untuk dipikul oleh rakyat negara ini. Inilah mesej utama yang mereka hantar - kerajaan lebih cenderung menurut dan melihat kepentingan syarikat - syarikat konsesi ini melebihi kepentingan rakyat secara umum.

Sungguhpun begitu adakah kerajaan akan terus menutup kedua - dua mata mereka terhadap protes sebegini? Adakah mereka akan turut memekakkan telinga mereka terhadap protes sebegini? Namun yang lebih penting adakah rakyat selain dari yang hadir akan hanya duduk mendiamkan diri tanpa memberi isyarat penting bahawa mereka juga akan bertindak sekiranya kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional terus menyolok saku rakyat untuk diberi kepada pihak - pihak tertentu khususnya syarikat konsesi yang mahu terus mengaut keuntungan tanpa henti.


Mesej mereka adalah jelas. Mereka mahu bebanan kepada rakyat dihapuskan. Mereka menuntut kerajaan jangan memperlekehkan rakyat. Mereka harus bersama - sama rakyat bukan membelakangi rakyat. Pengguna lebuhraya tertentu telah dihadiahkan kenaikan tol semperna menyambut tahun baru. Sebelum tutup tahun 2006 mereka juga telah dibebankan dengan kenaikan harga air, elektrik dan sebelum ini petrol. Ini semua memberi impak kepada indek konsumer dan meningkatkan kos kehidupan rakyat. Hari ini kerajaan terus hilang pertimbangan dengan menaikkan harga tol dengan kadar yang dahsyat sungguhpun syarikat konsesi ini telah mengaut keuntungan besar saban tahun.

Memaling kepada rakyat

Kerajaan terus menerus memalingkan diri dari rakyat. Kerajaan seolah - olah bukan datang dari rakyat dan rakyat adalah sumber kewangan untuk kerajaan dan tidak lebih dari itu. Modal Insan yang dilaungkan seakan tidak bermakna sekira tugas harian kita rakyat Malaysia adalah untuk menyara kerajaan yang seban hari salah dalam membuat keputusan yang tidak memihak kepada rakyat. Lebih dari itu kerajaan bertindak merahsiakan perjanjian - perjanjian konsesi ini dan meletak rakyat sebagai hamba. Adakah ini erti kata modal insaniah atau sebenarnya rakyat adalah hamba yang terus diperas untuk menjayakan rancangan tertentu untuk orang - orang tertentu. Nampaknya kerajaan akan terus membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap suara - suara rakyat.