Saturday, August 26, 2006

Merdeka

Merdeka adalah kata palsu buat bangsa. Itupun bagi yang sedar akan dusta. Bagi mereka yang tidak lena. Merdeka hanya perubahan penjajahan, dari kuasa luar pada gunting yang bersembunyi dalam lipatan. Merdeka adalah pada mereka yang bisa ketawa, punya kuasa untuk terus menipu anak bangsa. Merdeka adalah pada mereka yang lupa akan janji pada negara. Bagi kita merdeka akan hanya ada - bila celek hati dan mata, bila akal dan fikiran terbuka, bila jiwa bebas dan mampu bersuara. Apa ertinya merdeka - pada bangsa hina yang ada. Merdekakah kita? APA KATA ANDA -mengenai kemerdekaan Malaysia yang ke 49. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan - biar apa pun maknanya.

Monday, August 21, 2006

Hak Siapa tercalar




Sekali lagi dengan kesempatan yang ada kita berbicara mengenai isu - isu yang mampu meragut jenama Melayu. Sungguh malang sekiranya artikel ini turut menjemput celaan dari bangsa - bangsa lain seperti artikel yang pernah ditulis sebelum ini. Artikel - artikel seperti Tanah Melayu ketuanan Cina 1 klik sini dan Tanah Melayu Ketuanan Cina 11 klik sini telah digores dengan celaan yang bertalu - talu. Ini hanya memberi gambaran betapa perlunya masalah hubungan antara ras ini dikaji dan diselesaikan dengan seberapa segera. Kita tidak mampu lagi melihat isu - isu yang melibatkan ras ini dilihat dari sudut yang sempit , konon - konon ianya akan melahirkan masalah perkauman justeru itu isu - isu ini perlu diselimuti dan disimpan di bawah tikar yang semakin lama semakin mengelembung. Menutup sebelah mata terhadap isu - isu masalah ras ini akan hanya membuak impak besar sekiranya ianya meletup. Ini lebih memburukkan keadaan.


Penegasan pernah dibuat dan sekali lagi kita perlu ulangi bahawa artikel ini tidak harus dilihat sebagai satu dokumen provokasi supaya perhubungan ras yang sedia ada tercalar dan tergugat. Ini bukan hasrat dan bukan matlamat kerana konflik perkauman akan hanya merugikan semua kita. Ini bukan artikel yang mahu menaikkan semangat mereka yang membaca untuk menimbulkan perasaan benci dan curiga antara kaum. Artikel ini membicarakan seperti mana artikel yang sudah - sudah mengenai isu Melayu, arah tuju Melayu dan kedudukan mereka sekarang ini. Kita mempersoalkan kewujudan kita dan bagaimana kita mahu merealisasikan kewujudan ini sebagai satu teras dan bukan hanya bayang - bayang yang muncul dimalam hari, bertaut pada entiti sebagai satu reflesi gelap yang tidak bermuka. Ini kita harapkan tidak berlaku pada Melayu - pada bangsa dan agama kita.


Kita kena sedar hakikat bahawa kita terdiri dari masyarakat berbilang bangsa dan kehadiran bangsa - bangsa lain di negara ini adalah hakikat yang perlu kita terima. Kita sedar persaingan kehidupan adalah begitu sengit. Kita perlu tahu kondisi - kondisi yang perlu ada untuk bersaing dan kita perlu sedar kenapa perlunya kita mempertahankan, apa yang ada supaya tidak tiris dan merugikan bangsa kita sendiri. Dalam itu kita tidak boleh tolak bahawa setiap mereka bernama Melayu perlu bukan sahaja mempertahankan apa yang ada tetapi berusaha agar kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa - bangsa lain.


Persoalan yang sering wujud adalah mengenai hak keistimewaan orang - orang Melayu. Sering dipersoalankan bukan sahaja oleh bangsa lain malah oleh orang - orang Melayu itu sendiri. Hak Keistimewaan ini wujud dalam usaha untuk menstabilkan keadaan agar Melayu tidak hadir terpinggir - merasa kecewa dengan penyerahan negara ini tanpa memperolehi sebarang keistimewaan. Ini perlu disedari oleh bangsa - bangsa lain dan perlu kita terima hakikat tersebut bersama. Mempersoalkan perkara - perkara ini oleh bangsa lain pasti akan menimbulkan kerisauan dan ketidakpuasan hati orang - orang Melayu. Mereka harus menerima ganjaran dari apa yang dikorbankan dan kini ganjaran - ganjaran itu seakan mahu ditarik balik dengan persoalan - persoalan lantang terhadapnya.


Walau bagaimanapun agak malang bagi Melayu kerana dalam masa yang sama Melayu sendiri turut mengabaikan kepentingan Melayu. Kita bertindak seolah - olah Melayu perlu dipersalahkan sedangkan punca kegagalan khususnya Dasar Ekonomi Baru masih tersembunyi. Kita perlu menyedarkan semua rakyat Malaysia bahawa Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan penyelesaian kepada dua perkara utama:

  • Masalah jurang ekonomi antara kaum
  • Masalah politik

Allahyarham Tun Abdul Razak dalam ucapannya pada 17hb Februari 1971 : Seminar Perikatan yang pertama mengatakan " Saya ingin berterus - terang di sini, bahawa perpaduan negara TIDAK AKAN WUJUD sekiranya kedudukan ekonomi yang tidak seimbang dikalangan rakyat berbagai kaum tidak diatasi dan kemajuan serta kemakmuran negara tidak dinikmati dengan adil dan saksama"


Dua faktor penting yang ditekankan oleh Tun Razak adalah :

  • Ketidakseimbangan ekonomi antara kaum
  • Kemakmuran negara tidak dinikmati dengan adil



Rumusan dan penciptaan Dasar Ekonomi Baru ini wujud kerana kerajaan sedar bahawa ketidakpuasan hati rakyat khususnya perasaan curiga wujud apabila jurang ekonomi antara kaum begitu ketara dan kemakmuran perlu dipertingkatkan serta dinikmati dengan adil. Selagi ini tidak berjaya dicapai selagi itu kita akan melihat masalah ras akan menjadi satu ugutan dalam negara. Ini mampu mengugat bukan sahaja kestabilan politik tetapi akan mencacatkan usaha untuk membangunkan negara.


Kita sudah sedia maklum mengenai perkara - perkara yang melibatkan jurang ekonomi antara kaum. Kita tahu ianya akan menimbulkan ketidakpuasan hati khususnya di kalangan Melayu yang masih ketinggalan jauh sedangkan mereka telah berkorban untuk berkongsi tanah air ini. Ini juga terdapat dalam kenyataan Tuanku Abdul Rahman :


Perbezaan kaum berlaku tahun 1956 lagi. Orang - orang Melayu sedia memberikan hak - hak yang munasabah dan patut kepada orang - orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak - hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa - bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah di perbuat oleh orang - orang Melayu. Sungguh pun ada jaminan hak - hak keistimewaan Melayu dan Perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali mencegah atau menyekat bangsa lain yang bukan Melayu daripada mencari kekayaan dan kesenangan dan lagi sehingga sekarang hak - hak keistimewaan itu masih belum lagi menghasilkan keadaan setaraf Melayu dengan bangsa - bangsa lain. Tunku Abdul Rahman


Ini juga adalah hakikat yang telah diterima oleh kepimpinan bukan Melayu di negara kita apabila Allahyarham Tun Abdul Razak memulakan apa yang disebut Dasar Ekonomi Baru. Peristiwa 13 Mei 1969 diambil ikhtibar dan perkara utama yang perlu ditangani adalah jurang ekonomi antara kaum. Allahyarham Tun Abdul Razak percaya sekiranya Dasar Ekonomi Baru ini gagal maka kita akan berhadap sekali lagi dengan krisis perkauman yang akan merugikan keseluruh rakyat Malaysia.


Perkara kedua yang mampu mengugat keharmonian negara adalah apabila kemakmuran negara yang tidak dinikmati dengan adil. Isu ini mengambilkira beberapa faktor seperti pengagihan ekonomi bukan sahaja antara kaum malah antara satu - satu bangsa itu sendiri. Ini perlu juga juga kita teliti.


Perkara - perkara sebegini akan mengoncang satu - satu bangsa dan ini akan melibatkan bangsa - bangsa lain. Mengugat keharmonian satu bangsa tertentu khususnya Melayu akan menerbitkan krisis sosial yang melibatkan perhubungan antara ras. Ini sedang berlaku dan keadaan seperti ini perlu ditangani segera. Kemunduran orang - orang Melayu, biar apa alasan sekali pun akan menimbulkan kocakan antara kaum.


Hak siapa yang tercalar


Sebelum kita membicarakan mengenai hak siapa yang tercabar kita perlu tahu hak - hak kita khususnya Melayu dan lokasi cabaran tersebut. Kita harus melihat beberapa kenyataan oleh kepimpinan kita khususnya mengenai hak keistimewaan orang - orang Melayu. Hakikat perlu diterima dan ini sekali lagi bukan sesuatu yang asing sehingga mahu menyebutnya sudah dikira sebagai hasutan.


Kita semua - baik bangsa Melayu mahupun apa bangsa sekali pun harus menerima bahawa hak keistimewaan orang - orang Melayu adalah kompromi antara Melayu dan bangsa - bangsa lain. Mengorbankan Tanah Melayu dengan memberi kerakyataan kepada bangsa - bangsa lain adalah kompromi yang mewujudkan penciptaan hak keistimewaan orang - orang Melayu. Ini perlu disedari dan ini perlu dihormati. Orang - orang Melayu sanggup memberi kerakyatan dengan mengorbankan tanah air dan sebagai balasan mereka diberi hak keistimewaan. Ini pun bagi Tuanku Abdul Rahmah sesuatu kompromi yang tidak separa kerana perolehan hak keistimewaan tidak juga menjamin kedudukan Melayu untuk menjadi setaraf dengan kedudukan bangsa - bangsa lain dari sudut ekonomi khasnya tetapi kompromi ini telah memberi kedudukan separa antara Melayu dan bangsa - bangsa lain dari sudut pemilikan negara ini. Ini menurut sesetengah pihak adalah satu kompromi yang tidak seimbang. Kita sedar pada waktu itu kedududkan ekonomi orang - orang Melayu adalah dalam keadaan yang agak daif dan pemberian hak - hak keistimewaan tidak menjamin kejayaan Melayu, tidak menjamin akan meningkatkan taraf kehidupan Melayu dan tidak juga menunjukkan bahawa pengejaran ekonomi itu adalah pada padang yang sama rata TETAPI disatu pihak lain kompromi ini telah memberikan mereka kerakyatan yang sudah terjamin, hak sebagai rakyat Malaysia juga terjamin dan kehidupan mereka untuk memiliki kuasa ekonomi dan politik juga terjamin.


Maka adakah wajar kalau hak - hak yang selama ini ada oleh orang - orang Melayu kini dituntut atas dasar kesamarataan atau kini dengan satu terma popular dicipta, Bangsa Malaysia. Mempersoalkan hak - hak ini, menuntut hak - hak ini digugurkan dan melenyapkan atas konon - kononnya ini membuat bangsa kita manja adalah alasan untuk menghapuskan hak - hak yang ada. Ini bagi kita adalah mereka yang lupa pada hakikat perjanjian yang telah dibuat atau apa yang kita kenali sebagai satu kontrak sosial yang telah dibuat.


Dengan ada nya pandangan berbeza mengenai syarat - syarat pemberian taraf kerakyatan dan hak keistimewaan orang - orang Melayu maka kita perlu membicarakan - hak siapakah yang tercalar dan sekiranya ada oleh siapa?

Menurut artikel Chandra Muzaffar - Haluan perhubungan etnik di Malaysia beliau menyebut :


Saya masih lagi akan mengatakan bahawa " kedudukan istimewa " itu tetap perlu. Sekali lagi kita melihatnya dari perpektif sejarah. BAgi orang - orang Melayu, peenrimaan penduduk bukan bumiputera sebagai warganegara semenjak tahun 1948 bererti bahawa sebuah negara Melayu, yang beraspirasikan sejarah dan nasionalisme Melayu tidak akan tercapai. Orang Melayu telah turun "darjat" dari sebuah "negara" kepada sebuah "komuniti di kalangan komuniti lain. Perubahan status ini tidak akan mempunyai pengertian yang begitu mendalam jika sekiranya kedududkan ekonomi masyarakat Melayu teguh. Ia menganggap dirinya dan juga dianggap oleh komuniti lain nya sebagai kumpulan yang mempunyai ekonomi yang lemah dan mundur. Oleh itu adalah dirasakan perlu diberikan "ganti rugi" kepada masyarakat Melayu.


Kesimpulan


Penyedaran ini bukan bertujuan untuk memainkan sentimen atau api perkauman. Ianya adalah untuk kesedaran dan kajian kemana dan dimana hak keistimewaan orang - orang Melayu sekarang ini berjaya membawa Melayu dan adakah perlu bagi kaum - kaum lain untuk terus memulakan tuntutan demi tuntutan untuk mengkikis hak - hak yang ada. Ini juga untuk menyedarkan kita kedududkan kita sehingga hari ini.


Akhir sekali kita amati petikan kata - kata ini yang pernah tersiar dalam artikel - artilkel saya yang lampau.

" Masalah etnik yang wujud akan terus wujud. Kesilapan bukan terletak kepada Perlembagaan atau kedudukan bahasa, agama dan komuniti atau dasar untuk menolong orang Melayu. Realiti ini adalah berkecuali. Apa yang lebih asas ialah cara perbezaan etnik diatasi, cara bagaimana kepentingan politik dan ekonomi dipersesuaikan dan cara mana keharmonian dicapai. Ini akan menentukan keadaan perhubungan etnik. Oleh sebab inilah mereka yang memimpin merupakan faktor yang terpenting" Chandra Muzaffar

Tuesday, August 15, 2006

Melayu Dalam Bahaya 2006




" Melayu dalam Bahaya" merupakan antara topik yang telah mencetuskan banyak kontroversi sehingga ada yang membuat laporan polis terhadap saya pada tahun 2005*. Sungguhpun begitu ini bukan penghalang bagi meneruskan penulisan - penulisan mengenai isu - isu Melayu khususnya dalam konteks " Melayu Dalam Bahaya".


Bagaimanapun penulisan " Melayu Dalam Bahaya " kali ini amat berbeza dari tulisan - tulisan sebelum ini sungguhpun keadaan pada ketika ini bertambah kritikal. " Melayu dalam Bahaya " kali ini merujuk kepada keadaan pergolakan politik UMNO yang semakin mendesak. Mereka, pemegang kuasa orang - orang Melayu berhadapan dengan satu lagi cabaran khususnya terhadap perpaduan orang - orang Melayu. Memandangkan UMNO adalah kuasa dominan dalam kerajaan memerintah maka perpecahan perpaduan dalam UMNO pasti akan merugikan orang - orang Melayu lebih - lebih lagi pergeseran itu melibatkan pergeseran persoalan - persoalan yang tidak menguntungkan Melayu. Pergeseran itu hanya menunjukkan siapa yang lebih menyalahgunakan kuasa, siapa yang lebih korup dan siapa yang lebih mengkhianati Melayu itu sendiri. Ini meletakan UMNO dalam keadaan yang amat kritikal dan limpahan perbalahan ini akan menular sehingga mampu menyulitkan Melayu untuk membangun dan menjadi satu bangsa yang utuh dan berwibawa.


Perbalahan dalam UMNO gagal diertikan sebagai satu faktor yang bakal melukakan Melayu itu sendiri tetapi telah diambil sebagai satu bentuk persengketaan yang akan memberi ruang - ruang kesempatan bagi mereka yang berkepentingan. Ini seakan menolak kepentingan Melayu itu dari "priority" utama perjuangan kepada tahap yang rendah dan seterusnya akan menyungguhkan makna kedudukan Melayu Dalam Bahaya yang sudah mencapai tahap yang agak kritikal.


Situasi ini amat membimbangkan kerana keghairahan politik mampu melalaikan usaha - usaha dan cita - cita untuk meningkatkan Melayu itu menjadi satu bangsa berwibawa. Kita harus khuatir sekiranya "priority" perjuangan kepimpinan terganggu dan ini akan meletakan Melayu itu kepada satu kedudukan seperti bayang - bayang yang terpaksa berbaut kepada yang lain untuk terus wujud tanpa jelas. Gambaran kedudukan ini seharusnya dibimbangi dan bukan menjadinya satu harapan bagi opurtunis untuk mengintai ruang sekiranya berlaku pergolakan perubahan kepimpinan. Jangan ini dijadikan harapan oleh kita khususnya dalam UMNO.


Melayu pasti akan menerima akibat dari perbalahan sesama sendiri kerana perselisihan ini akan menular, memecahkan dan melemahkan Melayu itu sendiri. Krisis yang ada dalam UMNO seharusnya mengerunkan kita dan langkah untuk terus berjuang bagi menipu kebenaran akan merugikan bangsa sendiri. Kita perlu tekankan bahawa senario yang hadir kini adalah satu krisis besar - perbalahan antara yang pernah berkuasa dengan yang sedang berkuasa. Ini tidak akan menguntungkan Melayu malah mampu merobek bangsa sekiranya kita leka, khusyuk dan tidak bertindak membetulkan keadaan dengan menggunakan kuasa sebenar yang berada ditangan kita sebagai ahli UMNO. Sekali lagi ditekankan bahawa ini adalah pergeseran antara siapa yang lebih menyalahgunakan kuasa, siapa yang lebih korup dan siapa yang lebih mengkhianati Melayu itu sendiri dan kita sebagai ahli harus melihat perbalahan ini dari perpektif berbeza.


Kita harus dapat melihat kebenaran. Kita harus dapat melihat kepimpinan yang ada. Arah mana mahu mereka bawa dan adakah mereka hanya mementingkan kedududkan diri dari amanah yang sebenarnya terpaksa mereka pikul. Kita harus lihat pergeseran ini sebagai satu keadaan untuk kita menilai kepimpinan yang ada sekarang ini. Ini penting untuk kita membuat keputusan yang sepatutnya memberi pengajaran kepada kepimpinan lain yang mahu melantik diri bukan atas alasan memperjuangkan agama, bangsa dan negara tetapi kerana kuasa bakal menghasilkan pendapatan lumayan buat diri mereka.


Melihat apa yang ada, pembongkaran kedua - dua pihak mengenai kelemahan dan kesalahan - kesalahan berlaku sepatutnya menyedarkan kita bahawa kita harus bertindak bijak dalam menilai seseorang yang mahu dilantik menjadi pemimpin. Kesalahan kita melantik , memberi mandat adalah punca kemelut ini. Kita harus menyoal semada kepimpinan yang mahu dilantik sudah terujikah , kentalkah semangat juang mereka untuk menjayakan agenda Melayu atau mereka terpaksa menggadaikan kuasa untuk terus menjadi pemimpin wayang kulit yang dicatur dari belakang pentas.


Pelayar yang dihormati,


MELAYU DALAM BAHAYA adalah sebenarnya satu program oleh sebuah organisasi Sekretariat Melayu Muda yang terbantut. Pada waktu itu kedudukan Melayu dalam Bahaya lebih tertumpu kepada perpecahan sokongan UMNO akibat insiden pemecatan Anwar Ibrahim. Hari ini masalah perpecahan Melayu dalam UMNO akibat insiden Anwar Ibrahim masih belum dipulihkan dan kini kita berhadap dengan kehadiran satu lagi perpecahan dalaman dalam UMNO. Perlu kita tegaskan bahawa setiap kali UMNO berpecah yang rugi adalah bangsa kita sendiri. Ini adalah sesuatu yang perlu dilihat dengan serius oleh ahli - ahli UMNO yang memegang sumpah janji "Hidup Melayu"

Thursday, August 10, 2006

Penggiliran Ketua menteri Pulau Pinang


Pemuda Umno Tetap Cadang Penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang

Sokongan perlu diberi kepada Pemuda UMNO Pulau Pinang dalam resolusi mereka supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang di jalankan secara bergilir - gilir. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri kesal dengan tindakan sesetengah pihak melabel cadangan ini sebagai satu cadangan berbau perkauman. Ketuanya, Salim Bari memberitahu Bernama di sini Rabu, pergerakan pemuda negeri juga kesal dengan kenyataan pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa usul penggiliran Ketua Menteri itu sebagai berbau perkauman. Kenapa ini tidak boleh dilakanakan.
Adakah cadangan ini berbau perkauman ?
Kenapa apabila cadangan seperti ini dibuat maka isu perkauman di heret sekali sebagai "defence"
Pemuda UMNO Malaysia seharusnya turut memberi sokongan terhadap cadangan Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang. Kita tidak semestinya terikat dengan alasan kononnya ini berbau perkauman dan sekiranya cadangan ini dilabel sebagai perkauman adakah bukan satu isu perkauman sekiranya Pulau Pinang hanya diperuntukan Ketua Menteri dari kaum lain sahaja.
Apa pendapat anda mengenai isu ini?


Sunday, August 06, 2006

Khairy sedia letak jawatan?



Kenapa Khairy perlu letak jawatan? Beliau telah menyatakan bahawa pembelian saham ECM Libra itu bukan duit beliau. Itu duit pinjaman. Beliau juga mengatakan bahawa tohmahan ke atas beliau adalah kerana ada usaha orang - orang tertentu untuk menjatuhkan Pak Lah tetapi gagal mencari kelemahan Perdana Menteri tersebut yang juga mertuanya. Beliau juga menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamed telah melemparkan fitnah ke atas beliau - tidak ada seorang Menteri Besar yang menerima arahan dari beliau seperti yang didakwa. Khairy juga mengatakan bahawa tindakan Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan bahawa Tingkat 4 yang mempunyai kuasa dalam membuat keputusan adalah satu kenyataan menghina Perdama Menteri Malaysia. Dr Mahathir turut mengatakan bahawa khairy adalah orang yang menentukan siapa dapat projek juga dikatakan adalah satu fitnah. Apa pendapat anda!