
" Melayu dalam Bahaya" merupakan antara topik yang telah mencetuskan banyak kontroversi sehingga ada yang membuat laporan polis terhadap saya pada tahun 2005*. Sungguhpun begitu ini bukan penghalang bagi meneruskan penulisan - penulisan mengenai isu - isu Melayu khususnya dalam konteks " Melayu Dalam Bahaya".
Bagaimanapun penulisan " Melayu Dalam Bahaya " kali ini amat berbeza dari tulisan - tulisan sebelum ini sungguhpun keadaan pada ketika ini bertambah kritikal. " Melayu dalam Bahaya " kali ini merujuk kepada keadaan pergolakan politik UMNO yang semakin mendesak. Mereka, pemegang kuasa orang - orang Melayu berhadapan dengan satu lagi cabaran khususnya terhadap perpaduan orang - orang Melayu. Memandangkan UMNO adalah kuasa dominan dalam kerajaan memerintah maka perpecahan perpaduan dalam UMNO pasti akan merugikan orang - orang Melayu lebih - lebih lagi pergeseran itu melibatkan pergeseran persoalan - persoalan yang tidak menguntungkan Melayu. Pergeseran itu hanya menunjukkan siapa yang lebih menyalahgunakan kuasa, siapa yang lebih korup dan siapa yang lebih mengkhianati Melayu itu sendiri. Ini meletakan UMNO dalam keadaan yang amat kritikal dan limpahan perbalahan ini akan menular sehingga mampu menyulitkan Melayu untuk membangun dan menjadi satu bangsa yang utuh dan berwibawa.
Perbalahan dalam UMNO gagal diertikan sebagai satu faktor yang bakal melukakan Melayu itu sendiri tetapi telah diambil sebagai satu bentuk persengketaan yang akan memberi ruang - ruang kesempatan bagi mereka yang berkepentingan. Ini seakan menolak kepentingan Melayu itu dari "priority" utama perjuangan kepada tahap yang rendah dan seterusnya akan menyungguhkan makna kedudukan Melayu Dalam Bahaya yang sudah mencapai tahap yang agak kritikal.
Situasi ini amat membimbangkan kerana keghairahan politik mampu melalaikan usaha - usaha dan cita - cita untuk meningkatkan Melayu itu menjadi satu bangsa berwibawa. Kita harus khuatir sekiranya "priority" perjuangan kepimpinan terganggu dan ini akan meletakan Melayu itu kepada satu kedudukan seperti bayang - bayang yang terpaksa berbaut kepada yang lain untuk terus wujud tanpa jelas. Gambaran kedudukan ini seharusnya dibimbangi dan bukan menjadinya satu harapan bagi opurtunis untuk mengintai ruang sekiranya berlaku pergolakan perubahan kepimpinan. Jangan ini dijadikan harapan oleh kita khususnya dalam UMNO.
Melayu pasti akan menerima akibat dari perbalahan sesama sendiri kerana perselisihan ini akan menular, memecahkan dan melemahkan Melayu itu sendiri. Krisis yang ada dalam UMNO seharusnya mengerunkan kita dan langkah untuk terus berjuang bagi menipu kebenaran akan merugikan bangsa sendiri. Kita perlu tekankan bahawa senario yang hadir kini adalah satu krisis besar - perbalahan antara yang pernah berkuasa dengan yang sedang berkuasa. Ini tidak akan menguntungkan Melayu malah mampu merobek bangsa sekiranya kita leka, khusyuk dan tidak bertindak membetulkan keadaan dengan menggunakan kuasa sebenar yang berada ditangan kita sebagai ahli UMNO. Sekali lagi ditekankan bahawa ini adalah pergeseran antara siapa yang lebih menyalahgunakan kuasa, siapa yang lebih korup dan siapa yang lebih mengkhianati Melayu itu sendiri dan kita sebagai ahli harus melihat perbalahan ini dari perpektif berbeza.
Kita harus dapat melihat kebenaran. Kita harus dapat melihat kepimpinan yang ada. Arah mana mahu mereka bawa dan adakah mereka hanya mementingkan kedududkan diri dari amanah yang sebenarnya terpaksa mereka pikul. Kita harus lihat pergeseran ini sebagai satu keadaan untuk kita menilai kepimpinan yang ada sekarang ini. Ini penting untuk kita membuat keputusan yang sepatutnya memberi pengajaran kepada kepimpinan lain yang mahu melantik diri bukan atas alasan memperjuangkan agama, bangsa dan negara tetapi kerana kuasa bakal menghasilkan pendapatan lumayan buat diri mereka.
Melihat apa yang ada, pembongkaran kedua - dua pihak mengenai kelemahan dan kesalahan - kesalahan berlaku sepatutnya menyedarkan kita bahawa kita harus bertindak bijak dalam menilai seseorang yang mahu dilantik menjadi pemimpin. Kesalahan kita melantik , memberi mandat adalah punca kemelut ini. Kita harus menyoal semada kepimpinan yang mahu dilantik sudah terujikah , kentalkah semangat juang mereka untuk menjayakan agenda Melayu atau mereka terpaksa menggadaikan kuasa untuk terus menjadi pemimpin wayang kulit yang dicatur dari belakang pentas.
Pelayar yang dihormati,
MELAYU DALAM BAHAYA adalah sebenarnya satu program oleh sebuah organisasi Sekretariat Melayu Muda yang terbantut. Pada waktu itu kedudukan Melayu dalam Bahaya lebih tertumpu kepada perpecahan sokongan UMNO akibat insiden pemecatan Anwar Ibrahim. Hari ini masalah perpecahan Melayu dalam UMNO akibat insiden Anwar Ibrahim masih belum dipulihkan dan kini kita berhadap dengan kehadiran satu lagi perpecahan dalaman dalam UMNO. Perlu kita tegaskan bahawa setiap kali UMNO berpecah yang rugi adalah bangsa kita sendiri. Ini adalah sesuatu yang perlu dilihat dengan serius oleh ahli - ahli UMNO yang memegang sumpah janji "Hidup Melayu"