Sunday, April 20, 2008

Pertahankan hak Melayu – Ketuanan Melayu



Hari ini terma baru lahir – Ketuanan Rakyat dan Ketuanan Rakyat ini tidak sepatutnya dan tidak boleh menggantikan Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu perlu dipertahankan. Salahudin Ayub dari Dewan Pemuda PAS dan Azmin Ali bersetuju secara dasar untuk berbincang mengenai isu mempertahankan hak orang Melayu dengan UMNO.

Justeru itu apakah sebenarnya agenda permuafakatan tersebut? Adakah ini tidak akan menimbulkan kemarahan dari kaum-kaum lain? Kenapa kita tidak boleh bercerita mengenai mempertahankan hak Melayu yang semakin masa semakin terkikis. Adakah tidak benar Melayu dalam Bahaya?

Sememangnya ada kelihatan keuzuran Melayu biarpun di tanah air sendiri. Melayu perlu mempertahankan hak baik dari segi ekonomi mahupun politik. Pertahanan hak ini perlu agar Melayu, bukan menjadi tuan di negara ini tetapi mempunyai kekukuhan kedudukan . Hari ini bukan sahaja ketirisan malah apa yang di genggam baik kuasa politik mahupun ekonomi kini dipegang oleh kaum lain. Pegangan inilah yang pernah kita rujuk sebagai Melayu Dalam Bahaya dan pegangan ini secara kolektif terhakis memungkinkan Ketuanan Cina melampaui Ketuanan Melayu.

Adakah kenyataan itu salah? Adakah kenyataan itu melampau? Takutkan kita pada kenyataan sebenarnya mengenai ketuanan bangsa lain melampaui bangsa kita? Bukankah telah disebarkan statistik mengenai pendapatan purata orang Melayu jatuh di tempat tercorot berbanding dengan Cina dan India. Itu belum dikira pula kemiskinan tegar di kalangan orang Melayu yang melangkau melebihi kaum lain di Malaysia.




Bukankah kita patut akui bahawa sekiranya keadaan ini berlarutan dan terdapat kepincangan dalam sosiopolitik dan ekonomi negara ini maka kemungkinan-kemungkinan kegusaran antara kaum akan berlaku? Ini adalah fakta berhemah yang pernah di ulas dan mempunyai jelas kebenarannya.

Hari ini kita pula disergah dengan pemilikan bangunan di Malaysia yang kebanyakannya adalah milik kaum lain. Adakah kita masih mahu berselimut untuk tidak menyakitkan hati sesiapa lalu diam membiarkan perkara ini berlaku. Ini adalah “survival” bangsa dan ini hakikat yang memerlukan kita untuk mempertahankan hak agar – BUMI DIPIJAK BUKAN MILIK ORANG.

Ketuanan Rakyat anjuran sesetengah pihak adalah kenyataan politik menjual hak Melayu. Tindakan mahu juga membicarakan ketuanan, terlampau angkuh mahukan kuasa maka ketuanan rakyat dilemparkan untuk mengelirukan sedangkan isu ketuanan rakyat ini bukan satu isu pokok kerana itu adalah asas prinsip demokrasi. Ketuanan Melayu adalah persoalan hak, persoalan kedudukan orang Melayu dan persoalan pembelaan kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu. Ini adalah perbicaraan terbuka dengan menilai kedudukan orang Melayu. Ini persoalan bangsa dan bukan persoalan ideologi politik.

Persoalan tersebut tidak memerlukan lagi sinopsis siapa bersalah kerana kesalahan itu melibatkan semua, kepimpinan Melayu dan orang Melayu itu sendiri. Kesalahan ini sudah cukup diketahui dan kemungkinan klimaks kesalahan orang Melayu hari ini adalah ketirisan kuasa yang dipegang.

Hari ini akan terjadi satu petunjuk baru mengenai ketirisan kuasa kerana ketirisan kuasa ini menambah lagi satu lagi bentuk kekurangan untuk orang Melayu. Penghakisan ini amat membimbangkan. Persoalan kesamarataan yang dituntut sebenarnya menghakis hak yang ada. Menuntut ketuanan rakyat kononnya untuk menunjukkan liberalis yang ada sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri yang tidak menguntungkan bangsa. Ini perlu di sedarkan agar kita tidak terikut dengan konsep kesamarataan sebagai satu keadilan. Kita perlu menilai di mana Melayu berada dan apa sebenarnya yang perlu dipertahankan sebagai hak Melayu. Kontrak sosial adalah kontrak sepanjang hayat yang perlu kita tegaskan dengan penjelasan konkrit. Isu ketidakadilan tidak timbul dan isu diskriminasi juga tidak timbul dalam kita melalui perkembangan bangsa khususnya dalam soal-soal kebajikan dan pendidikan. Pegagan ekonomi oleh kaum lain menunjukkan diskriminasi yang di katakan wujud hanya satu kesimpulan politik.




Ketuanan Rakyat adalah satu justifikasi palsu yang sebenar berhasrat untuk membawa politik idealisme Pakatan Rakyat di terima secara total oleh kaum lain sementara bertindak untuk kekal memecahbelahkan Melayu untuk tujuan memperoleh kuasa. Tindakan ini amat merugikan dan perlu kita sedarkan. Tuduhan berterusan mengenai “salah siapa” tidak seharusnya berpanjangan tetapi memperkasakan rakyat untuk memilih dan memahami perlu dilaksanakan. Tindakan menjual-bangsa untuk kuasa adalah sat pengkhianatan. Ini perlu kita tolak dan sekali lagi penjelasan mereka adalah perlu.

UMNO pada am juga telah melakukan kesalahan. Kesilapan dan sikap prioriti yang salah adalah punca-punca UMNO berada di mana ia berada sekarang ini. Menjaga kepentingan sekelompok tertentu menjadikan kredibiliti UMNO tergugat dan unsur-unsur kompromi melampau untuk memegang kepimpinan dalam UMNO melukakan UMNO dari aspek demokrasi. Ini adalah punca pengasingan Melayu baru terhadap UMNO tetapi kewujudan UMNO sebagai simbol kekuatan Melayu perlu ada sungguhpun sudah terhakis.






UMNO memang perlu berubah dan perubahan itu tidak akan menarik legasi lama untuk singgah semula dalam masa terdekat. Banyak usaha perlu diambil khususnya untuk menaturalisasikan konon-konon kepentingan meninggalkan ketuanan Melayu dan mendukung Ketuanan Rakyat. Soalan Melayu perlu ditangani dan soal meningkatkan martabat Melayu perlu menjadi prioriti semua Melayu.

Kita perlu pegang perjuangan Ketuanan Melayu – memperjuangkan hak dan mempertahankan apa yang ada dan menuntut apa yang tiris kembali. Apa salah perjuangan ini?

Monday, April 14, 2008

UMNO,PKR dan PAS perlu muafakat pertahan hak Melayu

Saranan Dato Norza Zakaria adalah untuk semua Melayu tidak kira apa parti sekali pun perlu bersatu untuk mempertahankan hak Melayu. Adakah saranan ini dangkal? Adakah sebenarnya ini perlu dilakukan demi bangsa kita? Ketuanan Melayu adalah hak yang perlu dipertahankan. Menolak garis penghalang seperti politik adalah penting untuk kita Melayu. Kestabilan sosiopolitik negara ini juga pasti terjamin sekiranya hak kita terpelihara dan hak kaum-kaum lain tidak di diskriminasi. Apa pendapat anda?


Kenyataan Dato Norza Zakaria 14hb April 2008

KUALA LUMPUR 13 April – Pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju bangsa Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, permuafakatan pemimpin-pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti itu perlu diadakan supaya isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.
Menurut beliau, tiga perkara penting berkaitan orang Melayu dan yang akan menentukan masa depan mereka di negara ini ialah membabitkan agama Islam, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pendidikan.

“Sudah tiba masanya pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti politik itu berbincang dan mendapatkan persetujuan bersama supaya tiga perkara membabitkan bangsa Melayu itu tidak boleh disentuh dan diganggu oleh orang lain.

“Sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu tiga perkara tersebut, pemimpin-pemimpin ini akan mempertahankan hak orang Melayu dengan pendekatan yang sama,” kata Norza selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kelima Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, dekat sini hari ini.

Norza yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu mahu orang Melayu mempertahankan ketiga-tiga perkara itu sebagai hak bangsa Melayu dengan mengetepikan perbezaan parti politik.

“Sebagai contoh, orang Cina mengetepikan soal perbezaan parti politik dalam menangani dan memperjuangkan isu sekolah Cina dan sepatutnya orang Melayu juga bersikap dan bertindak demikian,” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti hujung tahun ini, Norza berkata, beliau tidak akan bertanding merebut jawatan itu tetapi hanya akan mempertahankan kerusi MT.

Menurut beliau, masa ini lebih tepat untuk merawat hati-hati yang sudah luka dan mereka ingin melihat UMNO membuat perubahan dan menjadi sebuah parti yang tetap disanjung dari dahulu sehingga sekarang.

Dalam pada itu Norza mengingatkan supaya UMNO yang telah ‘tenat’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu perlu menjalani proses pemulihan seperti orang sakit yang dimasukkan ke hospital.

Dalam perkara ini katanya, UMNO tidak boleh berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, kerana sekiranya itu terjadi, maka perubahan atau pemulihan akan berjalan dengan lebih perlahan.

“Kita sepatutnya keluar daripada permainan tuduh-menuduh sebaliknya turun ke padang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Kita tidak mahu adegan tuduh-menuduh ini menjadi show case untuk tontonan orang lain.

“Jika berlarutan saya khuatir satu hari nanti orang akan menganggap UMNO tidak relevan lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, parti pembangkang semakin memperbaiki kedudukan mereka kerana kelemahan UMNO yang mempunyai masalah dalaman yang didedahkan kepada pengetahuan orang luar.

Pembangkang katanya, belajar daripada kelemahan dan masalah UMNO untuk mentadbir negara hari ini.

Norza berkata, “jika kita cepat tutup dan menyelesaikan semua masalah kita, maka lagi cepat kita akan bergerak walaupun yang telah kalah dalam pilihan raya lalu untuk terpaksa bekerja keras.”

Tuesday, April 08, 2008

Dilema Melayu?

Tidak dapat tidak, persoalan mengenai Melayu perlu ditanya. Mahu tidak mahu rakyat Malaysia sudah membuat keputusan pada PRU 12 lalu. Namun hari ini ada persoalan yang perlu dijawab dan perlu ditanya. Adakah PRU 12 itu merupakan kemenangan untuk orang Melayu? Adakah ini kemenangan bangsa Malaysia dan apa dia Malaysia Baru yang dikatakan oleh Presiden PAS dalam kenyataan media 1 April 2008 yang mempelawa wakil-wakil rakyat UMNO untuk menyertai Pakatan Rakyat. Persoalan selepas pilihan raya ini nampak semakin merunsingkan. Pertanyaan semakin membuak – semakin mendesak – semakin meragukan. Adakah ini kekalahan Melayu? Adakah PRU itu menunjukkan Melayu tewas dan Melayu hilang pegangan pendirian seperti pernah digambarkan oleh Dato Onn Jaafar sebelum ini.

Gambaran Datuk Onn 3/8/50 mengenai orang - orang Melayu dapat di lihat dalam tulisan beliau di Warta Negara 1950;

Saya nampak gambaran yang berlainan coraknya daripada gambaran yang sedia ada di hadapan mata kebanyakan orang - orang Melayu. Gambar yang ada di hadapan saya ialah apa yang akan di sertakan oleh orang - orang Melayu sendiri , ia itu gambar menunjukkan pendirian orang - orang Melayu dan gambar perbuatan orang - orang Melayu. Satu gambar lagi ialah gambar gelap yang tidak menunjukkan pendirian orang - orang Melayu. Perbezaan itu amat mustahak ia itu perbezaan yang boleh menentukan nasib orang - orang Melayu.

Sebenarnya ini bukan satu persoalan lagi bahkan ini sebenarnya membentuk satu realiti Dilema Orang Melayu abad ini. Selepas PRU 12, persoalan pokok mengenai Dilema Melayu timbul. Apakah gambaran gelap yang tidak menunjukkan pendirian orang Melayu akan melenyapkan kewujudan Melayu itu sendiri? Apakah benar ada Malaysia Baru seperti sasaran Tn Hj Hadi atau erti Melayu itu sendiri kekal statik dan tidak bermaya. Adakah sebenarnya Melayu MENANG DALAM PRU 12 INI?

Kekesalan

Ada gambaran yang menunjukkan kekesalan orang Melayu selepas PRU 12. Ada yang memberi kenyataan yang menarik untuk di ulas. Antara katanya, “ Benar UMNO telah bertindak untuk mengayakan segelintir mereka dan Pakatan Rakyat menggelar polisi bumiputera sebagai UMNO putera namun perkataan hikmat di situ adalah MENGAYAKAN. Kini dengan PRU 12 ada suara kesal kedengaran kerana takut kuasa yang ada – terlerai dan pegangan Melayu dari semua aspek semakin merosot dan ilustrasi yang tinggal adalah MEMISKINKAN Melayu.

Adakah ini realiti kecenderungan yang ada selepas PRU 12? Adakah ada kecenderungan bahawa setelah PRU 12 ini maka tertirisnya pegangan politik orang Melayu? Sudahlah ekonomi kita adalah di peringkat terendah adakah dengan kemenangan Pakatan Rakyat maka ada pembelaan oleh orang Cina terhadap Melayu di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur. Dengan lain perkataan - kalau dominasi kaum Cina dalam politik dan ekonomi wujud, apakah terbela kita orang Melayu. Ini bukan soalan rasis – ini soal keraguan – perlu diambil kira dan perlu diberi tumpuan serius.

Kepastian

Apa yang perlu adalah kepastian. Keraguan mula timbul dan keraguan ini perlu dijawab dengan tindakan dan bukan retorik sahaja. Kepastian perlu dibuat secara terbuka dan diusahakan dengan lebih serius lagi kerana kekeliruan dan keraguan akan menyebabkan gangguan dalam senario sosiopolitik negara ini. Namun yang penting adalah untuk orang Melayu sedar akan pegangan prinsip dan pendirian kita sebagai orang Melayu. Kita tidak mahu selepas pilihan raya ini, melangkau jauh sedikit dalam kalender pemerintahan Pakatan Rakyat, orang Melayu mula gelisah dan mempersoalkan kedudukan mereka. Sekira ini berlaku maka Delima Melayu 2008 akan menghambat keharmonian dan kemakmuran yang ada.

Adakah kemungkinan ini wujud? Sekiranya ada, pengenduran perlu dilakukan segera dan kita jangan terlampau ghairah memperkatakan mengenai Bangsa Malaysia tetapi isinya kosong tanpa kejituan. Melayu itu tetap Melayu, Cina tetap Cina dan begitu juga bangsa lain. Pengiraan tergopoh gapah dalam mengertikan Bangsa Malaysia akan hanya membentuk bangsa palsu yang akan menyulitkan keadaan. Adakah mungkin Melayu tersasar dalam memberi kesedaran pada kerajaan yang ada ini? Satu soalan yang perlu difikirkan dan adalah satu usaha penting untuk kerajaan negeri yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat untuk memperjelaskan. Tanpa penjelasan itu maka Delima Melayu akan terus menghantui kita dan bangsa ini kemudiannya akan belayar tanpa keperibadian dan prinsip. Ini mampu menghapuskan kewujudan Melayu itu sendiri.

Teringat pada satu program anjuran Sekretariat Melayu Muda - Adakah Melayu dalam Bahaya?

Friday, April 04, 2008

Hisham tidak pertahankan kerusi Ketua Pemuda


Hishammuddin tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Nama yang di sebut untuk menggantikan beliau adalah Dr Khir Toyo atau Mukhris Mahathir yang dijangka akan menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda. Apa pula halnya dengan Khairy Jamaluddin? Adakah Khairy akan turut menawarkan diri untuk jawatan itu. Adakah mampu Khairy menumbangkan Dr Khir atau Mukhris Mahathir? Adakah mungkin Dr Khir, Mukhris dan Khairy atau proksi beliau akan menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO. Apa kata anda?

Tuesday, April 01, 2008

Keperluan dalam kesatuan

Pelawaan berikut adalah pelawaan PAS untuk rakan-rakan dalam Barisan Nasional khususnya wakil-wakil rakyat UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN untuk sama-sama dengan Barisan Rakyat yang hari ini menerima mandat yang agak besar untuk membina Malaysia Baru. Presiden PAS dalam kenyataan ini meminta agar perkara membentuk Malaysia Baru di bawah Barisan Rakyat ini dipertimbangkan secara lapang dada. Berikut adalah kenyataan media Presiden PAS tersebut dan isu ini dimasukkan dalam blog arah kita bagi kita berdiskusi mengenai Malaysia Baru

______________________________________________

PRESIDEN PAS MENCADANGKAN GAGASAN PAKATAN POLITIK BARU

Semalam semasa menghadiri program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana sempena kemenangan PAS di Selangor, di Stadium Malawati, Shah Alam, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang telah mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Barisan Rakyat yang terdiri dari pakatan PAS, PKR dan DAP yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan agar bersama-sama samada secara bersendirian atau "en bloc" menyertai gagasan politik baru ini bagi membina Malaysia baru yang lebih selamat, sejahtera dan makmur buat rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menurut Presiden PAS lagi ternyata hasil dari gelombang kebangkitan rakyat dalam PRU ke 12 lal, Barisan Nasional kini sudah semakin dipinggirkan rakyat dan sudah semakin tidak relevan dalam arus politik negara.

Oleh itu semua pihak perlu realistik dan menerima hakikat politik semasa ini dengan lapang dada. Dato Seri Tuan Guru Presiden mengharapkan melalui gagasan pakatan politik baru ini nanti dapatlah semua pihak bersatu dan sama-sama menyusun agenda dan hala tuju baru negara demi nasib dan masa depan semua rakyat tanpa mengira agama atau bangsa.

Presiden PAS turut menegaskan bahawa gagasan pakatan baru itu nanti perlulah memberi keutamaan kepada desakkan dan tuntutan rakyat iaitu antaranya adalah:

1) Menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan yang seumpamanya.

2) Segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya di Malaysia sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

3) Memperkasa dan memberikan kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak lagi mengamalkan pendakwaan berpilih.

4) Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik.Adalah diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Akhbar Presiden PAS
1 April, 2008


Adakah ini satu perkara yang mustahil untuk kita fikirkan bersama. Adakah pembentukan dalam satu kesatuan akan memberi implikasi yang tidak baik. Mungkin dengan kesatuan ini maka benar Malaysia Baru dapat dibentuk? Mungkin ini mustahil kerana perbezaan ideologi. Namun sekiranya kita meletakkan kepentingan rakyat adakah tidak kesatuan akan membawa kekuatan untuk kita sebagai sebuah negara yang utuh dan kuat penyatuannya. Apa kata anda?