Thursday, February 28, 2008

Timbalan Perdana Menteri 2

TIMBALAN PERDANA MENTERI 2 dari kalangan bukan MUSLIM?
Desakan untuk Timbalan Perdana Menteri 2 dari kalang bukan Muslim? Kenapa Muslim, ada hubung kait dengan agama ke bangsa? Apa pendapat anda?

Tuesday, February 26, 2008

Pilihan raya paling getir buat BN


Adakah benar ini pilihan raya paling getir buat Barisan Nasional? Adakah benar kegetiran ini bukan kerana kekuatan pembangkang tetapi lebih kepada “silent protes” terhadap Pak Lah? Memulakan langkah memasuki pilihan raya, UMNO dan komponen parti dalam Barisan Nasional berdepan dengan masalah calon khususnya mereka yang di gugurkan. Berbagai-bagai spekulasi terbentuk, kelemahan Pak Lah dalam mengurus tabir proses pemilihan calon, diberitakan kekuatan konspirasi MB dan penolakan kerajaan baru “kerajaan Khairy Jamaluddin” adalah antara suara-suara ketidakpuasan dalam UMNO sendiri.

Tidak cukup dengan itu, turut diberitakan pilihan raya kali ini adalah pilihan raya berbentuk pemilihan perkauman. Kita lihat penentang kuat masyarakat India dan Cina terhadap Barisan Nasional yang masih lagi dalam proses pembendungan isu. Ada juga yang berpendapat bahawa masalah perkauman dan masalah perbincangan kaum terpinggir adalah antara masalah yang terpaksa didepani oleh Barisan Nasional.

Langkah Barisan Nasional di kawasan bandar khususnya juga dikatakan pincang. Tidak dapat tidak para penganalisis politik mengakui kehadiran blog dan laman web banyak membentuk perspektif baru masyarakat dan menolak sikap tradisional dan ortodoks Barisan Nasional dalam menangani isu.

Cara menyenaraikan harga barangan negara ini berbanding dengan harga barangan lain di luar negara adalah kempen ortodoks Barisan Nasional. Pengkhususan adalah kenaikan harga barangan di Malaysia, poket siapa yang terasa akibat kenaikan harga barangan dan bukan masalah mengungkit subsidi yang masih kabur, khususnya subsidi wang itu adalah wang rakyat dan subsidi itu adalah untuk rakyat.

Sikap ortodoks dengan media masih lagi digunakan untuk mempromosi Barisan Nasional merupakan bantahan pembangkang dan ini mengiakan apa yang di perjuangkan oleh pembangkang. Perkara ini akan menjadi isu utama dan masyarakat generasi web akan menjadikan ini alasan untuk menolak Barisan Nasional.
Apa pun kalau ini bukan satu pilihan raya yang getir kepada Barisan Nasional tetapi ini adalah penanda arah bahawa Barisan Nasional akan tercalar juga dalam pilihan raya akan datang dan rakyat semakin hari semakin matang untuk menuntut agar Barisan Nasional khususnya UMNO untuk melakukan reformasi.

Tuesday, February 12, 2008

Pilihan Rakyat?

Maka gendang dan semboyan pilihan raya semakin hampir. Ramai kepimpinan tersembunyi kini keluar dari kepompong mereka. Wartawan dan mereka yang mampu menyiarkan mungkin dapat merasa limau Mandarin yang akan di bekalkan setelah penat menyiarkan dan menemu duga kepimpinan yang selama ini bersembunyi dan sepi dari kawasan. Hari ini mereka datang semula, ibarat hujan yang akan membasahi kemarau sekian lama wujud di kawasan itu. Hari ini mereka akan datang tersenyum riang membawa janji, membawa mimpi baru dan berceloteh mengenai apa yang mereka lakukan sepanjang mereka memimpin. Ada yang mendabik dada mengatakan bahawa usaha mereka kini sudah membuahkan hasil kerana jalan akan diturap, elektrik akan sampai, benih-benih subsidi akan tersebar luas. Waktu inilah subsidi penting. Waktu ini juga pembangunan menjadi keutamaan, rakyat menjadi tetamu istimewa kepada ahli-ahli yang menjadi pilihan rakyat untuk memimpin. Namun apakah benar hujan sehari terhapus kemarau setahun?

Setakat ini, itulah azimat pegangan mereka. Anggota pilihan rakyat ini percaya hujan yang akan datang sewaktu pilihan raya ini adalah rahmat untuk mereka dan akan menjadi penebus dosa antara mereka dengan rakyat. Hari ini mereka hadir semula, rakyat melihat mereka semula sambil mereka berjanji akan meneruskan mimpi penduduk setempat untuk sekuang-kurang 5 tahun lagi. Begitu seterusnya senario yang akan dilakukan. Rakyat terus menjadi tetamu istimewa sekurang-kurang 5 tahun sekali.

Sungguhpun bukan semua mereka yang yang bersembunyi setelah memegang gelaran pilihan rakyat tetapi kehadiran mereka yang muncul hanya pada zaman pilihan raya adalah kepimpinan hipokrit yang sepatutnya tidak diberi tempat. Mereka harus ditolak jauh atas dosa melanggar amanat yang sepatutnya mereka tanggung. Ini perlu dilakukan dan sekiranya kepimpinan negeri, hatta YAB Perdana Menteri Malaysia memberi watikah untuk memilih semula pemimpin hipokrit ini untuk dicalonkan semula sebagai wakil pilihan rakyat maka RAKYAT perlu menjadi hakim.

Rakyat Malaysia perlu menjadi hakim yang bijak dalam masa kita menjadi tetamu istimewa kepimpinan yang mahu terus menjadi wakil pilihan rakyat. Kita harus meneliti sejauh mana wakil pilihan rakyat ini mampu menjadi pelindung kepada kita. Kita mahu tahu sejauh mana mereka mahu menegakkan agenda rakyat kawasannya dan sejauh mana mereka berusaha membantu. Andai kita tidak tahu mengukur maka wakil pilihan rakyat yang akan hadir selepas ini adalah kepimpinan yang akan hilang sehingga pilihan raya yang akan datang untuk menebus kemarau 5 tahun tersebut. Adakah itu yang kita mahu?

Maka rakyat pada waktu ini akan menjadi tetamu istimewa pada rumah mereka sendiri sekiranya mereka tetap dengan konsep hilang kemarau 5 tahun akibat hujan sehari. Tepuk dada tanya selera.