Sunday, August 19, 2007

Merdeka - Melayu Merdeka


50 tahun kemerdekaan, ini perlu dilakar dengan segala kemeriahan. Malaysia sudah 50 tahun merdeka. Negara ini perlu dihiaskan dengan Jalur Gemilang tanda patriotisme. Patriotisme hari ini adalah lakaran hiasan yang dibuat pada kenderaan, bangunan dan pokok – pokok di sekitar negara. Kemerdekaan adalah laungan bebas dari penjajahan dan kita perlu merayakan kebebasan ini dengan bersungguh-sungguh.

Maka bulan ini berbagai-bagai rancangan diatur untuk bulan kemerdekaan ini. Konsert dan segala bentuk hiburan bakal disajikan untuk menyambut kemerdekaan. Kita semua bersyukur kerana di bawah kaki bangunan KLCC kemungkinan bakal ada konsert besar dan konsert ini akan dihadiri oleh majoriti kita golongan Melayu yang akan melonjak – lonjak dengan gemilang sambil mengibarkan Jalur Gemilang.




Melayu Merdeka, merdeka dari pegangan penjajah selama 50 tahun. Melayu kini bebas dan kemerdekaan. Melayu kini berjaya dengan pencapaian – pencapaian Melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Benar, pencapaian Melayu begitu baik jika dibandingkan dengan Melayu tahun – tahun sebelum merdeka. Benar, pasti benar jika dibandingkan Melayu kini dengan Melayu dahulu, Melayu sebelum merdeka dengan Melayu selepas merdeka dan Melayu zaman silam dengan Melayu alaf baru. Mungkin statistik perbandingan itu tidak patut dilanjutkan dengan mengukur perbandingan dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Ini kerana jika kita bandingkan maka kita tidak boleh membuat ulasan. Kita tidak boleh menyentuh sebarang isu sensitiviti membezakan pencapaian Melayu, kedudukan Melayu serta hak Melayu. Itu akan di sebut sebagai rasis oleh bangsa lain dan juga kerajaan kita yang didominasi oleh orang Melayu. Mengapa? Mungkin setelah menilai kedudukan Melayu berbanding dengan bangsa lain akan meletakkan kita dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Mungkin pencapaian Melayu hari ini adalah pencapaian kosmetik dan Melayu hari ini masih tersipu – sipu di bumi sendiri. Mungkin juga kalau ini dibentangkan maka terbongkar kepimpinan Melayu yang ada hari ini hanya mahu memimpin diri dan keluarga mereka sendiri dan bukan masyarakat Melayu secara total. Mungkin ini kegagalan yang ada dalam kita memerintah , kerana kuasa politik yang ada digunakan untuk memperoleh material untuk diri sahaja.

Melayu merdeka, apa sudah sampaikan masa kita orang Melayu mampu menyebut merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 ini? Adakah kita sudah merdeka, bebas dan berjaya. Adakah kita sudah dapat memerdekakan diri kita dari belenggu kesempitan ekonomi, pencapaian pendidikan yang tinggi dan mampu membebaskan Melayu dari kepompong kemiskinan. Adakah kita pesaing dalam pencapaian kemakmuran atau sekadar menumpang kejayaan yang lain. Mungkin kita Melayu terasa sudah mempunyai kekuatan tetapi kekuatan apa yang kita ada sekiranya pedagangan bukan dari kalangan kita. Kekuatan apa kalau harta dan tanah kawasan – kawasan utama masih kita sewa dan lebih memalukan ialah kita tidak mampu menyewa. Melayu sudah merdeka, sedangkan komposisi utama dalam pusat-pusat serenti, senarai nama yang hitam di bank – bank dan keciciran pelajaran yang terus wujud dalam zaman ini melibatkan Melayu diperintah oleh Melayu.

Kita panjangkan bicara ini, kita bicarakan mengenai merdeka khususnya mengenai Melayu merdeka, bebas jiwa, bebas berbicara, bebas menentukan arah atau kita masih lagi tersungkur di bumi Melayu ini. Kita bicarakan bentuk kemerdekaan yang telah kita capai atau sememangnya kita belum lagi merdeka dalam era penjajahan berbentuk baru.

Kita bicara sekali lagi, isu - isu yang pernah sebelum ini kita bicarakan. Adakah kita sebenarnya menumpang di tanah sendiri? Adakah perlu lagi kita membicarakan ketuanan Melayu sedangkan tuannya bukan kita. Kita kaji semula penjajahan minda, penjajahan ekonomi dan penjajahan budaya ke atas Melayu hari ini. Adakah MELAYU merdeka? Itu persoalannya klik sini


Wednesday, August 08, 2007

PAS DAN UMNO, bila bunyi itu bersatu,



Mungkin agak munasabah kalau di katakan bahawa perbalahan politik yang melampau merupakan sebab Melayu itu terbahagi dan kerana itu juga bangsa Melayu itu terpinggir. Melayu terpinggir dalam banyak sudut dan ini juga diakui oleh laporan-laporan rasmi kerajaan. Tengku Razaleigh Hamzah pernah menyentuh bahawa parti – parti kaum lain akan berbalah dari sudut politik tetapi akan tetap pada nada yang serupa bila mempersoalkan hak kaum mereka dalam usaha mereka untuk meningkatkan kedudukan mereka di Malaysia.

Malang Melayu tidak begitu. Perbalahan melepasi pagar-pagar politik sehingga menjalar kepada konflik antara sesama yang merugikan bangsa. Kerugian ini menyebabkan kita tertinggal dan sering berbalah sehingga lupa untuk bersatu sungguhpun dalam keadaan Melayu yang tercabar.

Ini perlu kita kaji kerana impak perpecahan sesatu bangsa adalah punca keruntuhan bangsa itu sendiri sehingga mampu menghapuskan tamadun bangsa itu sendiri. Ini adalah satu hakikat. PAS dan UMNO adalah parti dominan Melayu. PAS dengan landasan Islam yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan UMNO yang majoriti adalah orang Melayu. Dua komponen ini, PAS dan UMNO mempunyai satu titik persamaan – Islam dan Melayu. Apakah titik persamaan ini tidak boleh dibentuk untuk menyatukan Melayu dengan penyatuan politik dan memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Adakah titik persamaan ini tidak boleh digunakan sebagai satu permulaan persamaan antara Melayu. Adakah ini mustahil dilakukan dan perpaduan antara Melayu itu tidak akan dicapai kerana sempadan politik? Adakah wajar kita meletakan perbezaan politik sebagai satu sempadan untuk memupuk perpaduan antara Melayu. Adakah kita akan membiarkan perpecahan Melayu itu berlarutan sehingga kita semakin hari semakin ketinggalan.

Mungkin masa sudah sampai untuk Melayu bertindak dan berusaha untuk menggabungkan atau setidak-tidaknya mempunyai asosiasi bagi tujuan yang satu. Mungkin ini adalah penghalang apabila kita sentiasa berbalah.

Apakah perlu untuk kita menyatukan PAS dan UMNO demi agama, bangsa dan negara? Dan bila bunyi itu bersatu, maka mungkin Melayu akan berada dalam satu nada dan tidak mungkin boleh di peleceh. DAN PAS dan UMNO bersatu?

Monday, August 06, 2007

Jangan hilang prinsip

Dipersoalkan mengenai 13 Mei 1969. Dipersoalkan mengenai peranan UMNO yang menyebabkan punca 13 Mei 1969. Dipersalahkan kepimpinan UMNO dan dikatakan UMNO bukan Melayu dan Melayu bukan UMNO.

Benar – UMNO bukan Melayu dan Melayu bukan UMNO, DAP bukan Cina dan Cina bukan DAP seterusnya PAS bukan Islam dan Islam bukan PAS tetapi arah tuju perjuangan, matlamat perjuangan dan susun atur perjuangan menunjukkan arah dan berat mana sesebuah parti politik itu lantas menunjukkan kecenderungan dan akhirnya dilabel mengikut kaum dan asas yang diperjuangkan. Melihat komposisi sahaja cukup menunjukkan kecenderungan dan hakikat kesimpulan asas UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO dalam sebutan majoriti adalah tidak salah malah adalah tepat dari sudut tendensi perjuangan,matlamat dan apa lagi kalau dilihat dari segi komposisi. Sungguhpun begitu hakikat Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu tidak dilihat dari segi kejayaan perjuangan kerana hakikat perjuangan itu tidak akan berakhir.

13 Mei 1969 dikatakan berpunca dari UMNO. Namun kita perlu meneliti kehadiran gabungan dalam Perikatan dan kini Barisan Nasional. Mutlaknya kalau Barisan Nasional gagal maka kegagalan itu bukan hanya kepada kepimpinan Melayu malah kepimpinan Cina dan India (menyebut kelompok majoriti dalam negara kita ini)

Namun hari ini UMNO adalah punca, kepimpinan serta ahli yang rata-rata Melayu adalah penyebab 13 Mei 1969. Dihebohkan teori bahawa tragedi ini adalah tragedi perebutan kuasa dalaman dan luaran, desakan menjatuhkan kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan akhirnya bangsa Cina menjadi mangsa keadaan dalam semua keadaan.

Buku Dr Dr. Kua Kia Soong dikatakan pendedahan baru yang tepat dan kini Raja Petra Kamaruddin bangun dengan papan kekunci menuduh UMNO sebagai “mafia” yang memerintah tak kala itu.

www.umno-reform.com tidak akan bertindak seperti www.agendadaily.com dengan kerakusan mencabar melakukan perkara-perkara kegelojohan melampau tetapi percaya bahawa tindakan Raja Petra Raja Kamaruddin ini agar keterlaluan seperti mana yang pernah ditulis sebelum ini dan penulisan itu dicabar oleh pelayar – pelayar beliau. Hari ini keberanian Raja Petra Kamaruddin dipertaruhkan sebagai modal perjuangan. Namun tujuan dan matlamat Raja Petra Kamaruddin semakin jelas meragukan.

Satu yang paling berlainan sekali adalah publisiti yang semakin kuat diberi oleh media-media arus perdana kepada
www.malaysia-today.net Semakin terkejut dengan peranan – peranan media tempatan sehinggakan rancangan AC DI SINI turut memaparkan kehadiran www.malaysia-today.com se olah – olah wujud beberapa agenda kolaborasi yang membenarkan tekaan beberapa pihak.

Teori UMNO menggunakan sentimen perkauman setiap kali pilihan raya

Ini bukan satu celaan baru. Malahan ramai kepimpinan pembangkang menyatakan bahawa sentimen ini digunakan oleh UMNO setiap kali menjelang pilihan raya. UMNO akan mula mengugut dan mula menggunakan sentimen perkauman, menaikkan rasa curiga terhadap bangsa lain lantas mengharapkan sokongan Melayu akan kembali kepada Melayu menjelang pilihan raya ini. Antara kita kata ada yang percaya kepada teori tersebut. Setiap kali menjelang pilihan raya ada sahaja isu – isu perkauman digunakan oleh UMNO untuk tujuan tersebut.

KATAKAN teori ini benar tetapi siapa yang hari ini sedang memainkan isu perkauman dan sentimen 13hb Mei 1969 untuk tujuan politik tersebut. UMNO dikatakan mencabar kaum lain, mengingatkan peristiwa 13 Mei 1969 untuk meraih undi Melayu, tetapi mekanisme mana dan siapa yang digunakan oleh UMNO hari ini untuk mengingatkan kita semua mengenai 13 Mei 1969?

Siapa yang mengingatkan tragedi tersebut kepada rakyat dan siapa yang mencabar dan memulakan tuduhan Melayu dalam UMNO adalah punca pembunuhan sewaktu pilihan raya tersebut. Isu 13 Mei 1969 akan terus bermain di fikiran dengan berbagai-bagai sinopsis dan pendapat tetapi akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Mungkin ini kepentingan politik semata – mata, kalau UMNO menggunakan isu perkauman untuk sokongan Melayu dan Raja Petra pula membalikkan isu untuk menunjukkan kepada Melayu bahawa UMNO itu punca pembunuhan, akhirnya kedua – dua belah hanya memberi jawapan mencari bahawa semua ini adalah untuk politik. Maka politik dan kuasa adalah matlamat tanpa menghiraukan cara sama ada halal atau haram.

Teori perebutan kuasa dalaman UMNO

Timbul pula teori bahawa peristiwa hitam 13 Mei 1969 adalah berpunca dari perebutan kuasa dalam UMNO. Dikatakan pula tragedi ini adalah tindakan Tun Razak yang mahu untuk menyingkir Tunku Abdul Rahman. Maka hari ini siapa pula yang mahu menyingkir siapa? Adakah ini agenda Anwar Ibrahim (bukan PKR atau PAS) untuk menolak Najib Tun Abdul Razak dengan melabel tindakan ini adalah orkestra kepimpinan Datuk Najib Tun Abdul Razak? Maka UMNO diasak untuk bergolak lagi dan kali ini bukan orang seperti Dato Harun dengan selimpang hitam/merah tanda sokongan agenda tetapi CPU dan papan kekunci milik Raja Petra. Kalau mahu difitnah maka banyak hasil dari permainan ini yang perlu kita kaji

Apa pun semua teori yang menjadi buah mulut topik sensasi ahli – ahli UMNO dan kelompok pembangkang akan merugikan sekiranya diskusi ini adalah diskusi emosi dan akhirnya curiga mencurigai antara kaum terbit.

Teori dan keperluan berbincang mencari arah

Semuanya teori. Semuanya perbahasan penyebab dan semuanya boleh dibincangkan. Namun perbincangan ini perlu menolak elemen hasrat politik sesuatu parti untuk menghalalkan caranya untuk mengetepikan lawannya. Penciptaan Dasar Ekonomi Baru dan tindakan – tindakan yang pernah diambil oleh Tun Abdul Razak agar tragedi 13 Mei 1969 tidak berlaku lagi perlu diteruskan. Tun Abdul Razak dalam usaha serampang dua matanya, menjaga keharmonian kaum dan menggalak perkembangan ekonomi orang Melayu perlu diteruskan agar segala bentuk kecemburuan dan keraguan pupus pada akhir pencapaian hasrat Dasar Ekonomi Baru. Perlu juga diperjelaskan bahawa semua pelaksanaan adalah menuruti semangat kesefahaman antara kaum dan tidak diterjah ke dalam mulut bangsa – bangsa lain.

Sikap kecurigaan Melayu perlu dikikis terhadap bangsa lain sungguhpun tugas itu tidak seharus ternoktah begitu sahaja. Perlu ada inisiatif kaum lain untuk menjaga sensitiviti orang Melayu pada waktu itu. Inisiatif ini harus diambil kerana kecurigaan itu disumbangkan juga oleh kaum lain yang menuntut hak di Tanah Melayu. Sekali lagi sensitiviti ini perlu dijaga. Kita tahu desakan kaum lain hadir sejak 1930an lagi. Desakan inilah yang memberi atau menyemai sikap-sikap curiga. Adakah salah untuk Melayu pada masa itu merasa curiga.

Ini semua perlu lebih dikaji, di bahaskan tetapi menuduh tanpa mahu menyalurkan bukti adalah satu kesalahan. Kita tidak mahu melihat ada peranan-peranan ghaib yang kelak akan memulakan geseran sesama sendiri. Kita tidak mahu nanti atas nama kebenaran yang tidak tepat hujung pangkalnya maka segala yang ada terbenam jauh, lupus dan mengecewakan. Kita tidak mahu melihat ada orang yang berkepentingan sedang cuba memasakkan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri dan malang kalau yang terbabit itu juga adalah
www.malaysia-today.com

Kita perlu mengingati kata-kata Tun Abdul Razak yang pernah berkata, kegagalan DEB adalah satu nahas buat Malaysia dan hari ini nahas-nahas itu sudah menampakkan implikasi setelah DEB gagal mencapai keseluruhan matlamat.

Melayu berpegang pada pendirian

Kita bukan menolak ke tepi kehadiran bangsa lain. Itu juga akan membantu menimbulkan keraguan dan kecurigaan tetapi yang penting adalah kita berdiri dengan batas-batas tertentu dan perlu menghormati batas-batas tersebut.

Kita tahu, Datuk Onn sendiri pernah menggambarkan pandangan gelap terhadap Melayu kerana bangsa itu dikhuatiri tidak ada prinsip lalu akan meruntuhkan nasib dan harapan bangsa sendiri.