Monday, July 30, 2007

JANGAN - JANGAN LAGI



Bagaimana hormatnya saya kepada Blogger Raja Petra Kamaruddin tetapi ini agak keterlaluan dan mungkin memberi implikasi yang buruk kepada dirinya !
Petikan dari Blog Raja Petra Kamaruddin:

Hey Umno! Yes, you, Umno! You, who accuse me of being seditious and who should be detained under the ISA. I, Raja Petra Bin Raja Kamarudin, is not only accusing you of being seditious, I am also accusing you, Umno, of being the cause of an unknown number of deaths suffered in the 13 May 1969 race riots.

Anuar Mohd Nor - laman arahkita pernah dilabel oleh beberapa laman web sebagai Dangerous Web Site yang membicarakan mengenai soal-soal rasis. Namun perbicaraan itu adalah sekitar bertukar-tukar pendapat dan tidak menuntut sebagai peningkatan semangat negatif dalam hubungan sesama kaum. Namun apa yang tertera dalam laman web malaysia-today.net - khususnya menuduh UMNO sebagai punca pembunuhan sewaktu 13 May 1969 adalah terlampau umum yang akhirnya mampu menaikkan tuduhan tambahan, keraguan lain dan khususnya akan menimbulkan kecurigaan dan kebencian antara kaum. Raja Petra harus membuat “specific allegation” kerana menuduh UMNO secara terbuka seakan menuduh parti dominasi Melayu yang akhirnya akan menimbulkan bukan sahaja kecurigaan malah kebencian terhadap Melayu.

Ini benar-benar merisaukan saya, namun kalaulah wujud teori – teori terjadinya 13 Mei 1969 berlegar sekitar perebutan kuasa dalam UMNO dan beberapa aspek desakan perubahan sosial, adakah tidak mungkin Raja Petra Kamaruddin juga menyarung “jersey” yang sama, dalam satu pasukan? (Fikirkan maksud ayat ini kalau perlu hubungi saya) Saya harap tidak, sungguhpun ada syaitan yang membisikkan ini kepada saya perkara itu, nauzubillah.

Kita perlu kendurkan semula perkara ini, rakyat perlu memainkan peranan penting untuk menolak racun-racun yang mahu ditaburkan, tidak kira oleh siapa. Jangan terpedaya dan jangan pula kita leka. Kita boleh berbicara, berhujah dan berceritalah mengenai potongan kek antara ras, hak keistimewaan dan apa sahaja dalam persekitaran perbincangan, tetapi tuduhan membunuh kaum tertentu, tuntutan darah dan sebagainya bukan satu perbincangan atau pendedahan kepincangan tetapi adalah satu sandaran berniat dan motif yang mungkin tidak baik.

Fikirkan dan ubah kepada satu diskusi secara terbuka dalam topik bagaimana memupuk kesejahteraan dan keharmonian antara kaum.

Friday, July 20, 2007

Malaysia Negara Islam atau Sekular



Malaysia Negara Islam atau negara Sekular. Najib Tun Abdul Razak dalam kenyataannya mengatakan negara ini adalah negara Islam dan bukan Negara sekular. Adakah ini satu perbandingan yang tepat. Adakah kenyataan MCA itu yang menyanggah kenyataan Najib itu juga tepat atau semata-mata ini satu kenyataan yang bercorak menentang Islam semata-mata dan dibuat untuk meraih sokongan bangsa Cina kembali kepada MCA yang nampak berani menentang Timbalan Perdana Menteri.



Sekular seperti dalam definisi ini merujuk kepada sifat duniawi dan tidak berkaitan dengan agama. Islam dalam melihat fundamentalnya menolak atau tidak mengiktiraf pemisahan kehidupan agama dengan kehidupan lahiriah yang ada dan memandangkan kita telah telah menetapkan bahawa agama rasmi kita adalah Islam dan nilai – nilai kehidupan di Malaysia berasaskan agama mampukan kita mengatakan negara ini sebagai negara sekular? Memandangkan kehidupan masyarakat kita berkait rapat dengan keagamaan biar apa agama sekali pun maka adakah kita layak melabel pendekatan negara ini sebagai pendekatan sekular? Mungkin kita memerlukan perbincangan khusus untuk isu ini atau sebenarnya ini hanya satu terminologi yang tidak perlu kita rungkai. Kita akui negara kita ini menetapkan Islam sebagai agama rasmi tetapi adakah benar kita dalam konteks ini adalah negara Islam. Ambiga Sreenevasan (Bar Council) menggariskan bahawa pendekatan Islam Hadhari Pak Lah juga tidak menetapkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Kenyataan Najib kini dipersoalkan oleh MCA dan Islam Hadhari pula disoalkan oleh Bar Council. Akhir-akhir ini kita turut lihat Agama Islam itu juga turut dipersoalkan oleh parti politik khususnya DAP.

Monday, July 02, 2007

Deklarasi komponen Barisan Nasional



MCA dan Gerakan perlu memperbaharui deklarasi menyokong hak-hak keistimewaan yang diperuntukkan untuk orang Melayu, Bumiputera serta tidak mempersoalkan Agama Islam sebagai agama utama Malaysia


“Kaum Cina nampaknya tidak berpecah. Walaupun mereka mempunyai tiga atau lebih parti politik, mereka bersatu apabila menghadapi kepentingan bahasa, pendidikan, ekonomi dan kepentingan politik mereka"
- Tengku Razaleigh Hamzah

Dan kita hari ini kita masih membahaskan mengenai ketuanan Melayu dan UMNO parti unggul yang membicarakan arah tuju perjuangan dengan Agenda Melayu sebagai keutamaan perjuangan mereka. Namun kenyataan Ku Li yang mengatakan bahawa Cina di Malaysia tidak berpecah biarpun berlainan agenda politik, menaikkan kening kita. Adakah Malaysia Chinese Association bersetuju dengan Democratic Action Party bila isu adalah mengenai Malaysia Malaysian sedang UMNO dan PAS bertelagah mengenai Agama Islam.

Adakah perhubungan dalam Barisan Nasional sebenarnya tidak begitu intim dan bila isu adalah mengenai kepentingan kaum dan bangsa,mungkin dalam Barisan Nasional sendiri ada perbezaan pendapat. Mungkin juga bila perjuangan itu adalah mengenai bangsa Cina mala mereka dalam BN lebih cenderung kepada parti ekstremis perkauman seperti DAP.

Mungkin komponen Barisan Nasional khususnya MCA dan Gerakan perlu membuat ketetapan besar-besaran untuk menyokong semula kontrak sosial dan mengakui hak-hak kepentingan Melayu seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan. Adakah mereka mampu melakukan deklarasi tersebut untuk sekali lagi memberitahu kepada rakyat Malaysia bahawa mereka selaku komponen dalam BN bersetuju dan mengakui hak-hak yang sepatutnya ada untuk bumiputera dan juga mengenai agama Islam yang tidak boleh mereka persoalkan.

Mungkin mereka dalam komponen BN itu tidak mampu berbuat demikian. Mereka komponen dalam BN seperti MCA dan Gerakan hanya terpisah dari segi wadah politik tetapi agenda bangsa mereka serupa tidak seperti parti-parti politik Melayu yang terbelah dan tidak nampak tanda-tanda persefahaman biarpun dalam isu bangsa Melayu dan Agama Islam itu sendiri.

Mungkin kerana itu juga Melayu masih ketinggalan, kerana dari semua sudut Melayu dicabar baik ekonomi, sosial, politik mahupun agama. Cabaran ini mengalih pandangan kita pada matlamat untuk memajukan Melayu itu sendiri. Siapa salah, UMNO atau Melayu sendiri? Akhirnya Melayu harus bangkit, sedar dan ringan mulut dalam membicarakan mengenai Melayu. Mereka harus mula berani mempersoalkan kepimpinan dan seharusnya mula menolak kepimpinan yang nampak serong. Itu keberanian yang perlu ada. Kita sepatutnya mula berani melihat, meneliti dan menyedari apa tindakan yang harus diambil bila berdepan dengan kepimpinan yang nampak korup dan memang korup. Kita harus mula menyedarkan diri kita dalam bahawa sekiranya kita leka maka yang akan naik adalah mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dan akhirnya Melayu sendiri dilelong. Mungkin ini masanya untuk kita berkata pada Pak Lah, gunakan peluang YAB untuk mula memilih wakil-wakil UMNO untuk mewakili rakyat dan bukan kepentingan politik. Pak Lah harus memulakan. Adakah Pak Lah berani melakukan perubahan – ini peluang terakhir sebelum Melayu terus layu tersungkur di bumi sendiri.

Adakah Pak Lah mampu melakukan – sama-sama kita lihat.