Amaran untuk Melayu
Mungkin ini hakikat perjuangan yang ada. Perjuangan menuntut "demokrasi total" adalah merupakan sensasi perjuangan yang kini merebak bagai wabak di negara kita ini. Tuduhan negara ini, kerajaan ini tidak mengamalkan demokrasi semakin lantang dibicarakan. Mendahului perjuangan yang menuntut agar "demokrasi sempurna" dilaksanakan di Malaysia adalah Barisan Alternatif ( gabungan Parti Keadilan Rakyat Malaysia serta PAS) dan Democratic Action Party yang tidak akan menyertai Barisan Alternatif selagi PAS tidak mengugurkan perjuangan negara Islam. Sungguhpun DAP tidak menyertai Barisan Alternatif tetapi perjuangan "Malaysian Malaysia" seakan teresap dalam manifesto Barisan Alternatif. Perjuangan inilah yang menjadi teras Barisan Alternatif dan DAP dalam usaha meragut sokongan dari kaum - kaum lagi. Adakah salah kalau kita katakan bahawa antara manifesto perjuangan parti pembangkang hari ini adalah "Malaysian Malaysia"
Perjuangan DAP inilah yang sebenar teresap dalam agenda beberapa kepimpinan PKR dalam usaha politik mereka untuk menjadi alternatif kepada pemerintahan yang sedia ada . Kenyataan 60% orang - orang Cina menolak Barisan Nasional mungkin juga adalah kejayaan hasil usaha PKR dan DAP. Kalau benar statistik penolakan ini berlaku ini adalah hasil perjuangan demokrasi tulen yang turut membawa agenda lain khususnya yang menyentuh hak - hak keistimewaan Melayu.
Adakah ini tidak benar? Adakah perjuangan ke arah demokrasi total tidak akan menghakis hak-hak keistimewaan orang Melayu? Adakah perjuangan "multi racial", komposisi Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang ada dapat menjamin kuasa politik dimiliki oleh orang - orang Melayu atau mampukan perlembagaan parti itu secara khusus menjamin hak - hak orang Melayu terpilihara?
Menulis isu ini sebenarnya mempunyai implikasi yang agak besar. Ini akan dilabel sebagai satu tulisan berbau perkauman sekiranya kita menuduh perjuangan atas nama demokrasi hanya akan menguntungkan DAP dengan agenda Malaysian Malaysia. Ini perlu kita kupas, kerana apa yang kelihatan ialah perjuangan menuntut demokrasi total mensasarkan agenda - agenda lain yang lebih menumpukan kepada soal kepentingan kaum dan hasrat mencairkan hak keistimewaan Melayu. Perlu kita tegaskan bahawa ini bukan soal penentangan antara kaum tetapi penulisan ini adalah persoalan "survival" orang - orang Melayu sebagaimana terdapat ruangan yang cukup luas untuk parti yang memperjuangkan ras mempersoalkan kedudukan kaum Melayu dan kadang kala menyentuh isu kontradiksi agama sekali.
Apa yang mahu kita sama - sama fikirkan adalah perjuangan atas nama "demokrasi tulen" yang tidak semestinya memberikan keadilan kepada kaum Melayu dan tidak kelihatan pun kehadiran tuntutan "demokrasi tulen" itu akan menjaga hak orang - orang Melayu malah yang jelas ianya hadir sebagai satu perjuangan menuntut kesamarataan kaum yang akan gagal memberi keadilan kepada bumiputera.
Peringatan kepada Melayu
Peringatan kepada Melayu bukan bermaksud kita mendiskriminasi mana - mana pihak khususnya kaum lain tetapi adalah untuk kita sedar supaya kita tidak terserap dalam perjuangan "terma" tetapi akhirnya merugikan kaum Melayu itu sendiri. Kita tidak mahu Melayu tersedut dalam putaran perjuangan demokrasi tulen akhirnya menjayakan perjuangan "chauvinist" sesuatu kaum. Kita tidak mahu pula kita sebagai Melayu mendiskriminasi kaum lain tetapi kita jangan hanya duduk mendengar tuntutan kerana takut bersuara menegakkan hak.
Kita harus sedar bahawa kita perlu bangkit untuk mempertahankan hak kita sebagai bumiputera, sebagai rakyat Malaysia dan sebagai manusia. Namun perjuangan ini tidak seharusnya mengenepikan keadilan dan keadilan bukan bermakna pembahagian adil dari segi kuantitatif sahaja. Ianya bukan pengiraan "satu untuk aku dan satu untuk kamu" tetapi adalah pengagihan mengikut keperluan dengan mengambilkira bermacam faktor tambahan yang perlu dilakukan bagi mengimbangi skala yang ada.
Timbang khususnya dari sudut perekonomian yang ada bukan hadir dari nilai kosong atau seimbang. Timbang itu semenjak awal Tanah Melayu sudah condong memihak kepada kaum lain. Usaha kita adalah untuk menambah pemberat pada timbang itu agar ianya adil untuk kaum Melayu tetapi bukan bertindak mengurangkan berat untuk menyamaratakan timbang tersebut dengan mendiskriminasi kaum lain. Itu perlu kita tegaskan. Namun dalam kita menegaskan perkara tersebut ada sahaja "chauvinist" sesuatu kaum yang akan menuduh ini adalah hasutan kaum dan lebih malang pula sekiranya Melayu sendiri jadi takut untuk menyuarakan hak.
Kita sedar bahawa "chauvinist" ini ada pada semua kaum. Ini perlu kita tangani malah sekiranya ada "chauvinist" ini dari kalangan Melayu maka itu juga perlu kita tolak. Namun memperjuangkan agenda bangsa tidak seharusnya tersekat oleh ketakutan yang akhirnya merugikan kita. Kita harus berani menyuarakan sebagaimana mereka berani mempersoalkan. Kita harus terangkan kepada semua bumiputera khususnya Melayu kerana itu kewajipan kita dalam menyedarkan betapa perlu kita mempertahankan agenda Melayu supaya tidak terikut dengan perjuangan "demokrasi" oleh sesetengah mereka yang mendefinisikannya sebagai penghapusan hak - hak keistimewaan orang - orang bumiputera. Ini adalah definisi songsang demokrasi yang tidak menerapkan keadilan sebenar dalam perjuangan itu. Kita harus mendefinisikan demokrasi dalam ertikata keadilan yang sebenar dan tidak menyekat roh keadilan hanya berpaksikan perkataan dan perjuangan demokrasi kosong tanpa nilai. John Rawls dalam bukunya A Theory of Justice menyentuh, Keadilan Sosial sebagai semua "keperluan utama atau primer - kebebasan dan peluang, pendapatan dan kekayaan serta asas-asas harga diri, mestilah diagihkan sama rata melainkan pengagihan sebahagian atau semua keperluan yang tidak sama rata menguntungkan mereka yang diketepikan." Adakah ini perlaksanaan kita? Adakah segelintir yang terpilih aman menghirup kemakmuran sedangkan yang lain celaka dalam kemodenan dan pembangunan negara? Definisi ini menunjukkan bahawa keadilan sosial mensyaratkan supaya sekiranya berlakukan pengagihan yang tidak serata tetapi memihak kepada yang ketepi maka ini adalah juga ciri-ciri khusus KEADILAN.
Malangnya, kita terpaut dengan perjuang demokrasi, keadilan yang mempunyai niat - niat tertentu yang bermotifkan politik. Kita terlena dengan konon-kononnya demokrasi itu adalah keadilan dan syarat keadilan itu adalah mencabut keistimewaan hak orang Melayu. Ada pula yang berhujah bahawa adalah tidak demokratik sekiranya kita mempunyai parti berasaskan ras, tidak demokratik sekiranya ada perbezaan hak, kuota dan tidak melaksanakan meritokrasi. Lebih buruk lagi bila ada yang mengatakan kerajaan menindas, mendiskriminasi dan mencabut hak orang bukan bumiputera dan Melayu. Kumpulan ini merangkumkan perjuangan - perjuangan dan tuduhan ini sebagai kerajan tidak demokratik dan zalim. Lebih mengharukan apabila Melayu sendiri dalam Parti Keadilan Rakyat Malaysia turut seolah - olah membicara dengan nada yang serupa konsep DAP "Malaysian Malaysia" seolah - olah kewarganegaraan yang ada tiada nilai untuk hidup di Malaysia. Benar kita "Malaysian" tidak kira bangsa, adat dan agama tetapi jangan perjuangan itu menuntut pembasmian hak keistimewaan sebagai syarat demokrasi dan keadilan. Orang Melayu harus sedar dan tidak terikut dengan perjuangan keadilan dan demokrasi mereka, yang hanya tertumpu kepada cita - cita politik semata - mata.
Dari sudut ekonomi kalau ditimbang, penyertaan kaum lain menyebabkan timbang itu senget sebelah. Pendedahan 85% kontrak kerajaan jatuh semula kepada kaum lain cukup untuk kita mengatakan bahawa Melayu jauh tertinggal sungguh pun ada peningkatan. Ini cukup untuk menunjukkan bahawa bagi kaum lain timbangnya berat dan bagi Melayu dacing itu terapung di atas kerana ringan kerana kita jauh terkebelakang. Adakah dengan menuruti formula keadilan sosial maka salah kalau kita memberi ruang kepada Melayu untuk merapatkan partisipasi ekonomi tersebut?
Kita harus menegaskan : Keperluan Melayu itu untuk meningkatkan partisipasi ekonomi bukan dengan menghalang kaum lain untuk berniaga atau mendiskriminasi mereka. Ironisnya tuntutan Demokrasi dan Keadilan hanya tertumpu untuk mencabut hak - keistimewaan orang - orang Melayu dan ini amat dikesali.
Amaran untuk Melayu
Kita jangan terikut - ikut dengan perjuangan konon-kononnya atas nama demokrasi maka dengan itu hak-hak kita perlu dihakis.
Kita jangan terpedaya konon-kononnya perjuangan demokrasi mereka adalah untuk keadilan tetapi sebenarnya hanya satu tentangan yang berlandaskan pejuangan kesamarataan yang tidak adil.
Kita jangan mengatakan bahawa perjuangan Agenda Melayu itu adalah perjuangan ras, jangan sekali terserap dengan manifesto khusus DAP yang menggunakan perjuangan atas nama demokrasi tetapi perkauman.
Melayu kena berani menyuarakan hak dan Melayu tidak seharusnya mengorbankan hak yang ada semata - mata kerana mahukan undi.Kita tidak seharusnya termakan dengan dahyah pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang mengatakan mereka tidak berasaskan ras tetapi memperjuangkan keadilan sejagat, kerana itu hanyalah kenyataan politik untuk memancing undi bukan Melayu.
Hari ini kita berdepan dengan statistik bahawa 60% orang - orang Cina menolak Barisan Nasional. Ada yang bersetuju dengan statistik itu dan ada yang mengatakan statistik itu tidak benar. Yang mengatakan statistik itu tidak benar telah memberi hujah bahawa bila sampai waktu pilihanraya maka tindakan drastik Barisan Nasional adalah untuk memenangi hati pengundi Cina dengan melunaskan tuntutan mereka. Mereka berhujah bahawa statistik tersebut hanya satu ugutan dan akhirnya Barisan Nasional bertindak akur untuk terus memenangi hati pengundi Cina. Apa pun hujahnya, Melayu akan terus berdepan dengan tuntutan yang sekiranya dijawab maka apa sahaja jawapan itu akan dituduh ultra Melayu dan rasis.
Sesuaian dengan itu kita perlu menetapkan bahawa agar Melayu tidak terikut - ikut dalam perjuangan kononnya keadilan berteraskan "Malaysian Malaysia" kerana agenda mereka hanya akan mengkikis pegangan Melayu yang selama ini wujud dan perlu. Fikirkan