Friday, December 29, 2006

Luka Rakyat - 2006


Akhirnya kita sampai ke penghujung 2006. Ini mengundang berbagai sorotan untuk setiap individu sebaik sahaja 2006 berlalu meninggalkan kita. Banyak rumusan dan banyak resolusi tahun baru akan dibuat oleh setiap kita. Namun 2006 bagi www.umno-reform.com menyaksikan luka rakyat yang semakin parah dalam kita menghadapi komplikasi kehidupan yang semakin rumit. Sungguhpun banyak kejayaan yang telah dilaporkan berlaku; yang memodenkan , yang membangunkan dan menguntungkan negara ini, setidak - tidaknya itulah yang dilaporkan, namun dalam kerancakan kita berbicara mengenai pembangunan dan kejayaan banyak sekali perkara - perkara yang terus menerus membebankan rakyat sementara golongan - golongan Perdana khususnya elitis Melayu tidak terheret untuk merasai apa yang mereka rasa.

Mereka terus berbicara "bagaimana" dan "bagaimana" dan lupa bahawa mereka semakin terjarak dari rakyat yang semakin risau untuk mengharungi peperangan dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Musuh rakyat adalah mereka yang memikul amanah tetapi membelangkanginya, musuh rakyat adalah mereka yang berbicara mengenai perjuangan tetapi lebih kepada kepentingan diri , musuh rakyat adalah kepimpinan yang berkawan baik dengan kapitalis yang tidak sesaat pun memikirkan mengenai nilai malah terus mencari mangsa.

Panjang sekiranya kita berbicara, kenaikan petrol, kenaikan elektrik, kenaikan tol , kenaikan barangan keperluan asas, kenaikan kos pembelajaran serta kenaikan - kenaikan yang dikatakan untuk menampung pembangunan Malaysia bagi membolehkan Malaysia menjadi negara maju dan lebih sial lagi apabila dikatakan bahawa kesengsaraan rakyat ini adalah perlu untuk Malaysia.

Penutup 2006 turut menyaksikan saranan kerajaan untuk kita sama - sama menanggung beban. Kerajaan dan rakyat perlu berkongsi dan perkongsian bijak ini tidak pula dikatakan akan menguntungkan siapa kerana jelas bukan menguntungkan rakyat. Kerajaan turut memaklumkan dalam isu peningkatan kos tol sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan seolah - olah kerajaan terpaksa : "being held at gun point" dan tidak ada cara lain selain mengalihkan beban itu kepada rakyat.

Terlampau banyak yang luka dan terlampau banyak boleh dikatakan namun yang mampu kami dari www.umno-reform.com turutkan adalah amanat Allahyarham Hj Ahmad Badawi, ayahanda Perdana Menteri kita kepada kita dalam UMNO:

"Jangan menukar politik dengan ekonomi akibat kita menjadi hamba orang dan negara"

Amanat Hj Ahmad Badawi
ucapan anjuran Umno Cawangan Sauh, Kuala Kangsar 1955

dan untuk itu kita fikirkan, apa yang sebenarnya berlaku, apa sebenarnya maksud perjuangan yang sering kita laungkan dalam perhimpunan - perhimpunan UMNO, apa yang senantiasa kita katakan mengenai pembelaan rakyat dan apa yang menjadi tunjang perjuangan UMNO.

Kita tidak mahu pembangunan dan kejayaan Malaysia sebenarnya adalah beban kepada rakyat Malaysia. Kita tidak mahu Malaysia melonjak tinggi kerana berpijak atas bahu rakyat dan kita tidak mahu rakyat menjadi hamba kepada golongan elitis tertentu dan seharusnya kita tidak mahu Melayu itu diijak oleh Melayu Perdana yang memperkatakan mengenai pembelaan , perjuangan tetapi menjual bangsa - bangsanya sendiri.

Maka kita tutup tahun 2006 ini, kita akhirkan tahun yang melukakan terus rakyat dan mengingatkan semula kepada Perdana Menteri kita bahawa rakyat kita bakal menjadi hamba orang dan hamba negara sekiranya kepimpinan terus leka, menggenggam kuasa politik untuk digadaikan semata - mata kerana perolehan ekonomi diri. Kita minta Perdana Menteri Malaysia, menjulang tinggi maruah rakyat, menyembuhkan Luka Rakyat, menjadi pembela pada rakyat.

Akhir kata, pengorbanan itu bukan urusan mengorbankan rakyat kerdil, tetapi perjuangan untuk membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan dan membawa mereka mengamit kemakmuran.

Salam dari saya,
Anuar Mohd Nor
012-6544762
editor1 umno-reform.com

Untuk mengakhiri tahun 2006 saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memberi semangat, menyokong kehadiran www.umno-reform.com. Jasa kalian amat dihargai dan semoga perubahan membawa UMNO menjadi hamba kepada rakyat terhasil. Selamat Hari Raya dan Selamat Tahun Baru. Bertemu kita pada 01-01-2007

Tuesday, December 19, 2006

Masih relevankah rakyat?



Kerajaan dan rakyat kita sudah berbeza. Kerajaan adalah kerajaan dan rakyat adalah rakyat. Ini dua entiti yang mula dibezakan oleh kerajaan yang sepatutnya datang dari rakyat. Kerajaan dan rakyat perlu "contribute" dalam menangani kos peningkatan TOL dan menurut kenyataan kerajaan - rakyat harus menanggung beban bersama - sama kerajaan dalam membayar syarikat - syarikat konsesi TOL. Ini kenyataan kerajaan yang seolah - olah telah menjatuhkan talak 3 kepada rakyat dalam kongsi kehidupan didalam negara kita "Malaysia".

Kerajaan kini terpisah dari rakyat sedangkan mereka lupa dari mana asal mereka dan dari mana sumber pendapatan mereka. Bukankah ini suatu yang pelik. Kerajaan mahu rakyat bersama - sama kerajaan membebani kos peningkatan TOL seolah - olah pendapatan kerajaan bukan datang dari rakyat.

Lebih memilukan adalah apabila kerajaan mendakwa bahawa mereka tidak ada pilihan lain selain dari meningkatkan harga TOL. Ini adalah kenyataan - kenyataan yang dikira menunjukkan bahawa kerajaan kita sudah terikat dengan jerut yang mereka buat sendiri tanpa mahu membebaskan diri. Kerajaan TIDAK PUNYA KUASA ke atas peningkatan harga TOL menunjukkan bahawa kerajaan sudah terperangkap dengan apa yang dilakukan oleh mereka sendiri.

Habis, adakah kerajaan hari ini relevan bila mana mereka sendiri sudah terikat dan tidak mampu lagi membela rakyat. Alasan yang sama dan sama masih tidak menyedarkan kita betapa kita perlu lakukan sesuatu untuk memberikan kuasa kepada kerajaan yang dapat membela rakyat. Kita asyik didendangkan dengan alasan yang tidak nampak mampu membela rakyat. Peningkatan harga air dan elektrik, peningkatan harga Petrol dan peningkatan kos kehidupan hasil dari semua ini TIDAK NAMPAK menunjukkan bahawa kerajaan membela rakyat.

Inilah yang ada dan apa inikah yang kita katakan - kerajaan datang dari rakyat untuk rakyat. Apa yang menyedihkan adalah ahli UMNO yang menjadi parti dominan dalam kerajaan sanggup menerima apa juga justifikasi yang menindas rakyat. Mereka tidak bangkit memperjuangkan isu - isu ini malah mereka terus akur dengan harapan keakuran mereka akan memberi pulangan yang datang dari kepimpinan parti mereka. Satu harapan yang ditanam tetapi sebenarnya memicit rakyat untuk cita -cita mereka dalam politik.

Akhirnya Pak Lah kini tidak dilihat sebagai yang berkuasa. Akhirnya kerajaan sendiri tiak dilihat sebagai yang berkuasa. Akhirnya Barisan Nasional khususnya UMNO sendiri tidak dilihat sebagai yang berkuasa kerana kuasa - kuasa mereka telah dibatasi dalam setiap perjanjian konsesi dengan korporat - korporat yang terus mengaut keuntungan dari rakyat. Malang lagi KERAJAAN akur dengan perbuatan itu. Mana kuasa kerajaan sekarang? Rakyat kini kehilangan kuasa kerana kuasa yang diserahkan kepada wakil - wakil mereka dijual dan kini tunduk kepada kapitalis - kapitali yang tidak akan menyebelahi rakyat. Lantas ini hanya menunjukkan kuasa - kuasa yang ada kini dibeli atau diserahkan kepada pemegang ekonomi yang tunduk kepada keuntungan biar ianya menindas rakyat Malaysia. Kenapa ? Kenapa mereka tunduk. Rasuah ! itu sahaja yang mampu kita katakan.

Kini rakyat bukan lagi kerajaan dan kerajaan bukan lagi rakyat. Ini bukan lagi lagi definasi demokrasi. Malah kita mempergunakan demokrasi tanpa pengertian yang sebenarnya. Kita terus diceraikan oleh kerajaan sebaik sahaja mereka mendapat kuasa dan akhirnya rakyat terus terpinggir tanpa nilai kehidupan yang diharapkan.

Masih relevankah rakyat?

Sunday, December 03, 2006

Saya Khir Toyo



"Ini negara demokrasi. Kita ikut majoriti. 1,000 lebih boleh berpindah, kenapa kita kena ikut yang 51 itu," kata Khir Toyo.

Inilah yang didefinasikan oleh Khir Toyo sebagai demokrasi. Kalau ini definasi seorang Menteri Besar mengenai demokrasi maka memacu minda Melayu - kepimpinan transformasi dan segala bala yang disebutkan dalam perhimpunan agung UMNO hanya layak untuk dibukukan sebagai semangat dalam dewan dan semangat buatan untuk tujuan politik sama seperti tsunami Kg Berembang yang diturunkan oleh Maha Penguasa Tempatan untuk memenuhi cita - cita kaku pembangunan.


Sikap yang dahsyat ini wujud dalam kejadian meruntuhkan rumah - rumah peneroka kota tanpa memperdulikan nasib mereka - anak mereka yang tidak berdosa dan sedang mengambil peperiksaan hanya menggambarkan pembangunan kaku - tidak bererti dan tidak ada nilai, MELANGGAR apa sahaja syarat peruntukkan "demi kemanusiaan" dan apa lagi kalau kita lihat bercanggahnya dengan nilai - nilai Islam yang ada.


Mereka yang membawa isu ini dituduh mempolitikan isu dan mengambil kesempatan politik. Itu alasan dangkal mereka yang tidak turun melihat air mata yang menitik bukan sahaja dari generasi penduduk veteran disana tetapi juga anak - anak kecil yang hari ini terguris luka dan tidak akan lupa selagi hayat dikandung badan.




Ada suara - suara "bayaran" menjerit - jerit melaungkan kebenaran perbuatan kerajaan negeri untuk memukul, membakar sehingga ada yang tercedera - luka, pengsan ketahap ICU serta memberi justifikasi usang sedang mereka sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Ada antara mereka yang bercabang lidah - menyokong ikut 'nilai" peruntukan dan tidak menyokong bila "nilai wang saku susut dan tidak ditambah". Inilah yang hadir dalam perjuangan mereka. Pada isu "peneroka kota Batu 8 Hulu Kelang" mereka turut melaungkan kekejaman yang diperlakukan tetapi mungkin setelah disuap maka hari ini mereka membela perbuatan MPAJ dan Khir Toyo.


Tapi apa sahaja kata - kata mereka dalam laman - laman web mereka yang menjerit - jerit menyokong Khir Toyo -gagal untuk berdepan dengan kebenaran isu - gambar - gambar yang dikemukakan sebagai bukti kezaliman dan kerakusan. Mereka akan lebih kuat menjerit kerana lebih kuat mereka menjerit lebik " masuk" saku mereka.

Biarkan.. beri sahaja mereka makan seperti kita memberi makan pada kucing - kucing liar dihadapan rumah kita. Kita suapkan dengan sisa - sisa kerana itu mata pencarian yang mereka mahu. Sungguhpun songsang - itu duit yang menyara mereka. Biarkan laman web penyokong Khir Toyo yang hadir berkala - bila "masuk duit" menyala untuk terus menceritakan apa sahaja. Siapa peduli - mereka tulis mereka sendiri dan Khir yang membaca.


Inilah yang kita kata " bila terlalu banyak alasan" maka kebenaran itu akan semakin hilang. Alasan timbul bukan "justifikasi untuk sebab" tetapi alasan yang timbul adalah untuk "keuntungan" diri dan ini memudharatkan. Ini akan terus memburukkan pentadbiran yang sedia ada dan polisi - polisi rakus yang gagal mengambilkira erti kemanusiaan akan hanya membunuh dan tidak ada akan memberi makna kepada rakyat.

Pembangunan hanya "menguntungkan" mereka dan erti pembangunan adalah menggadaikan nilai - nilai kemanusian. "saya Khir Toyo" akan mempaparkan semula isu - isu tuduhan rasuah beliau sehingga beliau diadili oelh rakyat Selangor biar penguasa BPR tidak mampu melakukanya.