Perjuangan Bangsa MCA dan Gerakan mula dipersoalkan? Setidak - tidaknya inilah kempen yang dikemudikan oleh pembangkang khususnya DAP. Dalam waktu UMNO diserang hebat oleh Dr Mahathir, komponen - komponen Barisan Nasional khususnya MCA dan Gerakan kini berdepan dengan soal - soal kegagalan mereka dalam perjuangan bagi orang - orang Cina. Ini amat menyulitkan keadaan khususnya Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya akan datang. Mahu tidak mahu sedikit demi sedikit kepimpinan Cina dalam MCA dan Gerakan mula didedahkan sebagai kepimpinan yang melutut kepada kehendak UMNO. Ini kata - kata dan kempen DAP dalam mengusik perjuangan MCA dan Gerakan.
Beberapa isu tetap ditekankan oleh DAP yang mahu MCA dan Gerakan tersepit dalam menjawabnya. Antara isu yang dibawa adalah pemansuhan Dasar Ekonomi Baru yang pada mulanya digunakan sebagai kempen untuk menunjukkan kegagalan kepimpinan - kepimpinan Melayu membantu masyarakat Melayu tetapi beralih kepada kegagalan MCA dan Gerakan dalam menunjangi perjuangan orang - orang Cina bagi menuntut keadilan. Isu - isu ketidakadilan dalam mendapat tempat di Universiti Awam , diskaun dalam pembelian rumah dan hak - hak bumiputera dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan MCA dan Gerakan, dalam mendapatkan keadilan bagi orang - orang Cina. Perjuangan ini diteruskan dengan mengatakan bahawa MCA dan Gerakan gagal dalam memperjuangkan sekolah - sekolah Cina dalam Rancangan Malaysia Ke 9.
Sentimen - sentimen perjuangan kaum ini berkembang hanya untuk satu tujuan : Menunjukkan bahawa kepimpinan Cina dalam Barisan Nasional gagal menyempurnakan perjuangan bagi mendapatkan kedudukan yang sempurna. Isu kenyataan Lee Kuan Yew juga menjadi satu isu yang sepatutnya dikaitkan sebagai satu serangan Singapura terhadap Malaysia. Serangan canggih yang tidak menggunakan senjata kini wujud dengan serangan - serangan berbentuk provoksi yang mampu mengucar - kacirkan struktur masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Isu Cina terpinggir sungguhpun dijawab dengan sempurna oleh pembangkang sebagai isu rakyat terpinggir tidak mengira kaum tetapi kenyataan itu tidak disanggah dengan ketetapan menyeluruh. Komitment menyeluruh dalam menghentam semula Lee Kuan Yew gagal dibuat lantas isu ini terapung sebagai satu isu perjuangan yang akan dikutip oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik.
Hari ini kepimpinan pembangkang Cina masih terus dengan agenda menolak Malaysia sebuah negara Islam, menekankan bahawa Malaysia adalah berfahaman sekular, menentang penindasan kepada mereka yang murtad, menuntut DEB dan hak keistimewaan orang - orang Melayu perlu dikikis atas alasan sekiranya tidak maka Melayu akan selamanya dimanja dan tidak akan maju, menghapuskan matrikulasi dan yang terbaru adalah kenyataan menetapkan bahawa kerajaan MENIPU dalam menyatakan pegangan peratus ekuiti bumiputera seperti yang didakwa oleh ASLI melampaui 45%.
Semua ini kemudiannya dirangkul menjadi satu isu kegagalan kepimpinan Cina khususnya MCA dan Gerakan yang gagal dalam memperjuangkan hak - hak orang Cina. Ini dilaku dengan amat teliti agar ianya tidak menampakkan perjuangan rasis yang kelak akan membawa padah kepada mereka. Justeru itu " KEGAGALAN KEPIMPINAN CINA KHUSUSNYA MCA DAN GERAKAN dijadikan punca kenapa dikatakan ada penyisihan kaum di Malaysia.
Serampang dua mata
Serangan terhadap UMNO semakin menular. Serangan mengenai kepimpinan Pak Lah tidak dilakukan sepenuhnya oleh pembangkang tetapi lebih kepada pergolakan dalaman UMNO. Berbeza sewaktu tahun 1998, UMNO diserang dari luar bilamana ramai ahli UMNO dan Melayu secara amnya bertindak meninggalkan UMNO untuk menyertai dan menyokong perjuangan reformasi Anwar Ibrahim. Hari ini bukan sahaja mereka yang menyokong reformasi masih menyokong reformasi tetapi mereka yang menyokong UMNO menuntut perletakan jawatan Pak Lah serta mahu perubahan berbentuk reformasi dalam UMNO. Serangan Dr Mahathir khususnya membuka pekong besar UMNO dan ini menjadi peluru kepada pembangkang untuk menidakkan perjuangan UMNO selama ini. Ditambah pula serangan yang kuat terhadap MCA dan Gerakan yang gagal berfungsi mewakili masyarakat Cina. Ini juga satu serangan kuat kepada Barisan Nasional secara keseluruhan dan ini mampu menyukarkan kedudukan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.
Serang serampang dua mata ini dianggap lebih mencabar kerana tindakan - tindakan itu mampu menyebabkan orang - orang Melayu menentang UMNO dan bangsa lain turut serta menolak MCA dan Gerakan. Ini satu serangan komprehensif ke atas Barisan Nasional dan ini berbeza dari serangan - serangan zaman reformasi dahulu apabila konsentrasi hanya kepada isu Anwar Ibrahim dan Melayu.
Serangan ini sekiranya tidak ditangani dengan sempurna oleh Barisan Nasional khususnya kepimpinan UMNO sebagai parti dominan dalam Barisan Nasional maka keyakinan BN akan menghadapi satu pilihanraya sengit pada pilihan raya akan datang pasti akan menjadi realiti. UMNO hari ini terpaksa berdepan isu - isu canggih , serangan moden dan dalam masa media semakin luas terbuka UMNO tidak boleh berpeluk tubuh. UMNO hari ini tidak mempunyai pahlawan - pahlawan yang mahu berdiri berdepan dengan isu - isu ini kerana sikap berhati - hati dan sikap mementingkan diri sendiri. Kita lihat kehadiran ahli - ahli UMNO hanya mahu menentukan tempat dalam UMNO dan tidak menentingkan kedududkan UMNO pada kaca mata rakyat. Adakah ini juga berlaku pada komponen Barisan Nasional yang lain - MCA dan Gerakan?