Panggil apa sahaja – mereka
khianat Melayu – tidak Islamik – menggadai maruah bangsa Melayu – mencemar agama
Islam namun gerakan memurtadkan Melayu sudah mula berlaku.
Istilah memurtadkan
Melayu sememangnya belum konklusif tetapi kita mula terdengar anak muda Melayu
sudah mula mengintip dan di intip oleh DAP, untuk menyertai DAP sebagai
alternatif politik dan meninggalkan parti lain khususnya Parti Keadilan Rakyat
Malaysia. Sungguh pun ini tidak dapat dikatakan sebagai satu gerakan memurtadkan Melayu yang
menyeluruh – namun dalam kerangka politik – peralihan mula berlaku dari sudut
kepartian – menyertai DAP yang selama ini di label sebagai parti Cina dengan
egois Cina yang tinggi oleh orang Melayu. Wujud kini ahli PKR dan anak muda yang tidak berparti , sudah
mula berjinak-jinak dengan DAP. Sungguhpun mungkin suara itu tidak didengari
oleh kita – kerana kita terlalu amat jauh dari realiti politik – keadaan
menjemput anak muda Melayu menyertai DAP sudah dimulakan.
Media UMNO – penyokong UMNO dan
ahli UMNO dalam media sosial khususnya media Face Book banyak menghentam mereka
yang telah menyertai DAP sebagai pengkhianat bangsat, menjual bangsa dan agama
apabila mereka menyertai DAP. Kata apa sahaja – tindakan kita memaki hamun –
menuduh dan menghentam mereka yang menyertai DAP menjadikan mereka lebih
popular dan di terima.
DAP dengan alasan mahu lebih
ramai orang Melayu menyertai parti itu bagi menunjukkan bahawa DAP adalah parti
berbagai-bagai kaum, sudah mula menarik
perhatian anak muda baik yang tidak berparti mahu pun berparti khususnya dalam PKR.
Usaha mereka turut untuk bertemu dengan anak muda Melayu – wanita dan
gadis-gadis Melayu dalam usaha menarik perhatian mereka sudah mula wujud dan
sudah menampakkan kejayaan.
Usaha ini semakin nampak berkesan
setelah Dyana Sofya Mohd Daud diberi ruangan oleh DAP untuk bertanding di Teluk
Intan baru-baru ini. Ini merupakan satu langkah strategi baik DAP untuk
memperkenalkan gadis Melayu sebagai calon – anak muda sebagai calon dan
meletakkan satu asas kukuh untuk rakyat melihat DAP dari sudut yang berbeza dan
tidak lagi bertunjangkan fahaman komunis seperti selama ini di dakwa. Langkah
ini sebenarnya memberi kemenangan politik jangka panjang bagi DAP biarpun tewas
di Teluk Intan.
Penyebaran wadah politik DAP
dijalankan dengan nada dan susunan yang merancang pergerakan mereka untuk
meraih sokongan pada PRU seterusnya. Tindakan agresif DAP akhir-akhir ini
adalah untuk meramaikan orang Melayu menyertai DAP dalam usaha mereka untuk
terus menerajui politik tanah air. Orang Melayu mahu di usahakan oleh DAP untuk
melihat DAP bukan sebagai satu parti berfahaman Komunis seperti satu masa
lampau namun melihat DAP sebagai satu parti politik yang berpihak kepada rakyat
dan tidak terikat pada ras. Langkah pro
aktif dan positif mereka sedikit sebanyak telah memulakan gerakan baru –
mengambil Melayu menyertai mereka. Satu langkah politik yang melihat kepada
masa depan politik mereka.
Kenapa dikatakan memurtadkan
Melayu – adakah terminologi itu tepat dan benar? Adakah memurtadkan Melayu
membawa Melayu keluar dari resam Melayu – budaya Melayu atau sedikit sebanyak
liberalis dari apa yang sebenarnya menjadikan Melayu itu Melayu. Dalam konteks
politik pula apa sebenar yang dikatakan memurtadkan Melayu. Adakah menyertai
DAP dikatakan sebagai memurtadkan Melayu? Adakah gerakan ini akan akhirnya
menghancurkan PKR dan UMNO sendiri – bila Melayu keluar dari kongkongan
perjuangan Melayu? Adakah mungkin juga kaum lain seperti Cina juga akan
menghakis perjuangan kaum Cina bila mana Melayu hilang makna perjuangan
Melayu? Adakah mungkin memurtadkan
Melayu itu hanya berlaku sekitar isu politik – sokongan kepada parti Melayu
oleh orang Melayu mula terhakis.
Apa pun persoalan yang timbul –
satu penyataan harus diperjelaskan – adakah perjuangan Melayu oleh UMNO sesuatu
yang sudah menjadi ortodoks dan tidak lagi di terima? Adakah parti Melayu
semakin mengecil sehingga hari ini gerakan menyertai DAP semakin membesar dan
berkembang di kalangan orang Melayu? Adakah ini tidak boleh di label sebagai
memurtadkan orang Melayun ? Lebih khusus lagi adalah perjuangan Melayu – adakah
perjuangan Melayu harus berkisar kepada penentangan terhadap kaum lain dan kaum
lain juga perlu dipersoalkan – adakah penentang budaya dan agama satu langkah politik
bijak mereka atau akhirnya negara ini terpisah dengan sekatan perkauman. Kita
perlu sebenarnya jujur dan tidak menyapu konflik kaum di bawa tikar – ia akan
kelihatan juga. Apa dia memurtadkan Melayu?
Anuar Mohd Nor
anuarmohdnr@gmail.com