Monday, January 06, 2020
Friday, April 20, 2018
Saturday, November 08, 2014
Bila kita salah…
Wednesday, July 30, 2014
Kembali di sini
Memurtadkan Melayu
Sunday, November 14, 2010
PKR - demokratik atau tidak?
Bersihkan dan lakukan pembasmian perkataan ANTI dalam parti. Nyah mereka yang membangkang dalam parti, hapuskan mereka yang tidak menyokong, ingkar dan tidak mahu sehaluan. Semua harus menyokong, harus setia dan harus mengikuti arus yang ada. Semua tidak boleh menongkah arus – barulah boleh kita lawan untuk demokrasi? Aduh, macam pincang kenyataan di atas bukan? Kita tidak amalkan demokrasi dalaman, kita amalkan kronisme dan akhirnya kita menyebut usaha kita mahu menyuburkan demokrasi. Adakah cara itu betul? Adakah tidak sepatutnya kita mengamalkan demokrasi kemudian baru kita perluas dan kita suburkannya. PKR – dikatakan cuba mengamalkan demokrasi yang lebih luas. Kalau UMNO dikatakan demokrasi terpimpin, PKR pula mahu menunjukkan kemelesetan demokrasi UMNO dengan menjayakan demokrasi ala PKR. Akhirnya nampak tunggang langgang. Namun di sebalik itu mahu juga kita bertanya – apa yang tidak demokratik dalam PKR? Adakah sistem pemilihan mereka salah, pincang dan penuh penipuan. Siapa yang kata – begitu? Mereka yang kalah, mereka yang tidak dapat tempat dan mereka yang cemburu. Bukan begitu! Yang menang akan kata itu adil dan yang kalah akan kata itu tidak adil. Sama juga – yang memerintah akan mengatakan mereka adil dalam melakukan yang sebaiknya dan yang membangkang akan mengatakan itu semua tidak adil dan zalim. Pi mai pi mai dok tang tu ...kerana kita sentiasa mudah terpesong dengan lagu-lagu ceramah dan janji manis mereka yang melobi untuk kemenangan sedangkan yang ada di depan mata tidak pernah menderhaka kepada kehidupan seharian kita. Kita perlu sedar bahawa – meruntuhkan yang sedia ada dengan harapan untuk mengadakan yang lebih disangka baik akan merugikan kita. Kita kena ukur risiko berbuat begitu. Kita takut keruntuhan sistem ini akan merosakkan lagi keadaan negara kita. Tidak salah kita perbaiki, kita usaha pembaharuan tetapi untuk meruntuhkan dan menghancurkan – satu tindakan yang akan hanya menjemput kekecohan. Kita perlu melihat implikasi kacau bilau. Apa pun, kemungkinan apa yang berlaku pada PKR perlu diteliti. Mungkin mereka akan lebih kukuh dari sekarang – kerana mereka yang menongkah arus sudah tiada – tetapi apa pula hakikat demokrasi yang diperjuangkan? Apa yang salah dan apa yang benar? |
Wednesday, October 27, 2010
Matinya Ketuanan Melayu
MATINYA KETUANAN MELAYU
Mungkin satu analisa sempit yang tidak merujuk kepada fakta bagi mengukuhkan hujah. Mungkin agar sukar mengumpul data-data yang akan merujuk kepada matinya Ketuanan Melayu, bila dan mengapa? Ketuanan Melayu, yang menjadi teras maruah Melayu mungkin hanya ungkapan penafian kepada realiti yang ada. Realiti yang ada adalah KETUANAN MELAYU sebenarnya tidak lagi wujud dan mungkin lenyap semenjak kehadiran penjajah yang menjajah Tanah Melayu. Ketuanan yang hanya tinggal ungkapan ini cuba di sorakkan sebagai usaha penafian kematian KETUANAN yang ada.
Melayu mungkin telah sekian lama berada dalam keadaan penafian. Menafikan bahawa kita sudah tercorot dalam semua ruangan kehidupan. Kita nafikan kerana kita tidak mahu menerima hakikat yang sebenarnya. Kita terus berharap – KETUANAN Melayu itu ada dan masih wujud sedangkan hakikat sebenarnya berbeza.
Untuk menulis dan menyuarakan isu ini – usaha perlu dibuat agar ia tidak terbabas menjadi satu surat hasutan. Ini juga menjadikan suara-suara kritikal mengenai KETUANAN Melayu terhad dan terhalang lantas kita tidak tahu mengenai kedudukan sebenar Melayu. Justeru itu kita masih berkhayal mengenai wujudnya Ketuanan Melayu yang masih dipegang oleh bangsa kita.
Ketuanan Melayu ini sudah lama mati. Ketuanan yang berprinsipkan kepada hak utama di tanah air ini terhakis bukan sahaja dengan penjajahan yang dilakukan atas negara kita ini tetapi dengan pengamalan sistem pemerintahan demokrasi yang berasaskan kekuasaan politik. Kekuasaan politik yang menjadi terus kepada kekuatan inilah yang mampu menjadi senjata yang membunuh ketuanan Melayu yang sering dilaungkan sebelum ini. Hak Melayu yang di peruntukkan dalam perlembagaan tidak pincang. Ia cukup untuk menunjukkan bahawa elemen ketuanan itu ada. Peruntukkan yang memberi ruangan tetap kepada ketuanan itu wujud dalam konteks yang amat daif sekali. Apa perlunya ketuanan pada nama, kuat pada kulit dan tinggi pada khayalan sedangkan hakikatnya berbeza. Namun kenapa ketuanan yang diperuntukkan yang bukan merujuk kepada tuan dan hamba tetapi merujuk kepada hak keistimewaan seakan tidak menggambarkan kekuatan dan prioriti bangsa Melayu itu sendiri. Di mana silapnya? Adakah perlembagaan yang memperuntukkan hak Melayu itu cukup untuk melindungi Melayu tetapi kenapa realitinya amat berbeza. Adakah cabaran kaum lain dan kehadiran mereka menjadi punca terbunuhnya ketuanan Melayu? Adakah pengamalan demokrasi yang ada hari ini menjadi sebab utama terkorbannya Ketuanan Melayu? Adakah alasan di atas bersesuaian dengan hakikat matinya Ketuanan Melayu dan ia dapat diterima dalam era moden hari ini? Mungkin jawapannya ada pada kenyataan Chandra Muzaffar yang pernah saya baca :
Kenyataan Chandra Muzaffar Tahun 1974, kata beliau :
Masalah Etnik akan terus wujud. Kesilapan bukan terletak kepada Perlembagaan, atau kedudukan bahasa, agama dan komuniti atau dasar untuk menolong orang – orang Melayu. Realiti adalah berkecuali. Apa yang lebih asas ialah cara perbezaan etnik diatasi, cara bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan dan cara mana keharmonian tercapai. Ini akan menentukan keadaan perhubungan etnik. Oleh sebab inilah yang memimpin merupakan faktor penting.
Maka, Chandra Muzaffar mengatakan faktor kepimpinan merupakan masalah utama yang sebenarnya menggugat kedudukan hak Melayu serta matinya apa yang dikatakan ketuanan Melayu. Kesilapan kepimpinan adalah alasan utama dan kesalahan ini menjangkau perimbangan antara politik dan ekonomi yang penyesuaian dan perimbangannya akan menjadi faktor utama kepada kesejahteraan perhubungan etnik. Adakah ini tidak juga membunuh Ketuanan Melayu? Adakah perimbangan politik dan ekonomi ini tidak melenyapkan makna Ketuanan Melayu itu sendiri?
Asasnya jelas, kehadiran penjajah dan kehadiran demokrasi serta sistem ekonomi dan politik moden telah melenyapkan Ketuanan Melayu dan hakikat perlu disedari bahawa Ketuanan Melayu itu hanya mitos – seumpama tidak Melayu hilang di dunia ( dalam mengertikan Melayu sebenarnya).
Kita perlu sedar bahawa peruntukkan hak keistimewaan Melayu hari ini bukan sesuatu yang mendaulatkan Ketuanan Melayu. Kehadiran peruntukan dan dasar-dasar yang menetapkan peruntukkan lebih untuk Melayu juga tidak memperkuatkan maruah Melayu itu sendiri. Ini semua tidak ada makna sekiranya Melayu itu sendiri tidak bangkit – kepimpinan Melayu itu sendiri perlu sedar bahawa era ketuanan ini bergantung pada kekukuhan perekonomian dan kekuatan jiwa Melayu itu sendiri. Persoalan hari ini adalah kedudukan Melayu itu – bukan ketuanan yang mengungkap kekuatan bercorak feudalisme – kuasa turun menurun dan darah keturunan. Kita perlu sedar Ketuanan Melayu itu sudah terkubur lama dan hari ini ketuanan Melayu yang diukur dengan kekuatan politik sudah tidak ada lagi.
Satu pembunuhan terhadap ketuanan Melayu telah berlaku. Pembunuhnya adalah kemodenan, politik dan Melayu sendiri. Kita perlu menerima perubahan tetapi perubahan itu perlu ada kita sebagai orang Melayu di tapak yang kukuh dan tidak mudah terpengaruh. Kerisauan perlu memuncak sekiranya apa yang diperuntukkan kepada Melayu hanya peruntukkan dalam kertas dan kita sendiri hanyut dengan arus kemodenan. Apa yang kita risau adalah hakikat bahawa sisa – sisa maruah kita yang ada ini – khususnya dari sudut politik sebenarnya tergenggam oleh pihak lain. Kita perlu sedar sungguhpun Ketuanan Melayu itu sudah mati – adakah tidak mungkin ketuanan lain yang menggantikannya.
Wednesday, December 16, 2009
CATATAN ANUAR MOHD NOR - Hilang UMNO, Melayu bagaimana?
www.umno-reform.com terbentuk pada akhir tahun 2000. Tuntutan dan desakan perubahan dalam UMNO dibuat setelah berhempas pulas menyertai gerakan reformasi 1998. www.malaysiakini.com pernah menerbitkan ulasan mengenai penerbitan umno-reform dengan penulisan Abu Munzir seorang pensyarah dan seorang ahli reformis – NGO Badaruddin Ismail seawal tahun 2001. Artikel mereka boleh di rujuk dalam arkib www.malaysiakini.com – klik sini. Ini di ulangi kerana gesaan perubahan UMNO wujud sejak tahun 2000 dalam laman web www.umno-reform.com dan sayalah orang yang bertanggungjawab membentuk dan menjalankan editorial laman itu kerana saya yakin perubahan perlu memandangkan pengalaman saya dalam era reformasi dan politik Parti Keadilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat).
Tuntutan saya agar UMNO berubah adalah kerana perkembangan parti lain khususnya DAP dalam peranan yang dimainkan bersama-sama PKN (sekarang PKR) yang turut membabitkan PAS dan PRM. Apa yang jelas nampak adalah usaha mereka yang lebih kepada perjuangan politik – beralaskan demokrasi tetapi berusaha untuk menaturalisasikan minda Melayu – untuk terus mencairkan semangat Melayu – bagi memudahkan idealisme baru atas nama bangsa Malaysia berkembang. Membicarakan tentang demokrasi bagi mereka adalah menuntut hak yang sama – beralaskan kesamarataan dan tidak berdasarkan keadilan yang sepatutnya. Suara menuntut hak kesamarataan antara bangsa bagi mereka perlu dan cara mereka adalah untuk mencemuh kepimpinan Melayu – menggunakan alasan kemanusiaan – hak bersuara dan ini disulami dengan rintihan perkauman yang dikatakan di diskriminasi dalam negara ini sebagai cara utama. Semua alasan demokrasi digunakan untuk mencapai matlamat – menghapuskan istilah hak keistimewaan dan apa yang di sebut ketuanan Melayu - tanpa menuntut secara langsung tetapi mahu mencapai matlamat “me-Malaysia-kan” Malaysia dituntut atas alasan demokrasi. Perjuangan Melayu di jijikkan – namun perjuangan bangsa mereka di buat juga konon atas alasan demokrasi. Ketuanan Melayu adalah istilah jijik sedangkan pemegangan mereka atas ekonomi yang menjadikan mereka tuan – dihalalkan dengan alasan kesamarataan hak – berdasarkan pegangan demokrasi.
Ramai terpesong – sehingga hari ini PAS turut mencerca lagu WARISAN, Parti Keadilan Rakyat dengan ketuanan rakyat – tanpa mengira kaum dan media utama mereka dalam Internet yang memainkan isu emosional perkauman – kesempitan kaum Cina untuk mendapatkan pendidikan – ruangan perniagaan dan melaungkan ketidakadilan DEB dan hak keistimewaan Melayu. Ada pula hujah dangkal dalam www.themalaysianinsider.com klik sini yang menyamakan Zionisme dengan ketuanan Melayu – dengan hujah lemah atas alasan penindasan kaum. Usaha mereka terus menerus – memainkan alasan demokrasi – memainkan alasan patriotisme mereka, memainkan emosi serta mencemuh kepimpinan Melayu sebagai usaha untuk meracuni fikiran dan minda Melayu – agar meninggalkan pegangan bangsa lantas mahu “me-Malaysia-kan” Melayu. Mengelirukan isu perkauman inilah yang akan memberi ruang kepada nilai baru yang hanya menguntungkan mereka dan adalah malang perkara ini disambut oleh kepentingan memperoleh kuasa – segelintir pemimpin Melayu yang tahu – dominasi undi hari ini adalah pada bangsa lain kerana Melayu sendiri sudah terpengaruh dalam perjuangan bangsa Malaysia yang hanya menguntungkan kaum tertentu dan bukan kaum Melayu- lantas mahu meragut kuasa untuk agenda tersendiri. Ada pula Profesor yang buta realiti – menyebut – hak telah terpelihara dalam perlembagaan dan kita tidak perlu risau kerana ia terjamin, seolah-olah Perlembagaan itu seperti udara dan air – satu kejadian semula jadi cipta ALLAH yang tidak mungkin dapat di pinda.
Malang sekali tidak ada sesiapa yang berani mencabar kehadiran kaum lain yang ada – kuat pegangan ekonomi – sudah menjadi penentu undi – berani menuntut hak yang ada pada Melayu. Kita segan mahu mengatakan bahawa toleransi Melayu juga mempunyai had – mempunyai batas dan sampai satu ketika kesabaran juga mampu tergugat. Kita juga segan mahu memperbetulkan fakta bahawa kehadiran mereka adalah atas rundingan dengan hak keistimewaan masih pada bumiputera – khususnya Melayu. Hari ini mereka bebas dan tidak ada tindakan diskriminasi yang dilakukan ke atas mereka. Sebenarnya keharmonian akan terjamin sekiranya kaum lain tidak menyuarakan tuntutan baru – menggunakan isu kaum semata-mata untuk keuntungan politik. Namun kebijakan mereka adalah atas kealpaan kita. Kaum lain sebenarnya tidak panas membicarakan perkara ini. Kaum lain sesuai dan sekiranya kita lihat mereka sudah mencapai darjat ekonomi yang lebih baik dari kita. Hanya segelintir kepimpinan Melayu – segelintir kepimpinan Cina dan kaum lain bergabung untuk terus menghambat isu ini agar – semangat politik kaum lain terbentuk lantas berpengaruh untuk mencairkan pegangan politik Melayu. Ini merisaukan Melayu dan mereka yang prihatin terhadap bangsa Melayu.
Kita perlu tekankan bahawa tidak ada fahaman berbentuk rasialisme yang diamalkan oleh UMNO yang menjadi parti berasaskan Melayu. Tidak ada diskriminasi malah penuh peluang untuk terus hidup dengan sempurna di negara ini, namun virus-virus yang disebarkan adalah penuh dengan matlamat – caranya tidak penting. Adalah amat penting untuk kita bertegas dalam beberapa perkara yang menyentuh kepentingan Melayu. Adalah juga penting bahawa kaum lain – generasi baru di maklumkan mengenai perkara sebenar – faham kedudukan agar mereka tidak tersimpang sehingga menyulitkan keadaan dan perhubungan yang ada di negara kita ini.
Atas kesedaran yang ada 10 tahun sudah – mengenai reformasi dalam UMNO – lantas menubuhkan laman web www.umno-reform.com , saya juga mahu menegaskan bahawa Melayu juga akan hilang di dunia – sekiranya perkembangan – perkembangan yang ada tidak di pantau dengan segera – malah UMNO juga akan tercair tersimpang dari wadah perjuangan Melayu menjadi satu lipatan sejarah untuk di kenang.