Bila kita salah…
Keadaan bukan lagi seperti
dahulu. UMNO bukan lagi menikmati apa yang dinikmati sebelum 1998. Semua kini
telah berubah dan UMNO sebagai sebuah organisasi Melayu kini berhadapan dengan
cabaran-cabaran baru dalam tamadun Melayu Baru. Melayu itu sendiri sudah
berubah. Melayu itu sendiri bukan lagi seperti Melayu dan kalau ada yang
ortodoks Melayu maka mereka akan dilabel sebagai ketinggalan zaman. Itu semua
boleh kita terima. Perubahan Melayu zaman ini, pemikiran Melayu zaman dahulu
yang berada pada zaman hari ini – turut boleh kita terima. Namun yang sukar
kita terima adalah kepimpinan Melayu memperjuangkan Melayu dan Melayu itu
adalah dirinya sendiri. Sikap Melayu yang hidup atas unjuran mahu
memperjuangkan Melayu nyata amat hipokrit. Melaung slogan hidup Melayu – dalam konteks
untuk menonjolkan diri sebagai pejuang Melayu amat dangkal – kalau perlakuan hanya
mahu mementingkan kedudukan dan loncatan politik peribadi. Ini bagi saya adalah
perjuangan palsu dan tidak konklusif.
Ditambah pula dengan
memperjuangkan Melayu hanya untuk menjadikan isu Melayu sebagai bahan kempen
dan bahan untuk mempopularkan diri sendiri. Dari memperjuangkan Melayu –
menjadikan kempen untuk meraih sokongan orang Melayu – timbul pula apa yang
dikatakan liberalisme Melayu. Melayu moden kata mereka. Melayu yang tidak Melayu
tetapi Malaysian. Melayu yang mahu meraih sokongan Melayu di samping meraih
sokongan kaum lain dalam rukun liberalisme Melayu. Melayu yang mengatakan Melayu
lain ortodoks dan Melayu lain tidak terbuka fikirannya.
Dari situ timbul pula Melayu yang
menegah isu Melayu tetapi yang penting adalah Islam. Islam itu melebihi bangsa
dan amat salah kalau kita mementingkan bangsa mendahului Islam. Kesongsangan
mereka ialah menuduh perjuangan bangsa itu salah kerana yang ada hanya
perjuangan Islam. Siapa yang mahu menafikan kepentingan perjuangan Islam dan
memartabatkan agama Islam itu sendiri. Dalam kita menyuarakan kepentingan dan
keperluan mendaulatkan agama Islam – Melayu juga di kerah, di manipulasi dan
akhirnya di jajah untuk kepentingan lain khususnya politik.
Maka – berarah-arah perjuangan Melayu.
Segala-galanya menyebut Melayu tetapi tidak memikirkan pembangunan bangsa itu
bagi mendaulatkan agama Islam itu sendiri. Semuanya memikirkan Melayu – Islam untuk
kepentingan kecil khususnya kepentingan politik masing-masing. Maka pengasingan
perlu di buat – Islam dan Melayu, kata sebilangan kelompok yang mahu
menyedapkan hati kelompok lain. Islam mendahului segala-galanya, tetapi turun
padang untuk meraih kuasa – mendapatkan kuasa , atas dasar mahu menegakkan
Islam. Maka sekali lagi bercabang-cabang perjuangan Melayu. DI sana
memperjuangkan Melayu dan di sini memperjuangkan Melayu. Di sana memperjuangkan
Islam dan di sini memperjuangkan Islam. Semua di sana dan di sini tidak pernah
sebulu dalam memperkatakan sesuatu atas nama dan agenda lain.
Di sinilah Melayu salah-memecahkan
antara Melayu atas agenda yang berbeza tetapi atas nama yang serupa. Di sinilah
bermula cerita – Melayu itu tidak didefinisikan secara menyeluruh. Definisi Melayu
berubah-ubah mengikut kehendak. Di sinilah akhirnya kita tertinggal, bila Melayu
itu tidak lagi Melayu dan bila Melayu itu diperalatkan untuk hajat yang tidak
menyeluruh untuk orang Melayu.