Wednesday, July 30, 2014

Kembali di sini


Salam kepada semua, www.arahkita.blogspot.com adalah blog saya yang saya tubuhkan pada awal 2006 lagi. Saya tumpukan blog itu pada isu-isu semasa. Blog ini suatu masa dahulu pernah disarankan oleh Jeff Ooi – DAP untuk diambil tindakan namun perspektif pembacaan beliau pada masa itu amat dangkal dan sempit. Saya mula menulis kembali dalam blog ini setelah www.umno-reform.com dan www.umno-reform2.com saya terpaksa di tutup akibat kos yang amat tinggi. Hari ini saya hidupkan kembali – www.arahkita.blogspot.com

Memurtadkan Melayu





Panggil apa sahaja – mereka khianat Melayu – tidak Islamik – menggadai maruah bangsa Melayu – mencemar agama Islam namun gerakan memurtadkan Melayu sudah mula berlaku.  
Istilah memurtadkan Melayu sememangnya belum konklusif tetapi kita mula terdengar anak muda Melayu sudah mula mengintip dan di intip oleh DAP, untuk menyertai DAP sebagai alternatif politik dan meninggalkan parti lain khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia. Sungguh pun ini tidak dapat dikatakan  sebagai satu gerakan memurtadkan Melayu yang menyeluruh – namun dalam kerangka politik – peralihan mula berlaku dari sudut kepartian – menyertai DAP yang selama ini di label sebagai parti Cina dengan egois Cina yang tinggi oleh orang Melayu. Wujud kini  ahli PKR dan anak muda yang tidak berparti , sudah mula berjinak-jinak dengan DAP. Sungguhpun mungkin suara itu tidak didengari oleh kita – kerana kita terlalu amat jauh dari realiti politik – keadaan menjemput anak muda Melayu menyertai DAP sudah dimulakan.   
Media UMNO – penyokong UMNO dan ahli UMNO dalam media sosial khususnya media Face Book banyak menghentam mereka yang telah menyertai DAP sebagai pengkhianat bangsat, menjual bangsa dan agama apabila mereka menyertai DAP. Kata apa sahaja – tindakan kita memaki hamun – menuduh dan menghentam mereka yang menyertai DAP menjadikan mereka lebih popular dan di terima.
DAP dengan alasan mahu lebih ramai orang Melayu menyertai parti itu bagi  menunjukkan bahawa DAP adalah parti berbagai-bagai kaum, sudah mula  menarik perhatian anak muda baik yang tidak berparti mahu pun berparti khususnya dalam PKR. Usaha mereka turut untuk bertemu dengan anak muda Melayu – wanita dan gadis-gadis Melayu dalam usaha menarik perhatian mereka sudah mula wujud dan sudah menampakkan kejayaan.
Usaha ini semakin nampak berkesan setelah Dyana Sofya Mohd Daud diberi ruangan oleh DAP untuk bertanding di Teluk Intan baru-baru ini. Ini merupakan satu langkah strategi baik DAP untuk memperkenalkan gadis Melayu sebagai calon – anak muda sebagai calon dan meletakkan satu asas kukuh untuk rakyat melihat DAP dari sudut yang berbeza dan tidak lagi bertunjangkan fahaman komunis seperti selama ini di dakwa. Langkah ini sebenarnya memberi kemenangan politik jangka panjang bagi DAP biarpun tewas di Teluk Intan.
Penyebaran wadah politik DAP dijalankan dengan nada dan susunan yang merancang pergerakan mereka untuk meraih sokongan pada PRU seterusnya. Tindakan agresif DAP akhir-akhir ini adalah untuk meramaikan orang Melayu menyertai DAP dalam usaha mereka untuk terus menerajui politik tanah air. Orang Melayu mahu di usahakan oleh DAP untuk melihat DAP bukan sebagai satu parti berfahaman Komunis seperti satu masa lampau namun melihat DAP sebagai satu parti politik yang berpihak kepada rakyat dan tidak terikat pada ras.  Langkah pro aktif dan positif mereka sedikit sebanyak telah memulakan gerakan baru – mengambil Melayu menyertai mereka. Satu langkah politik yang melihat kepada masa depan politik mereka.
Kenapa dikatakan memurtadkan Melayu – adakah terminologi itu tepat dan benar? Adakah memurtadkan Melayu membawa Melayu keluar dari resam Melayu – budaya Melayu atau sedikit sebanyak liberalis dari apa yang sebenarnya menjadikan Melayu itu Melayu. Dalam konteks politik pula apa sebenar yang dikatakan memurtadkan Melayu. Adakah menyertai DAP dikatakan sebagai memurtadkan Melayu? Adakah gerakan ini akan akhirnya menghancurkan PKR dan UMNO sendiri – bila Melayu keluar dari kongkongan perjuangan Melayu? Adakah mungkin juga kaum lain seperti Cina juga akan menghakis perjuangan kaum Cina bila mana Melayu hilang makna perjuangan Melayu?  Adakah mungkin memurtadkan Melayu itu hanya berlaku sekitar isu politik – sokongan kepada parti Melayu oleh orang Melayu mula terhakis.
Apa pun persoalan yang timbul – satu penyataan harus diperjelaskan – adakah perjuangan Melayu oleh UMNO sesuatu yang sudah menjadi ortodoks dan tidak lagi di terima? Adakah parti Melayu semakin mengecil sehingga hari ini gerakan menyertai DAP semakin membesar dan berkembang di kalangan orang Melayu? Adakah ini tidak boleh di label sebagai memurtadkan orang Melayun ? Lebih khusus lagi adalah perjuangan Melayu – adakah perjuangan Melayu harus berkisar kepada penentangan terhadap kaum lain dan kaum lain juga perlu dipersoalkan – adakah penentang budaya dan agama satu langkah politik bijak mereka atau akhirnya negara ini terpisah dengan sekatan perkauman. Kita perlu sebenarnya jujur dan tidak menyapu konflik kaum di bawa tikar – ia akan kelihatan juga. Apa dia memurtadkan Melayu?
Anuar Mohd Nor
anuarmohdnr@gmail.com