Wednesday, April 19, 2006

Perjuangan Bangsa -Tanah Melayu Ketuanan Cina 11


Anuar Mohd Nor


Mukadimah

Artikel tulisan pertama saya “ " Tanah Melayu Ketuanan Cina" menerima respond yang agak menakjubkan. Berbagai kritikan mengenai penulis di buat khususnya mengenai amalan rasisme. Pelayar telah memberi pendapat mereka secara terbuka dan bagi penulis ini adalah satu kejayaan yang telah di capai oleh artikel tersebut.

Sewaktu terjadinya 13 Mei 1969, penubuhan Mageran atau Majlis Tindakan Negara yang di terajui oleh Tun Abdul Razak telah menetapkan perkara – perkata berikut sebagai ketetapan untuk menjaga keharmonian antara kaum. Tun Abdul Razak dalam menggariskan dasar – dasar penting MAGERAN telah menetapkan untuk perkara - perkara berikut dilaksanakan sebagai langkah menjaga dan mengekalkan keharmonian antara kaum:

1. Memperbesarkan angkatan bersenjata
2. Mempercepatkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang tunggal di sekolah – sekolah
3.Mengharamkan persoalan mengenai isu – isu sensitive
4. Mengistiharkan idealogi Negara iaitu Rukun Negara
5. Melancarkan rancangan Malaysia Kedua


Ini adalah antara garis panduan untuk mengekalkan keharmonian antara ras di Malaysia. Namun apakah dengan pengharaman persoalan mengenai isu – isu sensitive ini bakal dan mampu mewujudkan hubungan antara ras yang lebih baik atau hanya hanya menyapu masalah tersebut di bawah tikar.

Sebenarnya hasrat utama penulis dalam artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina adalah untuk membuktikan beberapa kegagalan khususnya dalam perlaksanaan oleh kepimpinan Melayu dalam usaha membentuk satu masyarakat kaum Melayu yang berjaya dan kuat pegangan dari segi ekonomi dan politik. Namun pembicaraan topik ini telah menarik perhatian bangsa lain untuk mengeluarkan pendapat serta tanpa usul periksa lantas mengatakan ini adalah artikel tersebut berbau perkauman dan penulis harus di tahan di bawah ISA. Namun setelah menerima pelbagai kritikan maka akhirnya ada antara yang memberi komen sedar bahawa artikel ini tidak berbau perkauman malah merupakan satu usaha yang mampu diklasifikasikan sebagai mencari punca dan mendefinisikan erti perjuangan yang perlu dibuat.

Perjuangan Bangsa

Artikel tersebut adalah satu bentuk artikel yang menuntut perjuangan bangsa. Ini bagi penulis ini tidak salah. Ianya sama seperti pejuangan menegakkan Sekolah Cina bagi memastikan bahasa “mothers tonque” mereka tidak luput dan perjuangan menuntut Malaysian Malaysia yang meminta hak - hak keistimewaan bumiputera dihapuskan kerana ini meletakkan Cina dan bangsa - bangsa lain sebagai rakyat kelas 2. Perjuangan bangsa pasti wujud dalam Malaysia. Bangsa lain akan memperjuangkan agar kesamarataan antara semua kaum untuk dijadikan intipati intergrasi kaum. Mereka pasti akan lebih gembira lagi apabila hak – hak keistimewaan orang – orang Melayu di hapuskan. Apakah ini tidak benar?

Hakikat ini wujud dan perjuangan untuk memastikan kejayaan satu – satu bangsa di negara ini tidak salah. Yang salah ialah kuasa yang ada digunakan untuk kepentingan sendiri dan sanggup mengadai hak - hak bangsa untuk kejayaan diri. Ini perlu diperbetulkan.

Penulis akan menjawab secara ringkas kesemua tuduhan rasisme ke atas penulis tetapi sebelum itu satu persoalan yang menarik timbul dikalangan maklum balas yang di terima; Persoalan terseut adalah : Apa dia “Bangsa Malaysia”.

Pelayar yang memberi komen banyak membicarakan mengenai Bangsa Malaysia, namun gagal memberi erti dan definisi atas perkataan Bangsa Malaysia tersebut. Setakat hari ini perkataan Bangsa Malaysia di pakai tanpa pengertian yang jitu mengenai apa itu “Bangsa Malaysia”

Kalau dibicarakan mengenai proses intergrasi kaum, kita tidak perlu menyorokkan bahawa kejayaan wujud dan berkembang, tetapi tidak sampai untuk mendabit dada memberitakan bahawa asimilasi antara kaum itu meluas lantas mampu menjadi acuan kepada satu bangsa yakni Bangsa Malaysia.

Persoalan ini pernah di timbulkan dahulu oleh Dr Chandra Muzaffar dalam Artikel bertajuk Haluan Perhubungan Etnik di Malaysia 1974

Petikan kata beliau : “Imigrasi dan kolonialisme, penimbulan kebudayaan baru dan kekuatan bilangan orang baru yang datang dan tinggal tidak menyebabkan pertimbangan sejarah ini menjadi tidak sah. Pengiraan hisab tidak dapat mengubah sejarah.”

Beliau terus menulis “ Sesiapa yang memahami ini akan memahami perlunya komuniti BUKAN BUMIPUTERA untuk menyesuaikan diri, malah mengasimilasi diri ke dalam keadaan baru ini"

Apakah salah saranan Dr Chandra Muzaffar dalam memberikan hujah bahawa; bahawa kaum BUKAN BUMIPUTERA harus menyesuaikan diri atau mengasimilasi diri untuk mungkin mewujudkan Bangsa Malaysia?

Maka perbicaraan mengenai “Bangsa Malaysia” akan melibatkan perdebatan yang berlarutan. Apa yang perlu kita fikirkan adalah : apa dia “Bangsa Malaysia” , apakah erti Bangsa Malaysia dan module yang membentuk Bangsa Malaysia.

Apakah dengan menghilangkan taraf bumiputra, menghilangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan mewujudkan Bangsa Malaysia? Apakah itu bukan sesuatu yang di perjuangkan oleh bangsa lain dan sedang di pertahankan oleh bangsa Melayu?

Menyebut ketuanan Cina mana silapnya?

Penulis bertanya pada diri sendiri sewaktu membaca maklum balas pelayar mengenai “Ketuanan Cina” , kenapa mereka marah, kenapa mereka mengganggp bahawa artikel itu rasis sehingga menuduh yang bukan – bukan. Apakah tidak benar bahawa kekuasaan ekonomi mampu mempengaruhi dan mampu membeli kuasa lain untuk apa sahaja kepentingan yang dimahukan.

Pesanan Dato Onn seperti yang selalu saya gunakan :

Political power without Economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living. Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority.

Dato Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays (Muka 220 Dato Onn Pengasas Kemerdekaan - Prof Ramlah Adam

Apakah salah kalau penulis mengatakan bahawa Melayu ketinggalan dalam banyak bidang peniagaan dan Cina sekarang mendahuluinya. Apakah salah kalau perbandingan itu di buat bagi menyedarkan orang – orang Melayu . Malah apakah kenyataan ini tidak berasas?

Penyimpulanan ketuanan dalam era ini adalah kekuatan pegangan ekonomi. Apakah dengan menyedarkan bangsa Melayu mengenai hakikat ini maka tuduhan rasis dilemparkan sewenang – wenangnya. Apakah ini bukan satu perjuangan untuk menyedarkan kaum Melayu sendiri betapa mereka perlu bangkit dan berusaha untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa lain khususnya Cina. Apa salahnya sekiranya itu hakikat dan itu realiti.

Tidak ada satu pun ayat atau barisan ayat dalam artikel “Tanah Melayu Ketuanan Cina” yang menyalahkan Kaum Cina dalam memperjuangkan kaum mereka. Mereka memperjuangkan apa yang mereka rasa perlu dan kita perjuangkan apa yang kita rasa perlu. Malangnya Kaum Melayu tidak tahu dengan siapa dan apa yang perlu diperjuangkan. Kita tidak mahu mengakui siapa yang sebenarnya menghalang kita dari terus maju.

Masalah Etnik akan terus wujud

Ini sebenarnya adalah petikan dari artikel Chandra Muzaffar Tahun 1974 , kata beliau : Masalah Etnik akan terus wujud. Kesilapan bukan terletak kepada Perlembagaan, atau kedudukan bahasa, agama dan komuniti atau dasar untuk menolong orang – orang Melayu. Realiti adalah berkecuali. Apa yang lebih asas ialah cara perbezaan etnik diatasi, cara bagaimana kepentingan politik dan ekonomi dipersesuaikan dan cara mana keharmonian tercapai. Ini akan menentukan keadaan perhubungan etnik. Oleh sebab inilah yang memimpin merupakan faktor penting.

Merungkai apa yang dikatakan oleh Dr Chandra ialah – kepimpinan adalah faktor pencetus atau pengubat kepada masalah etnik dalam Negara kita ini. Kepimpinan memainkan peranan dalam mengimbangi status masyarakat baik dari segi ekonomi , politik dan sosial. Pengimbangan ini harus selari dengan ketetapan sejarah dan sekiranya asimilasi orang bukan bumiputera kepada keadaan rakyat bumiputera tidak berlaku sepenuhnya tetapi setidak -tidaknya kesedaran terhadapnya perlu wujud. Sekiranya tidak maka jurang - jurang perbezaan khususnya dalam ekonomi akan memainkan peranan sebagai halangan utama kepada keharmonian antara kaum. Ini akan terus berlarutkan selagi pembahagian kekuatan ekonomi tidak selaras. Ini harus segara dibaiki dan pembaikan tidak akan berhasil selagi kita menyapu perkara ini dibawa tikar.

Kita harus sedar dan harus menerima hakikat bahawa Bangsa Malaysia yang kita maksudkan diatas adalah kehadiran berbagai kaum di Malaysia dalam bentuk pluralisme. Tidak akan ada satu keadaan dalam masa yang terdekat ini untuk membolehkan asimilasi mutlak dicapai. Usaha mengenai intergrasi ini bukan sesuatu yang baru malah telah dibicarakan sejak awal penubuhan Malaysia lagi. Namun sehingga hari ini asimilasi keseluruhan antara kaum hampir mustahil di capai seandainya penyesuaian tidak berlaku. Penyesuaian ini adalah untuk mengambil landasan – landsan sejarah menjadi pengukur ketetapan dan di persesuaikan dengan perlembagaan yang telah di bentuk. Ini mengkhususkan kepada beberapa pra syarat yang telah di tetapkan seperti hak keistimewaan bumiputera yang telah di tentukan.

Tuntutan atau rayuan kaum Cina

Salah satu perkara yang agak menyerlah dari artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina ialah suara – suara ketidakpuashati mereka mengenai hak – hak keistimewaan orang Melayu. Mereka menceritakan keperluan membentuk Malaysian Malaysia dan ada pula di kalangan bangsa kita berpendapat bahawa hak – hak keistimewaan Melayu tersebut adalah punca Melayu menjadi malas.

Mungkin persoalan ini mampu dijawab oleh orang – orang Bumiputera khususnya Melayu pula : Apakah dengan pemupusan Hak – Hak Keistimewaan orang - orang Bumiputera maka ekonomi Melayu boleh berkembang? Apakah dengan menggadai hak – hak yang terpelihara tersebut maka Melayu tidak akan jadi malas lagi ?

Harus jawapan itu masih kabur dan tidak ada satu penentuan buatnya. Sebenarnya pengekalan hak - hak ini perlu dalam keadaan kita yang semakin tersisih dalam ekonomi. Masalahnya sekali lagi di tegaskan ialah, peruntukkan dalam perlembagaan untuk status bumiputera tidak salah tetapi apakah hak - hak keistimewaan itu dapat membantu kaum Melayu atau kaum Melayu tertentu sahaja yang memperolehi imbuhan dari peruntukan tersebut.

Keadaan ini boleh digambarkan sekali lagi dalam satu petikan khusus yang saya ambil dari Buku Intergrasi Politik Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,

“Realitinya perlaksanaan “kedudukan istimewa” telah memburukkan lagi jurang di antara yang berada dengan golongan yang tidak berada dalam komuniti Melayu. … “kedudukan istimewa dapat dikira pada keseluruhannya telah menguntungkan satu kelas tertentu orang Melayu. Ia telah digunakan untuk menimbulkan satu golongan kapitalis – satu matlamat yang telah diusahakan dengan giatnya oleh kerajaan selepas 1969, walaupun ini memang sebahagian daripada dasar semenjak merdeka – malangnya pembentukan elit – elit Melayu ini tidak mampu membawa perubahan kepada Melayu keseluruhan dan di sebalik topeng untuk menolong orang - orang Melayu , kumpulan yang istimewa ini telah berjaya mengumpulkan kekayaan” ( pindaan di buat untuk mengukuhkan hujah)

Maka asas kesalahan polisi ini adalah pada perlaksanaan dan bukan pada dasar yang ada. Kita sehingga ke hari ini setelah semua rancangan Malaysia dari yang pertama sehingga ke sembilan, kita masih menceritakan kegagalan orang - orang Melayu. Kita menyalahkan budaya, adat, tingkah laku dan segalanya pada Melayu. Hari ini kalau di lihat dari jawapan artikel – atau komen - komen pada artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina , kita dapati bangsa lain turut membicarakan tentang kemalasan orang Melayu dan sikap orang Melayu. Apakah ini semua benar. Apakah benar Melayu itu tidak terdidik dari dahulu sehingga sekarang.

Di sinilah perjuangan Melayu itu patut timbul. Kita patut memperjuangkan agar minda orang - orang Melayu tidak terkongkong hasil usaha menggelapkan realiti yang sebenarnya. Kita bukan berjuang untuk mengalahkan orang - orang Cina. Kita berjuang untuk kesedaran orang – orang Melayu supaya bangkit dan melihat apa yang berlaku sekeliling kita. Kita bukan sahaja mempertahankan hak – hak yang secara membabi buta tetapi adalah untuk membantu kaum kita agar kita setanding dengan yang lain sebelum penghapusan hak – hak mahu dibuat. Apakah ini semuanya rasis – menaikkan provokasi untuk penentangan antara kaum ? Apakah mempertahankan hak – hak orang – orang Melayu dan keistimewaan yang telah wujud dalam perlembagaan itu satu usaha untuk memajukan orang - orang Melayu dianggap sebagai memecah belahkan keharmonian kaum?

Apa pula sekiranya dibicarakan mengenai tuntutan untuk memansuhkan hak - hak bumiputera, memperjuangkan bahasa kaum - kaum lain, sekolah - sekolah jenis kebangsaan dan penghapusan kuota bumiputera merupakan satu perjuangan bangsa yang dibolehkan sedangkan usaha untuk mempertahankan hak - hak sedia ada pula dikatakan rasisme?

Penutup

Masalah utama yang dipersoalkan oleh penulis dalam artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina adalah kegagalan Melayu baik pemerintah mahu pun rakyat yang melahirkan kepimpinan. Pegangan Melayu telah dibuktikan mengecil dan pengejaran kita kepada 30% pegangan bumiputera sebenarnya menunjukkan keciciran yang jelas. Perhimpunan Agung Tahunan UMNO yang baru lepas membicarakan mengenai ketirisan dan ketirisan ini mampu mengatakan siapa yang sebenarnya mendapat faedah dari dasar - dasar kerajaan untuk bumiputera. Kita terus di takok lama dan bangsa lain semakin jauh kehadapan, khususnya bangsa Cina. Realiti bukan menghasut. Kalau ada pun unsur - unsur menghasut ianya adalah untuk orang - orang Melayu bangkit menentukan nasib mereka dan siapa sepatutnya memimpin mereka. Bagi orang - orang Cina dan bangsa - bangsa bukan Bumiputera, mereka terpelihara dalam satu perlembagaan yang setakat ini tidak menghalang mereka untuk hidup sejahtera di Malaysia sebagai anak Malaysia. Bangsa Melayu bagaimana pula?